Tuesday, 23 April 2013

urban sketch : kuching, sarawak IV


Antara destinasi yang saya tidak akan lupakan ketika berada di Kuching Sarawak apabila saya berkesempatan mengunjungi Sarawak Cultural Village yang mengambil berada 2 jam perjalanan dari bandar. Di situlah terdapatnya sebuah taman atau perkampungan kebudayaan masyarakat negeri tersebut yang menampilkan kepelbagaian aspek kesenian, barangan kraftangan, pakaian rasmi etnik, tempat tinggal, malah aktiviti kebudayaan yang dipersembahkan secara langsung (live museum). Explorasi ke perkampungan tersebut berdurasi sekitar setengah hari untuk dihabiskan. Kepenatan berjalan menyusuri 7 buah replika rumah tradisional masyarakat kaum di Sarawak amat berbaloi dan di akhiri dengan acara kebudayaan persembahan di pentas. Saranan saya sekiranya berkesempatan berada di Kuching, singgahlah di sini sebentar. Percayalah ia sungguh mengujakan! Lakaran ini diambil di persekitaran pintu masuk perkampungan kebudayaan tersebut di belakangi panorama Gunung Santubong.

Replika passport yang perlu dicop setiap kali singgah ke rumah-rumah tradisional yang terdapat di sana.

Saturday, 30 March 2013

urban sketch : kuching, sarawak III


Mercutanda yang paling dominan yang saya jumpa di Bandar Kuching ialah Bangunan Dewan Undangan Negeri Sarawak. Dengan rekabentuk yang unik serta lokasi terletak berhampiran tebing sungai menjadikan ia sebuah bangunan yang begitu tersegam indah membezakan bahasa senibina setempat. Berkonsepkan metafora budaya masyarakat etnik di Sarawak dan direkabentuk oleh salah sebuah firma arkitek terkenal di Malaysia iaitu Arkitek Hijjaz Kasturi. Eleman gerbang, bumbung berbentuk V dan struktur tiang melengkung memainkan peranan penting pada rekabentuk bangunan ini dan diakhiri dengan tona warna kuning keemasan.

Lakaran ini dilakarkan semula apabila tiba di semenanjung memandangkan kesuntukan masa untuk saya di sana pada ketika itu. Medium yang digunakan ialah watercolour di atas buku flip sketchbook.

Sunday, 24 March 2013

urban sketch : kuching, sarawak II


Menyusuri Sungai Sarawak menggunakan perkhidmatan bot penumpang Sarawak River Cruise merupakan satu acara wajib apabila tiba di Sarawak Waterfront. Konsep ini juga adalah hampir sama seperti terdapat di Melaka, cuma yang membezakan ialah panorama sekitaran yang lebih menjurus kepada pembangunan tepian sungai juga penempatan masyarakat setempat yang mendiami dan membina rumah di tebing sungai. Permandangannya amat menarik ditambah dengan kehadiran bot-bot pukat juga sampan kecil yang menjadi nadi kegiatan ekonomi masyarakat di Kuching. Perjalananan santai menggunakan bot kecil ini mengambil masa lebih kurang 45 minit sehingga tiba semula ke Check Point asal dengan membawa 12 orang kapasiti penumpang. Di kesempatan inilah saya sempat merakamkan scenery sebuah bot tunda berwarna hijau yang berada di posisi melintang yang memakirkan bot di jeti yang sama seperti terdapat pada entri yang telah dikongsikan kepada semua sebelum ini. Amat menarik bukan? =)