Monday, 29 July 2019

Merekabentuk banglo 1 tingkat untuk En. Shahrul

banglo 1 tingkat
Medium : Autocad + 3ds Max + Adobe Photoshop

Konsep : Modern Contemporary + resort
Keluasan : 2,600 kp (80' x 40')

Assalammualaikum wbt.

Bertemu lagi. Hampir setengah tahun tidak bersua. Bukan menyepi tetapi sedang mengumpul material sebanyak mungkin dan akan saya kongsi secara konsisten selepas ini. Baiklah. Kali ini saya ingin kongsikan sebuah lagi rekabentuk banglo berkonsepkan Modern Contemporary dan sedikit sentuhan resort style milik En. Shahrul dari Kuala Lumpur. Ketika saya sedang menaip posting ini, tuan empunya banglo ini telah pun selamat menduduki kediaman ini iaitu pada bulan Januari 2019 yang lalu. Ya, bukan lagi sekadar konsep sahaja diketengahkan di sini tetapi banglo ini telahpun siap diduduki. Apapapun sebelum terlewat saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada pemilik kerana mempercayai dan sudi mendapatkan khidmat kecil-kecilan daripada saya. Agak terkejut juga cara pertemuan saya dengan pemilik. Bersungguh beliau dan isteri cuba menghubungi saya sekian lama. Akhirnya beliau dapat juga menghubungi saya melalui isteri saya sendiri. Agak lama dan unik. Nanti saya akan ceritakan. 

Oklah. Lokasi banglo ini terletak di negeri Melaka. Berkeluasan 2,600 kakipersegi diambil kira daripada ruang binaan dalaman termasuk binaan terbuka. Memiliki 4 bilik tidur, 3 bilik air, stor, laundry, ruang tamu, ruang makan dan dapur. Pada pertemuan pertama, pemilik mahukan sebuah banglo 1 tingkat yang selesa dan menepati budget yang dirancang. Bagi saya setiap tugasan yang saya terima daripada pelanggan bukanlah sebuah perkara yang mudah. Ini adalah kerana kesemua idea, kehendak dan impian untuk dizahir di dalam rekabentuk banglo idaman adalah berbeza-beza sama sekali mengikut citarasa masing-masing. Pelanggan perlukan A, tetapi selepas diperingkat rundingan ia mungkin akan menjadi A+B atau A- atau kekal A atau sebaliknya. Sifirnya begitu yang mana logikal, praktikal dan bersesuaian dengan kos. Saya sebagai perantara antara dua entiti ini akan memberikan rundingan, khidmat nasihat yang mana saya mampu bagi memberikan gambaran dan kaedah terbaik sebelum ia tercetak di atas kertas blueprint. Namun begitu, semuanya saya anggap sebagai salah satu cabaran di dalam menghasilkan sesebuah idea. Setakat hari ini, ianya berjalan dengan begitu baik dan lancar.

Berbalik kepada cerita banglo itu tadi. Berurusan dengan pemilik sebelum ini begitu mudah dan santai. Cuma 1 kali pertemuan dan urusan seterusnya hanya dilakukan melalui aplikasi whatsapp, akhirnya siap sebuah rekabentuk banglo untuk diperakukan. Beliau sememangnya mahukan rumah kedua ini dibina begitu selesa bagi merehatkan diri apabila pulang sekali-sekala pada hujung minggu. Secara ringkas, ruang tamu utama saya ilhamkan berbentuk tinggi bagi mendapatkan pengudaraan serta pandangan lebih luas. Ruang ini disambungkan ke ruang makan yang terletak ditengah-tengah dan mempunyai bukaan ke teres berhampiran. Ruangan teres itu atau patio dijadikan ruang santai sebelah luar menghadap ke ruangan lanskap. Bahagian dapur sudah semestinya ruang tawanan isteri beliau. Isteri beliau inginkan ruang memasak yang selesa dilengkapi island cabinet ditengah ruang. Ruang tersebut juga dilengkapi dengan pintu kaca sliding yang besar bagi menimbulkan mood santai melihat suasana luar ketika memasak.

Eleman dan komponen arkitektur pula, saya menerapkan kemasan batuan brick veneer untuk luaran, elemen aluminium louvers serta topang bagi menggantikan komponen kayu serta binaan hood dan coping untuk tingkap. Binaan groove daripada jenis composite panel ditampal di dinding bumbung menara diselangi dengan elemen tetiang. Akhirnya, tona warna earth colour mewarnai luaran banglo tersebut untuk mendapatkan konsep yang lebih kepada resort.

Saya sempat mengunjungi ke tapak semasa pembinaan banglo tersebut yang berkebetulan berada di Melaka. Terdapat beberapa perkara ditapak perlu dibincang bagi diselaras kepada pihak kontraktor agar segala keperluan binaan di sana mengikut seperti lukisan dan tertera di atas kertas. Saya juga begitu teruja sepanjang proses pembinaan tersebut dan tidak sabar melihat hasilnya. Alhamdulillah ia berjaya disiapkan dalam tempoh dirancang. Saya juga sempat membantu beliau mendapatkan khidmat peguam tempatan melalui kenalan ketika proses untuk menyediakan kontrak. 

Kredit dan terima kasih kepada En. Shahrul dan keluarga kerana berurusan dengan saya. Semoga tidak jemu untuk terus berhubungan. Kami juga terasa seolah-olah telah menjadi sahabat baik walaupun perkenalan begitu singkat. InsyaAllah kelapangan nanti boleh sentiasa berjumpa. Segala kekhilafan diri juga harap dimaafkan yang mana ia mungkin sesuatu yang tidak boleh dinafikan. Kepada pembaca setia berminat untuk mendapatkan sedikit khidmat daripada saya boleh meninggalkan nombor telefon di ruangan email. Di mana jua anda berada tiada had sempadannya. Sila berikan sedikit butiran diri dan banglo. Saya akan menghubungi anda segera apabila diperlukan nanti.

Sekian. Jumpa lagi.

Pandangan perspektif dari sudut sisi

Pandangan perspektif dari sudut sisi tepat

Pandangan perspektif dari atas

Pandangan perspektif dari hadapan


Di sini saya juga ingin berkongsi sedikit gambaran semasa pembinaan tempohari tahun 2018.





1 comment:

  1. Salam tuan...saya mempunyai tanah yang berkeluasan 3850 kaki...bercadang untuk membuat rumah banglo 1 tingkat, nak tanya anggaran harga....detail akan saya email....ini email saya lperchauns88@gmail.com

    ReplyDelete