Sunday, 26 April 2020

Merekabentuk banglo 1 tingkat untuk En. Saifullah

Medium : Autocad + 3ds Max + Adobe Photoshop

Konsep : Modern Minimalis
Keluasan : 2,250 kp (40' x 69')

Asslammualaikum wbt. Salam Ramadhan dan salam PKP buat semua.

Bagaimana keadaan pembaca semua ketika Ramadhan dan PKP sekarang ini? Semoga anda semua diberkati dan dilindungi Allah sentiasa. Seluruh dunia ketika ini berada di dalam terkejut, celaru dan runsing dengan situasi besar ini. Sama-samalah kita berdoa agar pandemik ini cepat berakhir dan berlalu. Saya memperingatkan diri saya juga agar kita mengambil peluang yang ada untuk memperbanyakkan ibadah, melengkapkan apa yang kurang di bulan barokah terutama ketika ini kita berada di rumah. Segala aktiviti rutin di luar dihentikan sementara dan diberi kesempatan untuk fokus pada diri sendiri, keluarga dan rohani. Semoga keinsafan hadir ke dalam diri kita terhadap ujian yang diberi setidak-tidaknya ia adalah sebagai isyarat untuk kita sentiasa mengingat kepadaNya. Jadi marilah kita rebut peluang ini untuk mendekatkan diri kepadaNya agar ia tidak sia-sia begitu sahaja. 

Baiklah. Sebelum itu, tidak terlewat untuk saya mengucapkan selamat menjalani Ibadah Puasa kepada semua terutama kepada pembaca setia blog ini. Ibadah puasa kali ini cukup berbeza dari tahun-tahun sebelumnya yang bakal menjadi buah cerita kepada anak cucu kelak. Belum lagi dapat membayangkan bagaimana untuk sambutan Syawal akan datang. Walaupun serba kekurangan dan tersekat, namun didoakan agar kita beristiqomah dan terus menjalani ibadah ini dengan sempurna disamping menjaga kesihatan diri. Perkara itu menjadi keutamaan buat masa ini. Mudah-mudahan ia diberkati olehNya. Amin.

Terima kasih juga kepada semua juga kerana ketika dan waktu ini saya masih lagi menerima beberapa tempahan lukisan banglo sepanjang musim PKP. Terima kasih tidak terhingga kerana sudi mendapat perkhidmatan ini walaupun sekarang ini saya membayangkan ada yang telah berkira-kira untuk menangguh dulu hasrat untuk memiliki rumah idaman sehingga pandemik berakhir. Bagi mereka yang sudi dan telah bersedia dari segi kewangan, mengganggap perancangan ini tetap diteruskan seperti dirancang sekurang-kurangnya tempoh dokumentasi selesai pada ketika ini dan tidak tergopoh-gapah melaksanakannya pada saat-saat akhir. Apabila tiba masanya dan keadaan kembali reda, maka waktulah ia akan direalisasikan di tapak tanpa bermula dan menunggu dari peringkat awal. Saranan saya begitu juga. 

Memiliki pelan idaman bukanlah sesuatu yang merugikan kerana lukisan-lukisan ini tiada tarikh luput yang mana ia boleh digunapakai bila-bila masa diperlukan. Persediaan dari peringkat awal ini akan memudahkan proses ke peringkat akhir. Proses dokumentasi melibatkan lukisan rekabentuk pelan arkitek, lukisan pelan jurutera, kelulusan pihak berkuasa tempatan akan mengambil masa sekurang-kurangnya 6 bulan sebelum ianya lulus dan boleh dibina di tapak. Ini tidak termasuk proses guaman, kontraktual bersama kontraktor dan proses pinjaman melibatkan institusi perbankan atau LPPSA untuk kakitangan awam. Tambahan pula dengan proses pembinaan 6 bulan di tapak bina maka secara matematiknya dalam tempoh 1 tahun 5 bulan sekurang-kurangnya untuk anda dapat melihat banglo yang diidamkan dizahirkan dan siap duduki dengan kelulusan CCC. Begitulah anggaran dan sifirnya secara kasar. Maka dengan itu, perancangan teliti perlu diambil agar tidak tergelinciran dipertengahan jalan dengan masalah-masalah lain di luar kawalan.

Namun begitu, mungkin ada pembaca di luar sana bercadang untuk mendapatkan Lukisan Pelan Konsep Rekabentuk Banglo sahaja terlebih dahulu yang mana perancangan membina akan melibatkan unjuran masa 2-3 tahun akan datang. Tidak mengapa. Bagi saya ini juga merupakan satu langkah bijak kerana proses pertama ini saya anggapkan sebagai kunci terpenting digunakan untuk ke pintu seterusnya. Anda telah memegang sebuah kunci kereta baru dengan jenama pilihan dan kunci itu akan digunakan tiba waktunya nanti apabila anda ingin menggunakannya kelak. Ia membawa maksud bahawa walaupun anda belum ada set lukisan lengkap yang boleh diproses ke pihak PBT namun anda telahpun memiliki sebuah naskah konsep banglo yang telah memenuhi kehendak, rupa bentuk, kriteria, impian serta keperluan yang siap dilakar di tapak tanah lot milik anda sendiri. Tanpa mengambil masa terlalu lama membelek lagi capaian gambar di internet mahupun aplikasi Facebook untuk berkira-kira banglo jenis apa yang mahu dimiliki. Jadi dengan adanya naskah ini anda telah menjimatkan masa lebih kurang 35% daripada proses keseluruhannya seperti disebutkan pada awal bicara tadi. Naskah ini akan dikeluarkan semula dalam simpanan untuk tahun ke-2 atau ke-3 dan seterusnya apabila anda telahpun cukup bersedia secara total. Proses kelulusan pelan daripada PBT boleh dilakukan melalui syarikat arkitek atau pelukis pelan berdaftar tempatan walaupun proses seterusnya ini dicadang tidak dibuat bersama saya lagi. Bagi saya ia tidak mengapa dan saya tiada halangan untuk itu kerana anda boleh membuatkan pilihan tepat yang mana memudahkan cara. 

Begitulah serba sedikit saya boleh jelaskan kepada pembaca semua terhadap senario mungkin akan berlaku apabila anda bercadang untuk mendapatkan Lukisan Pelan Banglo daripada mana-mana sumber termasuk saya. Asas masih sama namun yang membezakan adalah skim perkhidmatan yang ditawarkan sahaja. Pilihan masih di tangan anda. Buatlah perancangan sebaik-baiknya agar segala impian terlaksa seperti diidamkan.

Baiklah. Sekiranya anda ingin mendapatkan maklumat lanjut berkaitan Lukisan Pelan Banglo anda boleh menghubungi saya melalui emel tertera. Saya akan cuba membantu yang mana termampu oleh saya. Perkhidmatan ini saya lakukan secara kecil-kecilan di atas talian selain dapat menambah sedikit pendapatan ia juga merupakan sebuah platform untuk saya yang mencurahkan skil dan idea sebagai seorang yang begitu menjalani dan meminati bidang arkitektural sejak dahulu lagi.  

Ok. Di sini saya ingin berkongsi sebuah rekabentuk banglo unik dimiliki oleh En. Saifullah berasal dari Melaka. Banglo berkeluasan 2,250 kakipersegi ini berkonsepkan Modern Minimalis yang mana rekabentuk secara asasnya banyak berkonsepkan satah melintang dan menegak. Warna keputihan pada badan bangunan mencerminkan aspek bersih dan cermat. Sekali pandang ia seolah-olah membayangkan sebuah rumah rehat privasi yang biasa terdapat di tepi-tepi laut negara beriklim mediterranean. Begitulah hasrat yang cuba saya sampaikan setelah mengekstrak apa yang telah dimahukan oleh pemilik. Idea ini saya siapkan pada tahun 2018 lagi dan waktu ketika ini telahpun berada di fasa pembinaan di tapak. Di akhir biacara nanti saya akan selitkan serba sedikit gambar sebenar di tapak yang dikirimkan oleh pihak kontraktor kepada saya. 

Butiran lainnya, banglo jenis ini memiliki 4 bilik tidur temasuk 1 bilik tidur utama, 3 bilik air, 1 ruang tamu, 1 ruang makan, dapur, 1 stor, 2 teres sebuah anjung kereta untuk 2 bilangan kenderaan. Alhamdulillah, kredit kepada pihak kontraktor kerana berjaya mengadaptasi 95% butiran arkitektural semasa pembinannya sama seperti terdapat di dalam lukisan pelan selain menjaga kualiti kekemasan binaan. Saranan saya, sekiranya berpeluang pilihlah kontraktor baik, mahir dan kompeten dalam pembinaan rumah anda. Kerana kontraktor yang baik yang dapat menjaga kualiti pembinaan dan kemasan akan memberi impak kepada hasil binaan yang dibuat. Kualiti binaan terjaga menjamin kurangnya kecacatan binaan atau defect yang biasanya akan berlaku selepas 6 bulan ia diduduki. Carilah kontraktor berkualiti yang ikhlas dan tidak mencari keuntungan semata-mata walaupun harga sedikit berbeza daripada biasa. Masih banyak diluar sana yang passionate dan ada jiwa terhadap kerja yang dihasilkan. Insha Allah. 

Sedikit lakaran 3d dikongsikan dari pandangan berbeza sebagai rujukan.

Padangan hadapan.

Pandangan sisi kiri.

Dan di sini gambaran sebenar diambil sebelum arahan PKP di keluarkan.

Pandangan secara keseluruhan.

Bumbung moden.

Pandangan menunjukkan butiran arkitektural yang kemas dan teliti.


Gambar banglo telah siap dibina :









4 comments:

  1. Saya berminat untuk dapatkan pelan banglo 1 tingkat. Macamana ya?

    ReplyDelete
  2. Saya akan hantar butiran melalui emel ya.. terima kasih.

    ReplyDelete
  3. boleh email pelan banglo yang ni

    ReplyDelete