Saturday, 16 July 2022

Merekabentuk banglo 1 tingkat En. Sabri - Selangor

 

Medium : Autocad + 3dsmax + Adobe Photoshop

Salam sejahtera.

Syukur kepada Allah yang maha Esa kerana memberi kesempatan kepada saya lagi untuk berkongsi idea dan seni berkaitan rekabentuk sebuah kediaman impian yang diimpikan oleh pembaca-pembaca di  luar sana bagi mencari ilham serta angan-angan memiliki sebuah banglo idaman.

Hampir setahun saya tidak menghantar sebarang posting ke ruangan ini. Jutaan kemaafan dipohon kepada kalian semua kerana masa agak mencemburui saya untuk berbuat demikian. Namun, sepi saya bukanlah sepi dengan tangan yang kosong. Tetapi saya agak sibuk menerima pelbagai tempahan banglo yang setakat ini boleh saya katakan saya telah memiliki pelbagai koleksi rekaan banglo yang telah berjaya saya hasilkan. InshaAllah selepas ini saya akan kongsikan kepada semua secara berperingkat. Syukur Alhamdulillah dengan nikmat ini dan jutaan terima kasih kepada pembaca semua yang memberi sokongan secara langsung atau tidak semenjak terbinanya blog bermula tahun 2011 lalu.

Baiklah. Di sini saya kongsikan sebuah rekaan banglo 1 tingkat dimiliki oleh salah seorang pembaca blog ini iaitu En. Sabri dari Selangor. Untuk makluman semua, banglo ini telah saya hasilkan sekitar tahun 2018 yang lalu setelah membelek-belek folder lama yang akhirnya mengetemukan saya dengan rekaan ini. Secara jujurnya saya hampir terlupa tentangnya. Mungkin ketika ini banglo ini telah pun siap dibina oleh pemilik atau mungkin beliau telah membinanya dengan rekaan yang lain adalah saya tidak pasti kerana sudah lama tidak menghubungi beliau. Didoakan agar pemilik ini dipermudahkan urusan dan sudahpun memiliki banglo idaman beliau selama ini.

Secara ringkas, banglo 1 tingkat ini berkeluasan 1,700 kakipersegi dengan saiz anggaran 32' X 70' di atas tanah dengan keluasan 5,500 kakipersegi. Binaan ruang yang ada di dalam banglo ini seperti 4 bilik tidur, 3 bilik air, 1 ruang tamu, ruang makan, dapur, ruang basahan (yard), teres serta anjung kereta untuk 2 bilangan. Fasad banglo ini bercirikan modern contemporary yang mana binaan bumbungnya direka secara konsep bumbung dongak serta bumbung A. Bumbung kereta menggunakan konsep bumbung rata bertiangkan 2 bilangan tiang konkrit direka secara melebar untuk menahan beban. Dan akhirnya tona warna putih, kelabu, kuning serta coklat koko menjadi penghias muka luaran bangunan. 

Pandangan hadapan banglo.

Pandangan sisi kanan banglo.

Untuk posting kali ini, dikongsikan juga pelan lantai banglo tersebut sebagai rujukan. Untuk posting lain atau seterusnya saya tidak boleh berbuat demikian kerana perlu menjaga hakcipta yang hanya boleh dikongsi dengan kebenaran saya sahaja. Sekian. Terima kasih.



No comments:

Post a Comment