Thursday, 9 August 2018

Merekabentuk banglo 2 tingkat untuk En. Hasni

Autocad + 3ds Max + Adobe Photoshop

Sebuah lagi rekabentuk banglo yang berjaya dihasilkan.

Kali ini diketengahkan sebuah rekabentuk banglo 2 tingkat yang saya ilhamkan kepada En. Hasni daripada Batu Berendam Melaka. Dengan keluasan tapak dianggarkan bersaiz 816.4 meterpersegi iaitu kira-kira 8787.7 kakipersegi yang berkedudukan agak tirus memanjang membuatkan sedikit mencabar dalam membina susunatur layout bangunan.

Dengan mengambilkira keperluan yang ditetapkan oleh pihak klien, akhirnya susunatur pelan banglo ini dapat diolah sebaik mungkin tanpa mengurangkan aspek kesesuaian ruang yang cuba direka secara optimum. Ringkasannya, banglo ini bersaiz 512.0 meterpersegi (5,575.0 kakipersegi) keluasan binaan dengan bukaan 46' x 70' yang mana anjung kereta dibina secara berasingan. Mempunyai 6 bilik tidur termasuk 1 bilik tidur utama, 2 ruang tamu (formal + famili), ruang makan, dapur basah & dapur kering, stor, ruang famili dan ruang study. Hampir keseluruhan bilik tidur dilengkapi dengan bilik air yang mana pemilik cuba mengelakkan daripada elemen perkongsian yang biasa digunapakai bagi kediaman-kediaman lain.

Rekaan banglo kediaman ini cenderung kepada konsep 'kontemporari' yang menyelitkan sedikit elemen resort style. Batuan kemasan brick veneer dijadikan sebagai elemen estatika kepada tiang bangunan selain unsur aluminium louvers serta elemen coping sebagai pelengkap. Terdapat 4 binaan ruang balkoni sebagai elemen santai kegunaan pemilik menikmati panorama disekeliling tapak. Akhirnya, tona warna bumi (earth colour) menghiasi fasad bangunan dengan ditunjangi warna kelabu gelap keperangan sebagai pilihan untuk warna atap bumbung dari jenis tanah liat. 

Di sini juga, saya ingin berkongsikan sedikit gambaran ditapak semasa pembinaan yang sempat saya rakamkan. Mungkin diwaktu dan ketika entri ini ditaip, pembinaan banglo ini telahpun sampai ke fasa akhir untuk kerja-kerja mengecat. Agak belum berkesempatan untuk saya pergi & melawat secara rasmi ke sana. Walauapapun jua, saya mengucapkan tahniah kepada En. Hasni kerana berjaya melaksanakan impian beliau sekeluarga yang mana tidak jemu berulangkali membuat pertemuan bersama saya semasa proses rekabentuk dahulu. Semoga beliau berpuashati dengan hasilnya dan saya mengucapkan jutaan terima kasih atas kesudian mendapatkan perkhidmatan kecil-kecilan yang tidak seberapa daripada saya. 

Sekian.

 Pandangan sisi banglo.

Pandangan hadapan secara close-up.

Sedikit perkongsian gambaran pembinaan di tapak.


Sunday, 5 August 2018

Urban sketch : Muzium Istana Budaya Melaka


Medium : Ink

Salam sejahtera dan selamat bertemu kembali.. Sebuah sketch sebagai simbolik & tonik 'Kemunculan semula' daripada saya. ;)

Lakaran ini dihasilkan ketika mendapat sebuah panggilan daripada seseorang berkaitan dengan sambutan 'Hari Muzium Peringkat Antarabangsa 2018' yang diadakan di Negeri Melaka baru-baru ini. Dipendekkan cerita panggilan tersebut sebenarnya datang daripada salah seorang urusetia bahagian promosi dan percetakkan program tersebut yang berminat untuk mendapatkan salah satu lakaran saya di dalam blog. Malangnya, bangunan ini tidak pernah saya dapat hasilkan. Sekiranya saya berkesempatan untuk menyediakan lakaran dikehendaki, maka lakaran ini akan tercetak di atas 'T-shirt' rasmi program berkenaan. Wow! sungguh teruja. Namun, akibat kesuntukan dan masa rundingan yang agak terhad, impian itu tidaklah terlaksana. Maka, pengakhiran... saya jadikan sebagai hadiah dan tatapan di dalam blog ini. Adios!

Monday, 1 May 2017

Merekabentuk banglo 1 tingkat untuk En. Khairul

Autocad + 3ds Max + Adobe Photoshop

Salam dan bersua kembali kepada pembaca yang budiman. 

Lama juga tidak bersua. Jutaan terima kasih kepada semua kerana setia menunggu posting terbaru daripada saya. Maaf dipinta kerana sepi seketika. Kepada pembaca yang sudi hantarkan komen dan dan permintaan untuk mendapatkan perkhidmatan lukisan pelan banglo, saya ucapkan ribuan terima kasih yang tidak terhingga. Kepada yang menunggu dan menerima respon yang agak lama, saya menyusun 10 jari kemaafan kerana ke khilafan itu datang daripada saya. Akan tetapi InsyaAllah saya akan cuba sedayanya untuk menghubunginya semula. Kerana kalian-kalian semua adalah nadi di dalam blog ini. Tanpanya ia akan sepi.

Baiklah. Kali ini saya akan kongsikan sebuah rekabentuk banglo yang agak moden yang saya rasa tidak salah untuk dikategorikan sebagai banglo modern sofisticated. Ini adalah percubaan yang saya jarang temui daripada klien-klien terdahulu. Konsep serta idea rekabentuk banglo ini datang daripada pemiliknya sendiri iaitu saudara Khairul yang berhasrat untuk membina sendiri banglo tersebut memandangkan beliau adalah berlatarbelakangkan sebagai kontraktor binaan yang telah lama bertapak di sini. 

Hasrat beliau saya cuba untuk merealisasikan dan mencabar diri sendiri untuk merekabentuk sebuah kediaman unik idaman beliau. Secara ringkas banglo ini berukuran 35' x 100' memanjang yang mana ukuran ini termasuk anjung kereta. Berkeluasan anggaran 3,700 kakipersegi yang memiliki 4 bilik tidur termasuk bilik tidur utama, bilik solat, setor, dapur kering & dapur basah, ruang tamu utama, ruang famili, ruang makan serta anjung beranda. Di ruangan ruang tamu dicadangkan binaan konsep double volumn bakal memberikan impak ketara daripada segi keluasan ruang. Binaan secara adapatasi konsep vertical horizontal plane & space banyak mengolah fasad menjadi lebih dramatik dari segi pandangan tampak luaran. Eleman kelebaran bukaan fixed glass window menjadi elemen terpenting dari sudut percahayaan semulajadi. Disulami juga binaan aluminium fixed lourvers memainkan peranan sebagai pelindung matahari selain binaan concrete flat roof yang memberikan impak bumbung lebih rata. Mengurangkan binaan bumbung secara condong yang tipikal menjadikan bangunan ini seakan-akan sebuah 'kotak' yang akhirnya akan dicatkan dengan warna putih dan bersih. Banglo ini diorientasikan kedudukannya secara mengiring sebelah sisi kanan yang mana ia memberi ruang aktif menghadap ke arah halaman yang luas. 

Secara peribadinya saya amat menyukai binaan seperti ini yang mana ia seakan-akan nampak memberi mood yang moden, versetile, elegan serta untuk seseorang yang inginkan kediaman lebih 'muda' selari dengan peredaran zaman dan kehendak pasaran. Citarasa masing-masing memang berbeza dan tidak salah untuk mencuba dengan apa yang diinginkan.