Saturday, 31 December 2022

Merekabentuk banglo 1 tingkat En. Sabri - Melaka

Medium : Autocad + 3dsmax + Adobe Photoshop

Konsep : Modern Contemporary
Keluasan : 1,886.4 kp (42' x 60')

Salam penghujung tahun 2023. 

Dikongsikan rekabentuk sebuah banglo 1 tingkat milik En. Sabri dari Melaka yang telah selamat didiami oleh beliau sekeluarga sekitar awal tahun 2021. Rekabentuk ini dihasilkan pada penghujung tahun 2019. Baru ketika ini saya berkesempatan untuk berkongsi. Terima kasih tuan rumah mengizinkan untuk dikongsi.  

Ringkasnya saya boleh simpulkan di sini maklumat berkaitan banglo :
        • Konsep : Modern Contemporary
        • Keluasan dan saiz tanah : 4,542 kakipersegi (65' x 74')
        • Keluasan rumah dan saiz bukaan : 1,866.4 kakipersegi (42' x 60')
        • Ruang tamu : 1 bilangan
        • Ruang keluarga : 1 bilangan 
        • Ruang makan : 1 bilangan 
        • Dapur : 1 bilangan
        • Bilik tidur : 4 bilangan 
        • Bilik air : 3 bilangan 
        • Stor : 1 bilangan 
        • Anjung kereta : 2 buah kereta
        • Patio + terrace + yard
Seperti biasa, saya ada menerapkan elemen 'double volumn' untuk ruang keluarga bagi menambah efek keluasan di dalam kediaman. Dikongsikan sedikit gambaran 3d perspektif semasa proses rekabentuk dan gambar-gambar yang telah siap.

3d Perspektif


Gambar banglo siap sepenuhnya di tapak bina:



Nota : Pemilik telah menukar tema skema cat mengikut citarasa sendiri dan kesesuaian. Boleh tahan juga menarik efeknya!!

Saturday, 16 July 2022

Merekabentuk banglo 1 tingkat En. Sabri - Selangor

 

Medium : Autocad + 3dsmax + Adobe Photoshop

Salam sejahtera.

Syukur kepada Allah yang maha Esa kerana memberi kesempatan kepada saya lagi untuk berkongsi idea dan seni berkaitan rekabentuk sebuah kediaman impian yang diimpikan oleh pembaca-pembaca di  luar sana bagi mencari ilham serta angan-angan memiliki sebuah banglo idaman.

Hampir setahun saya tidak menghantar sebarang posting ke ruangan ini. Jutaan kemaafan dipohon kepada kalian semua kerana masa agak mencemburui saya untuk berbuat demikian. Namun, sepi saya bukanlah sepi dengan tangan yang kosong. Tetapi saya agak sibuk menerima pelbagai tempahan banglo yang setakat ini boleh saya katakan saya telah memiliki pelbagai koleksi rekaan banglo yang telah berjaya saya hasilkan. InshaAllah selepas ini saya akan kongsikan kepada semua secara berperingkat. Syukur Alhamdulillah dengan nikmat ini dan jutaan terima kasih kepada pembaca semua yang memberi sokongan secara langsung atau tidak semenjak terbinanya blog bermula tahun 2011 lalu.

Baiklah. Di sini saya kongsikan sebuah rekaan banglo 1 tingkat dimiliki oleh salah seorang pembaca blog ini iaitu En. Sabri dari Selangor. Untuk makluman semua, banglo ini telah saya hasilkan sekitar tahun 2018 yang lalu setelah membelek-belek folder lama yang akhirnya mengetemukan saya dengan rekaan ini. Secara jujurnya saya hampir terlupa tentangnya. Mungkin ketika ini banglo ini telah pun siap dibina oleh pemilik atau mungkin beliau telah membinanya dengan rekaan yang lain adalah saya tidak pasti kerana sudah lama tidak menghubungi beliau. Didoakan agar pemilik ini dipermudahkan urusan dan sudahpun memiliki banglo idaman beliau selama ini.

Secara ringkas, banglo 1 tingkat ini berkeluasan 1,700 kakipersegi dengan saiz anggaran 32' X 70' di atas tanah dengan keluasan 5,500 kakipersegi. Binaan ruang yang ada di dalam banglo ini seperti 4 bilik tidur, 3 bilik air, 1 ruang tamu, ruang makan, dapur, ruang basahan (yard), teres serta anjung kereta untuk 2 bilangan. Fasad banglo ini bercirikan modern contemporary yang mana binaan bumbungnya direka secara konsep bumbung dongak serta bumbung A. Bumbung kereta menggunakan konsep bumbung rata bertiangkan 2 bilangan tiang konkrit direka secara melebar untuk menahan beban. Dan akhirnya tona warna putih, kelabu, kuning serta coklat koko menjadi penghias muka luaran bangunan. 

Pandangan hadapan banglo.

Pandangan sisi kanan banglo.

Untuk posting kali ini, dikongsikan juga pelan lantai banglo tersebut sebagai rujukan. Untuk posting lain atau seterusnya saya tidak boleh berbuat demikian kerana perlu menjaga hakcipta yang hanya boleh dikongsi dengan kebenaran saya sahaja. Sekian. Terima kasih.



Saturday, 17 April 2021

Merekabentuk banglo 1 tingkat untuk Puan Seyha

 

Medium : Autocad + 3ds Max + Adobe Photoshop

Salam Ramadhan.

Dikongsikan sebuah lagi rekabentuk banglo 1 tingkat milik Puan Seyha dari Melaka. 'Moden dan ringkas' boleh saya kategorikan konsep banglo ini berkeluasan hampir 2,000 kp untuk keseluruhan binaan. Mengadaptasi rekabentuk bumbung dongak yang sedang menjadi trend semasa sekarang ini dihiasi dengan warna dan elemen arkitektur yang lain melengkapkan binaan fasad dengan sempurna.

Banglo ini dilengkapi 3 bilik tidur termasuk 1 bilik tidur utama, 3 bilik air, 1 ruang tamu yang berkongsi dengan ruang makan, 1 ruang keluarga, 1 ruang dapur dilengkapi sudut laundri serta 2 anjung teres di bahagian pintu masuk utama dan sebelah sisi bangunan.

Berketinggian sekitar 12 kaki (3600mm) dari aras lantai untuk keseluruhan banglo namun, di ruang tamu aras silingnya direkabentuk berketinggian 15 kaki (4500mm) tinggi sebagai pusat tumpuan untuk memberi efek yang lebih luas. Pemainan dan olahan ketinggian bumbung luaran bangunan ini menjadikan ia lebih menarik dan tidak membosankan sekiranya ia dilihat dari luar. Akhirnya ia diwarnakan dengan hijau lembut di tengah-tengah fasad sebagai efek paling dominan sebagai titik fokus.

Secara ringkas banglo ini telahpun siap di tapak bina mengambil masa 4 bulan tempoh pembinaan. Terletak di tengah-tengah kawasan lantai (tapak sawah) menjadikan banglo ini begitu tersergam dan menarik perhatian. Jutaan terima kasih kepada pemilik kerana sudi mendapatkan perkhidmatan kecil-kecilan daripada saya yang memberi seribu makna bagi saya sebagai seorang perekabentuk. 


Rantaian konsep rekabentuk 3d banglo :