Sunday 16 November 2014

Merekabentuk sebuah banglo 2 tingkat untuk Tn. Haji Ruzenan

Medium : Autocad + 3ds max + Adobe photoshop

Merekabentuk sebuah banglo dua tingkat untuk Tuan. Haji Ruzenan. Itu adalah tajuk kepada rekabentuk berkonsepkan moden dipohon oleh salah seorang pembaca yang berasal dari negeri Terengganu. Syukur Alhamdulillah akhirnya siap jua rekabentuk ini dan telah diserahkan lengkap berserta lukisan pembinaan (Pakej B) kepada pemilik beberapa minggu lalu. 

Tuan Haji Nen ini (panggilan ringkas) amat meminati dan memasang impian memiliki sebuah rekabentuk moden yang menjadi daya tarikan masa kini. Tidak dinafikan konsep sebegini menjadi ikutan kerana bentuk senibinanya unik, cantik, plain, clean dan kemas diolah daripada konsep vertical serta horizontal elemen. Begitu dominan walaupun ianya ianya hanya dibina di pinggiran bandar. Satu keputusan yang bertepatan diambil oleh beliau setelah meneliti rekabentuk sebuah banglo yang hampir sama ditemui di dalam blog saya sebelum ini. 

Secara ringkas, banglo dua tingkat ini dilengkapi dengan 5 bilik tidur termasuk bilik tidur utama, bilik solat, bilik utiliti, 5 bilik air, ruang tamu utama, ruang famili, dapur kering dan dapur basah. Kemudahan-kemudahan sedemikian dapat disediakan di atas anggaran binaan bersaiz 57' x 43'  yang menjadikan banglo ini sudah begitu lengkap dengan kesemua keperluan ruang asas. 

Elemen bumbung curam menjadi item terpenting memainkan peranan sebagai sebuah binaan moden dikemaskan dengan kemasan bumbung jenis genting konkrit. Binaan 'concrete hood atau coping' diolah untuk dijadikan sebagai elemen pelembut kepada dinding yang kosong. Ia juga memberi refleksi bayang-bayang yang amat menarik kepada permukaan dinding apabila matahari mula menyodong. Dan akhirnya tona warna putih atau offwhite dan sedikit warna kelabu kehijauan untuk efek kontras menghiasi kulit luaran fasad menjadikan ianya bersih dan kemas.

Begitulah sedikit sebanyak info yang boleh dikongsikan sebagai panduan bersama. Dikesempatan ini saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada beliau kerana sudi mendapatkan pandangan serta perkhidmatan yang tidak sebeberapa daripada saya. Maaf dipinta sekiranya terdapat kekurangan sepanjang berurusan. Semoga maju jaya dan impian yang diidamkan akan terlaksana jua.. =)

Pandangan dari sudut sisi.

Saturday 8 November 2014

Pertandingan melukis Citra Terengganu 2014 - Kategori Karya Siap

Medium : Pencil & watercolour on A1 size paper

Ini adalah sebuah cerita lama. Pertandingan melukis ini telah diadakan pada bulan Ogos yang lalu di mana saya telah mengambil peluang menyertainya. Bermakna telah hampir 3 bulan berlalu semasa entri ini ditulis. Sekadar untuk berkongsi dan mengimbas peristiwa ini untuk dijadikan ingatan serta panduan untuk diri sendiri pada masa mendatang.

Perasaan ingin mencuba ini tercetus pada peringkat awalnya setelah terbaca artikel salah seorang rakan blog yang menghebahkan perkara ini. Pada mulanya niat masih samar-samar memandangkan lokasi pertandingan ini terlalu jauh di sebelah pantai timur semenanjung. Apatah lagi saya tidaklah begitu mahir kerana hanya beberapa kali sahaja berkunjung ke sana. Namun, setelah beberapa perkara diambil kira saya bertekad untuk menyertainya walaupun sedikit perasaan ragu-ragu masih ada. Ragu kerana ini hanyalah kali ke-2 penyertaan saya untuk pertandingan besar seperti demikian dewasa ini selepas di Putrajaya tempohari. Kali terakhir disertai ialah ketika waktu sekolah dahulu dengan skala yang lebih kecil. Inilah risiko yang perlu saya ambil. Apatah lagi saya hanya boleh dikategorikan 'biasa-biasa sahaja' jika nak dibandingkan dengan pelukis-pelukis professional serta handalan yang sudah pasti turut serta dalam pertandingan ini. Secara teorinya mereka ada kelebihan. Kerdilnya rasa. Kemahiran serta pengalaman itu yang membezakan. Sebuah kenyataan yang tidak boleh disangkal. Walauapapun jua saya bertekad mencabar diri. Saya cuba sebaik mungkin dengan apa yang termampu. Hadiah adalah saguhati sekiranya dimenangi tetapi pengalaman yang ditimba itu adalah lebih berharga. Sekurang-kurangnya sedikit sebanyak saya boleh memperbaiki teknik, ilmu serta pendedahan di dalam seni melukis ini.  

Baiklah. Secara ringkas, pertandingan ini telah diadakan secara tetap tiap-tiap tahun dianjurkan oleh Lembaga Muzium Negeri Terengganu yang masuk edisi ke-5 kalau tidak silap jangkaan saya. Kali ini ia diadakan sempena tahun melawat Malaysia dengan bertemakan Citra Terengganu 2014 dengan menawarkan hadiah begitu lumayan. Terdapat 2 ketegori dipertandingkan iaitu Kategori Karya Siap & Kategori Spontan. Kategori Karya Siap membawa maksud karya perlu dihasilkan pada waktu tertentu, menyiapkannya dan dihantar kepada urusetia pada tarikh ditetapkan. Subjek adalah Monumen dan bangunan bersejarah di Terengganu. Manakala Kategori Spontan membawa maksud karya perlu disiapkan di lokasi yang di tetapkan di Muzium Terengganu dalam tempoh 3 hari. Subjek pula adalah sebuah permainan tradisional rakyat Terengganu. Saya mengambil keputusan untuk menyertai kedua-dua kategori dan bersedia untuk ke sana pada tarikh ditetapkan. Segala persediaan dan kelengkapan dibuat bagi merealisasikan impian tersebut. 

Dipendekkan cerita, berikut di atas adalah sebuah hasil karya yang telah 95% siap semasa foto ini dirakam. Subjek yang dipilih bertajuk 'Refleksi Masjid Terapung' iaitu permandangan Masjid Tengku Tengah Zaharah terletak di Kuala Ibai di Kuala Terengganu. Mesej yang saya cuba ketengahkan imej cermin hasil daripada pembalikan cahaya dari permukaan air menceritakan keindahan sebuah masjid terapung di Terengganu. Mewarna menggunakan medium cat air memerlukan ketelitian cukup tinggi terutama ketika mengawal berus. Komposisi serta campuran air dan warna yang sesuai akan menghasilkan impak menarik ke atas lukisan. Dan di situlah panduan yang saya cuba praktikkan. Kali ini saya cuba untuk lebih cermat dan tekun untuk mendapatkan hasil yang bermutu dan lebih baik. Secara jujur pada pandangan peribadi saya, ini adalah karya terbaik yang pernah saya hasilkan setakat ini. Belum pernah sekali saya hasilkan lukisan begitu teliti seperti ini berdasarkan objek pegun melainkan lukisan dalam bentuk lakaran pantas sebagai kegemaran. Harapan agar ini dianggap satu permulaan dan akan ada yang seterusnya. InsyaAllah.

Lukisan ini saya hasilkan dalam tempoh dua malam iaitu berkebetulan hampir 2 minggu lagi untuk kita menyambut bulan Syawal. Jadi dikesempatan persediaan menyambut Aidilfitri bakal menjelang di sinilah peluang menyiapkan sebuah lukisan yang akan dihantar ke Terengganu sebelum tarikh ditetapkan. Saya berkesempatan merakamkan proses menyiapkan lukisan tersebut namun agak malang baru beberapa hari lalu saya tertekan butang delete pada folder menyimpan gambar-gambar berkaitan. Tiada lagi rekod atau bukti proses melukis yang boleh diselitkan. Yang tinggal hanyalah dua gambar yang telah siap. Begitu menyesal di atas kecuaian sendiri. 

Akhirnya lukisan yang telah siap dan mula untuk dibingkaikan. Perancangan asal adalah untuk mengepos lukisan ini menggunakan khidmat pos laju terbantut selepas mengetahui berita mengenai kesemua perkhidmatan surat-menyurat telah dihentikan seketika memandangkan Aidilfitri telah hampir menjelang tiba termasuklah perkhidmatan swasta. Berderau darah. Saya agak kaku dan kaget seketika sewaktu berita ini diterima. Apa akan jadi seterusnya?. Kenapa perkara ini saya tidak ambil kira pada peringkat awal. Kenapa saya tidak siapkan lebih awal sedangkan tempoh 3 bulan diberi. Saya mula menyalahkan diri sendiri memandangkan tempoh penghantaran tamat ketika umat Islam baru menyambut Aidilfitri hanyalah pada hari ke-6. Waktu itu kita sedang sibuk beraya di rumah saudara sedangkan saya berfikir untuk ke Terengganu untuk menghantar lukisan. Aiseh.. 

Syukur kepada Allah. Segala kekusutan terlerai setelah lukisan saya boleh tiba tepat pada waktunya dengan bantuan seorang rakan. Terima kasih tidak terhingga kepada saudara Afandi rakan sekerja saya. Secara berkebetulan beliau sebenarnya akan beraya di Terengganu di rumah mertua untuk giliran kali ini. Maka dalam tempoh beberapa hari lagi beliau sekeluarga akan bertolak pulang kerana mengambil cuti yang panjang lebih awal. Alangkah gembiranya di hati kerana berita ini. Tiada kekusutan lagi. Setelah menceritakan perkara niat dan perkara sebenar, beliau begitu berbesar hati untuk membantu saya menghantar lukisan ini ke lokasi. Jarak yang hanya 20km dari rumah mertua tiada mendatangkan masalah kepada beliau. Beliau sudi membantu. Syukur. Berterima kasih tidak terhingga saya kepada beliau sekali lagi, Mohon maaf dipinta kerana mengambil sedikit ruang di dalam kenderaan untuk meletakkan lukisan bersaiz A1. Agak sedikit besar dan memakan ruang kabin yang sudah pastinya penuh dengan bagasi pakaian. Mungkin di situ akan timbul sedikit kesulitan. Maaf sekali lagi.

Akhirnya lukisan saya tiba di destinasi setelah dimaklumkan. Resit telah diterima sebagai bukti penghantaran dan akan digunapakai semasa sesi penyampaian hadiah sekiranya terpilih. Maka hanya masa dan waktu akan menentukan samada saya mempunyai rezeki ataupun tidak... 

Sungguh mendebarkan. Ikuti entri ini untuk sambungan akan datang..


Lukisan yang telah siap dan dibingkaikan sempurna.