Monday 25 November 2013

sketch of the day : klinik

Medium : Snote, Samsung Note 2

Lakaran tersebut di atas terhasil ketika sesi menunggu di salah sebuah klinik kesihatan di sini pagi tadi. Saya ke sana menemankan isteri mendapatkan pemeriksaan berkala mengenai kehamilannya. Syukur kerana usia kehamilan telah menjangkau ke angka 8 bulan. Dijangka saya akan menerima orang baru seawal tahun hadapan nanti. InsyaAllah. Lukisan di atas menunjukkan meja pemeriksaan kesihatan yang lengkap dengan peralatan berkaitan yang saya sendiri saya tidak tahu apa fungsinya selain alat memeriksa tekanan darah. Lakaran di bawah pula, ialah sebuah pasu bunga dengan pokok renek kehijauan yang begitu menarik perhatian saya dan dilukis semula dikala sesi menunggu yang agak panjang.
Medium : Snote, Samsung Note 2

Saturday 16 November 2013

sketch of the day : topi

 medium : pencil on paper

Cuti hujung minggu saya tidak ke mana. Rancangan untuk berbasikal pada awal pagi terencat seketika kerana hujan turun sejak malam tadi. Tiada apa aktiviti yang saya rancangkan buat melainkan mencuri-curi masa menyambung semula tugasan berkaitan lukisan pelan submission. Dania masih lagi tidur. Pagi masih pun terlalu awal. Sambil-sambil itu hati terdetik untuk melakar. Tanpa lengah, peralatan melukis dicapai. Hari ini saya cuba bereksperimentasi subjek lukisan menggunakan pensil. Agak lama tidak menggunakan medium ini. Akhirnya siap sudah sebuah lakaran bertajuk 'Topi'. Topi jenis army ini kegemaran saya dan dibeli ketika berada di Langkawi tempoh hariSubjek ini menjadi pilihan sebagai model kerana saya ingin menonjolkan teknik hatching dan shadow selain ingin menimbulkan tekstur renyukan kain. Dan inilah hasilnya. 

Lakaran ini menggunakan pensil 3B ke atas sketchpad buatan sendiri.

Thursday 14 November 2013

merekabentuk banglo 2 setengah tingkat en. mazlan


Berikut adalah sebuah banglo 2 setengah tingkat yang masih di dalam 60% pembinaan terletak di Ayer Keroh, Melaka. Kediaman ini dimiliki individu bernama En. Mazlan dan Dr. Roaimah. Proses merekabentuk banglo ini telah bermula dan telah mendapat kelulusan membina oleh Pihak Berkuasa Kerajaan Tempatan sejak tahun 2011 lagi. Namun pembinaannya di tapak bina hanya bermula pada awal tahun 2013. Gambarajah di atas menunjukkan lukisan 3D perspektif atau gambaran awalan yang saya hasilkan bagi memperlihatkan rupa visual luaran banglo ini apabila siapnya kelak. Dan gambar foto disebelahnya ialah imej sebenar di tapak bina diambil dari sudut yang lebih kurang hampir sama. Foto ini baru saya rakamkan pada minggu lalu.

Konsep yang dipilih ialah konsep moden seiring dengan keperluan dan kehendak pasaran sekarang ini. Pasangan ini lebih meminati konsep ini kerana ingin merasai perubahan baru berbanding dengan rekabentuk tipikal rumah mereka sediada. Berkeluasan 364.3 meterpersegi (3921.3 kakipersegi) dilengkapi dengan 4 bilik tidur termasuk master bedroom, ruang attic pelbagaigunaruang tamu utama, lounge, ruang makan, coffee area, dapur kering dan basah, family area, gym, study room dan 3 bilik air. Kesemua senarai kemudahan ini melengkapkan fungsi bagi sebuah kediaman mampu milik untuk pasangan ini. 


medium : autocad

Lakaran pelan yang dibuat ini merupakan sebahagian daripada proses merekabentuk serta komponen yang terdapat di dalam lukisan submission dan digunapakai di tapak bina oleh kontraktor. Lukisan teknikal ini disusun semula menjadi sebuah lukisan isometric.

Tuesday 5 November 2013

urban sketch : kota A' famosa


medium : pen & watercolour on paper

Salam Maal Hijrah. Lakaran di atas di buat semasa sesi kayuhan sempena cuti umum seluruh negara semalam. Cuaca agak baik pada pagi tersebut namun diramalkan akan berlaku ribut petir pada petang hari. Route atau arah kayuhan kali ini agak sedikit berbeza daripada sesebelumnya kerana saya memilih untuk berada di kawasan Bandar Hilir berbanding di Sungai Melaka. Lakaran hari ini memfokuskan kepada ikon pelancongan yang begitu terkenal di negeri ini iaitu Kota A' Famosa. Agak lama saya idamkan melukis monumen ini dan kini ia terlaksana. 

Secara ringkas, monumen tinggalan sejarah ini dibina pada tahun 1511 oleh pihak Portugis setelah berjaya menawan Melaka. Kubu ini dibina bertujuan sebagai simbol kuasa serta kota pertahanan daripada penentangan penduduk Melayu ketika itu. Dibina di atas bukit dengan tujuan memantau aktiviti perkapalan di Selat Melaka. Pada asalnya terdapat 4 menara kawalan, tembok setebal 2.4 meter mengelilingi bandar Melaka serta dilengkapi dengan 7 buah meriam dipelbagai arah. Pada tahun-tahun berikutnya, berlakunya tranformasi pembinaan di kota ini selepas pihak Belanda menjajah sehingga ke era Inggeris. Namun, apa yang tinggal kini hanyalah pintu masuk kota dan beberapa jaringan kubu yang masih kelihatan. 

Bersebelahan dengan monumen A' Famosa ini terletaknya bangunan lama dikenali dengan Bastion House yang kini dijadikan Muzium Dunia Melayu Dunia Islam untuk para pengunjung menghayati budaya dan sejarah agama Islam serantau. 


Lakaran yang dibuat ketika itu. Terdapat kumpulan kaki jogging yang sedang menjalankan aktiviti senaman Tai Chi mengikut rentak lagu.

Lakaran yang telah siap pada pukul 8.15 pagi.

Diwarnakan sebaik sahaja tiba di rumah. Terdapat beberapa elemen pokok tidak diwarnakan bertujuan untuk menonjolkan lagi rupa bentuk Kota A' Famosa di dalam lukisan.