Wednesday 27 February 2013

sketch of the day : dania sedang tidur


Lakaran di atas merupakan 2 posisi postur anak kecil saya yang sedang nyenyak tidur selepas waktu maghrib sebentar tadi. Objektif utama lakaran dibuat sebenarnya lebih kepada eksperimentasi ke atas aplikasi Snote terdapat di dalam peranti telefon saya. Inilah percubaan kali pertama saya menggunakan medium tersebut sejak gajet ia dibeli lebih sebulan lalu. Agak mudah dan ringkas cuma paparan yang agak sedikit kecil. Kanvas melukis juga tidak boleh dirotate untuk mendapatkan kepuasan maksimum namun ia tetap tidak menghadkan kreativitiYang lain adalah terbaik! Sekiranya ada teknik layering mungkin ia lebih menyeronokkan lagi !.

Friday 22 February 2013

urban sketch : rumah kedai

Percubaan ke-4 : melakar di dalam kereta.

Nampaknya keobsesan melakar tiada henti. Semalam dapat hasilkan sebuah lagi lukisan rumah kedai yang terletak di Jalan Pengkalan Rama berhampiran Masjid An'nur iaitu bangunan yang pernah dilakar oleh saya tempohari. Skala lukisan kali ini agak besar di mana saya gunakan hampir keseluruhan flip sketchbook di dalam keadaan menegak. Tekstur serta stroke pensil kelihatan lebih jelas di mana tona hitam putih menunjukkan kontras yang sangat ketara. Secara ringkas, rumah kedai lama 2 tingkat ini agak unik dan terletak cuma bersendirian (1 unit) di atas tanah yang di kelilingi belukar. Pada firasat saya, rumah kedai bersebelahan kiri dan kanan bangunan mungkin telah roboh di atas alasan tertentu dan meninggalkan pemilik sebagai 'ketua' yang menguasai kawasan berhampiran.


Wednesday 20 February 2013

urban sketch : rumah tradisional melayu melaka


Percubaan ketiga : 1 lagi percubaan melakar di dalam kereta. 

Tengahari sebentar tadi saya keluar sekali lagi untuk mencari spot yang sesuai untuk melakar. Itulah perkara yang sering bermain di dalam benak sejak akhir-akhir ini di mana semangat dan keterujaan melukis sentiasa datang. Akhirnya saya berhasrat melakarkan sebuah rumah lama tradisional masyarakat Melayu Melaka terletak di jalan Tengkera. Sebenarnya saya telah perhatikan rumah berkenaan pada hari sebelumnya namun disebabkan masa yang agak suntuk, saya mengambil keputusan untuk lakukannya pada hari ini.

Bahagian rumah ibu ini agak usang namun masih kelihatan baik dimana binaan serta rekabentuk asal masih dikekal disitu. Pada pengamatan saya mungkin rumah ini telah menjejaki usia 80-100 tahun atau lebih berdasarkan lokasinya terletak di tengah-tengah deretan kedai lama seusia bangunan-bangunan disekelilingnya. Berhadapan di jalan utama menjadikan rumah ini sebagai salah satu tarikan pelancong selain daripada Bangunan Masjid Tengkera yang terletak di jalan yang sama.

Lakaran yang telah siap mengambil masa sekitar 20 minit untuk dihasilkan.

Tuesday 19 February 2013

urban sketch : tingkap


Waktu lunch saya hari ini telah terisi. Baru sebentar tadi saya berjaya menyiapkan 1 lakaran menggunakan pensel di atas kertas buku sketch pad bersaiz A5. Nampaknya percubaan kedua saya melakar di dalam kereta kali ini lebih berjaya. Situasi melakar lebih mudah kerana hanya menggunakan medium pensil yang cuma mengambil masa sekitar 20 minit. Lakaran tingkap ini di ambil dari deretan sebuah rumah kedai lama terletak di Jalan Tun Tan Cheng Lock di mana ia merupakan satu laluan dengan lakaran Rumah Penginapan Hereen House yang saya hasilkan tempoh hari. Visual tingkap ini sangat cantik dan menarik perhatian saya. Sebahagian besar material binaan menggunakan kayu yang diukir dan diakhiri dengan kemasan cat bertonakan kontras.

Situasi melakar agak genting seketika kerana kelihatan pemilik bangunan sekali-sekala menjengah tingkap melihat keaadan kereta saya parkir dihadapan kedai beliau. Tiada sebarang kegusaran di hati saya kerana saya menggunakan tempat letak kereta awam yang sememangnya tidak mendatangkan masalah walaupun laluan yang begitu sempit di situ. Akhirnya selepas lakaran siap saya terus beredar dengan senyuman dan mengucapkan terima kasih di dalam hati kepada pemilik kerana kebenaran melakarkan barang yang begitu cantik kepunyaan beliau. Terima kasih.  =)


Sunday 17 February 2013

urban sketch : masjid An'nur


Pada jumaat yang lalu, saya berkesempatan dan membuat sesuatu perkara yang baru berkaitan dunia lukisan yang belum pernah saya cuba. Perkara ini telah dipraktikkan oleh beberapa pencinta hobi melukis yang saya rasa bukan satu benda asing bagi mereka iaitu melakar di dalam kereta!.

Percaya atau tidak saya telah berjaya menghasilkan sebuah karya yang dilukis di dalam sebuah kereta walaupun hanya siap 70% di dalam keadaan tersebut. Memang satu situasi agak sukar di dalam keadaan ruang yang sempit, pergerakkan yang terbatas menghadkan segala kenikmatan melukis seperti keadaan biasa. Namun, inilah salah satu percubaan pertama yang saya rasa berjaya secara peribadinya. Dengan bantuan kit melukis yang saya sediakan sendiri, sedikit sebanyak menjimatkan masa serta ruang yang saya ada. Hobi ini saya lakukan pada jumaat lalu sebelum masuknya waktu solat. Sementara menunggu waktu tersebut, saya  mengambil keputusan untuk melukis memandangkan saya mempunyai masa lebih kurang 1 jam. Pada mulanya agak sukar mencari posisi serta sudut sesuai untuk meletakkan kereta kerana bangunan tersebut berada di tengah-tengah kesesakan. Akhirnya saya berjaya memakir kenderaan bertentangan dengan masjid tersebut walaupun berada agak jauh. Agak lega kerana kawasan parkir kenderaan masih kosong dan memudahkan saya memilih lokasi paling strategik.  

Dengan enjin kereta yang tidak dimatikan dan tanpa melengahkan masa, saya terus mencapai peralatan diperlukan dan membuat lakaran kasar. Tiada apa yang penting pada ketika itu cuma fokus. Pandangan sedikit terganggu disebabkan hujan mulai renyai. Namun ia tetap tidak mematahkan semangat melukis. Lakaran kasar siap disusuli dengan proses mewarna. Jam di tangan telah menunjukkan masa 10 minit telah berlalu.

  Lakar kasar dibuat namun sekali-sekala pandangan diganggu oleh deretan kenderaan lalu-lalang memaksa saya menunggu masa sesuai.

Proses menwarna merupakan perkara paling mencabar di mana pergerakan berus perlu dikawal teliti disebabkan kedudukan posture badan yang tidak beberapa selesa.

Travel kit yang saya gunakan dan diletakkan di tempat duduk penumpang sebelah. Agak tidak terurus disebabkan pergerakan terhad.

Jam di tangan  menunjukkan 1:25 tengahari membawa maksud waktu bersolat telah hampir. Ini bermakna saya perlu berhenti sebentar dan perlu melakukan perkara yang lebih wajib. Walaubagaimanapun lukisan telah 70% siap dan amat berpuas hati dengan apa yang telah dihasilkan setakat ini. Mungkin ini adalah percubaan pertama yang saya rasa banyak perkara serta teknik perlu diperbaiki lagi. Kesimpulan yang boleh dikongsikan di sini ialah ini merupakan satu pengalaman yang amat menyeronokkan dan dapat melukis secara langsung kepada objek yang diinginkan. Sudah pasti akan kembali dengan karya yang lebih banyak lagi akan datang!. Itu sudah pasti.

30 % proses mewarna disambung ketika berada dirumah dimana setiap butiran diperincikan.