Tuesday 21 August 2018

Merekabentuk banglo 1 tingkat - jenis B

Medium : Autocad + 3ds Max + Adobe Photoshop

Jenis B - 1 Tingkat
Konsep : Modern Contemporary
Keluasan : 2,700 kp (38' x 86')

Salam sejahtera. 

Dikongsikan rekabentuk sebuah banglo 1 tingkat berkonsepkan modern contemporary bersaiz bukaan (38' x 86) yang berkeluasan anggaran 2,700 meterpersegi secara keseluruhan. Sukacitanya saya maklumkan rekabentuk ini masih belum lagi ada pemilik. Konsep ini dibuat tatkala mencari-cari sebuah konsep awalan yang dipohon seorang klien suatu masa dahulu. Namun selepas ianya direkabentuk, beliau menginginkan pula kediaman banglo 2 tingkat yang menjadi pilihan. Oleh yang demikian, saya menamakan banglo ni kepada Jenis B - 1 Tingkat secara umumnya. Jenis A boleh semak kepada link yang saya lampirkan.

Banglo ini secara peribadinya menjadi antara kegemaran saya yang mana mempunyai rekabentuk fasad yang unik dan versertile. Komponen serta warna kuning ini saya jadikan sebagai elemen yang dominan menguasai bentuk luaran. Putih semestinya warna yang wajib untuk rekabentuk moden untuk menunjukkan kemasan arkitektur yang bersih serta kemas. Groove line berwarna coklat keperangan sebagai feature wall mengimbangi rekabentuk dinding double volumn yang tinggi di ruang tamu. Tiang anjung kereta yang moden dikedudukan secara rawak melengkapkan fasad banglo yang agak sofistikated. Kemas dan bersih.

Secara keseluruhannya, banglo ini memiliki 4 bilangan bilik tidur (termasuk bilik tidur utama), 3 bilik air, ruang tamu (double volumn), ruang famili, bilik solat, dapur basah dan dapur kering, stor serta ruang ampaian di sebelah belakang. Terdapat bukaan sliding folding door diruang famili sebagai akses ke kawasan halaman dimana binaannya bumbung rata ditopangkan dengan tiang horizontal plane secara tegak. 

Ok. Kepada pembaca yang berminat bolehlah email kepada saya seperti alamat email yang tertera di sebelah dan tinggalkan no telefon untuk dihubungi. Saya akan cuba respon segera. Sekian terima kasih. Salam Aidiladha.




Thursday 9 August 2018

Merekabentuk banglo 2 tingkat untuk En. Hasni

Autocad + 3ds Max + Adobe Photoshop

Sebuah lagi rekabentuk banglo yang berjaya dihasilkan.

Kali ini diketengahkan sebuah rekabentuk banglo 2 tingkat yang saya ilhamkan kepada En. Hasni daripada Batu Berendam Melaka. Dengan keluasan tapak dianggarkan bersaiz 816.4 meterpersegi iaitu kira-kira 8787.7 kakipersegi yang berkedudukan agak tirus memanjang membuatkan sedikit mencabar dalam membina susunatur layout bangunan.

Dengan mengambilkira keperluan yang ditetapkan oleh pihak klien, akhirnya susunatur pelan banglo ini dapat diolah sebaik mungkin tanpa mengurangkan aspek kesesuaian ruang yang cuba direka secara optimum. Ringkasannya, banglo ini bersaiz 512.0 meterpersegi (5,575.0 kakipersegi) keluasan binaan dengan bukaan 46' x 70' yang mana anjung kereta dibina secara berasingan. Mempunyai 6 bilik tidur termasuk 1 bilik tidur utama, 2 ruang tamu (formal + famili), ruang makan, dapur basah & dapur kering, stor, ruang famili dan ruang study. Hampir keseluruhan bilik tidur dilengkapi dengan bilik air yang mana pemilik cuba mengelakkan daripada elemen perkongsian yang biasa digunapakai bagi kediaman-kediaman lain.

Rekaan banglo kediaman ini cenderung kepada konsep 'kontemporari' yang menyelitkan sedikit elemen resort style. Batuan kemasan brick veneer dijadikan sebagai elemen estatika kepada tiang bangunan selain unsur aluminium louvers serta elemen coping sebagai pelengkap. Terdapat 4 binaan ruang balkoni sebagai elemen santai kegunaan pemilik menikmati panorama disekeliling tapak. Akhirnya, tona warna bumi (earth colour) menghiasi fasad bangunan dengan ditunjangi warna kelabu gelap keperangan sebagai pilihan untuk warna atap bumbung dari jenis tanah liat. 

Di sini juga, saya ingin berkongsikan sedikit gambaran ditapak semasa pembinaan yang sempat saya rakamkan. Mungkin diwaktu dan ketika entri ini ditaip, pembinaan banglo ini telahpun sampai ke fasa akhir untuk kerja-kerja mengecat. Agak belum berkesempatan untuk saya pergi & melawat secara rasmi ke sana. Walauapapun jua, saya mengucapkan tahniah kepada En. Hasni kerana berjaya melaksanakan impian beliau sekeluarga yang mana tidak jemu berulangkali membuat pertemuan bersama saya semasa proses rekabentuk dahulu. Semoga beliau berpuashati dengan hasilnya dan saya mengucapkan jutaan terima kasih atas kesudian mendapatkan perkhidmatan kecil-kecilan yang tidak seberapa daripada saya. 

Sekian.

 Pandangan sisi banglo.

Pandangan hadapan secara close-up.

Sedikit perkongsian gambaran pembinaan di tapak.


Sunday 5 August 2018

Urban sketch : Muzium Istana Budaya Melaka


Medium : Ink

Salam sejahtera dan selamat bertemu kembali.. Sebuah sketch sebagai simbolik & tonik 'Kemunculan semula' daripada saya. ;)

Lakaran ini dihasilkan ketika mendapat sebuah panggilan daripada seseorang berkaitan dengan sambutan 'Hari Muzium Peringkat Antarabangsa 2018' yang diadakan di Negeri Melaka baru-baru ini. Dipendekkan cerita panggilan tersebut sebenarnya datang daripada salah seorang urusetia bahagian promosi dan percetakkan program tersebut yang berminat untuk mendapatkan salah satu lakaran saya di dalam blog. Malangnya, bangunan ini tidak pernah saya dapat hasilkan. Sekiranya saya berkesempatan untuk menyediakan lakaran dikehendaki, maka lakaran ini akan tercetak di atas 'T-shirt' rasmi program berkenaan. Wow! sungguh teruja. Namun, akibat kesuntukan dan masa rundingan yang agak terhad, impian itu tidaklah terlaksana. Maka, pengakhiran... saya jadikan sebagai hadiah dan tatapan di dalam blog ini. Adios!