Thursday 31 December 2020

Merekabentuk banglo 1 setengah tingkat untuk En. Amsyairi

 

Medium : Autocad +3ds max + Adobe Photoshop

Konsep : Modern & Simple
Keluasan : 2,500 kp (30' x 72')

Hari ini merupakan hari terakhir penutup tirai untuk tahun 2020 yang penuh pancaroba. Sebelum tirai ini berabuh saya ingin berkongsi sebuah lagi rekabentuk banglo milik En. Amsyairi dari Melaka yang telah direkabentuk oleh saya pada penghujung tahun 2019.

Berikut adalah gambaran 3d fasad banglo 1 setengah tingkat berkeluasan 2,500 kakipersegi yang bakal dibina tahun hadapan. Pelan banglo ketika ini berada diperingkat kelulusan PBT yang dijangka akan dikeluarkan dalam masa terdekat ini. 

Pertemuan 2 mata bersama pemilik menghasilkan sebuah rekabentuk moden bersesuaian dengan kehendak dan keperluan ruang yang dipohon. Berkonsepkan moden dan ringkas menjadi asas kepada rekabentuk pelan lantai mahupun olahan bahagian fasad bangunan. Menginginkan sebuah dapur ditengah ruang memberikan sedikit kelainan dan kesegaran berbanding pelan susunatur yang pernah saya hasilkan. Mengzonkan ruang bilik-bilik disebelah belakang menjadikan ruangan depan dan tengah sebagai zon yang aktif dipisahkan dengan tangga ke tingkat atas. Tingkat atas ditempatkan bilik tidur utama yang dilengkapi dengan ruangan closet, bilik air, bilik studi serta balkoni yang luas. Terdapat juga sebuah ruang famili beristirehat di aras sama beserta balkoni. 

Secara ringkasnya banglo ini memiliki 3 bilik tidur, 3 bilik air,1 ruang tamu, 2 ruang keluarga, 1 bilik studi, dapur, ruang sidai, anjung kereta untuk 2 buah kereta serta 2 balkoni. Ruangan lanskap terletak di sisi bangunan memberikan pandangan menghijau sekiranya pemilik berada di ruang makan. Akhirnya, warna tona putih, serta tona oren menjadi pelengkap kepada gaya moden yang disukai pemilik. 




Jika diberi kesempatan, saya juga akan kongsikan gambar-gambar semasa pembinaan banglo ini kelak kepada semua pembaca budiman. Stay tune!.

Thursday 2 July 2020

Key to style

Key to style

Medium : Infinite Painter Android Apps
Device : Samsung Tab A 2017


Sunday 26 April 2020

Merekabentuk banglo 1 tingkat untuk En. Saifullah

Medium : Autocad + 3ds Max + Adobe Photoshop

Konsep : Modern Minimalis
Keluasan : 2,250 kp (40' x 69')

Asslammualaikum wbt. Salam Ramadhan dan salam PKP buat semua.

Bagaimana keadaan pembaca semua ketika Ramadhan dan PKP sekarang ini? Semoga anda semua diberkati dan dilindungi Allah sentiasa. Seluruh dunia ketika ini berada di dalam terkejut, celaru dan runsing dengan situasi besar ini. Sama-samalah kita berdoa agar pandemik ini cepat berakhir dan berlalu. Saya memperingatkan diri saya juga agar kita mengambil peluang yang ada untuk memperbanyakkan ibadah, melengkapkan apa yang kurang di bulan barokah terutama ketika ini kita berada di rumah. Segala aktiviti rutin di luar dihentikan sementara dan diberi kesempatan untuk fokus pada diri sendiri, keluarga dan rohani. Semoga keinsafan hadir ke dalam diri kita terhadap ujian yang diberi setidak-tidaknya ia adalah sebagai isyarat untuk kita sentiasa mengingat kepadaNya. Jadi marilah kita rebut peluang ini untuk mendekatkan diri kepadaNya agar ia tidak sia-sia begitu sahaja. 

Baiklah. Sebelum itu, tidak terlewat untuk saya mengucapkan selamat menjalani Ibadah Puasa kepada semua terutama kepada pembaca setia blog ini. Ibadah puasa kali ini cukup berbeza dari tahun-tahun sebelumnya yang bakal menjadi buah cerita kepada anak cucu kelak. Belum lagi dapat membayangkan bagaimana untuk sambutan Syawal akan datang. Walaupun serba kekurangan dan tersekat, namun didoakan agar kita beristiqomah dan terus menjalani ibadah ini dengan sempurna disamping menjaga kesihatan diri. Perkara itu menjadi keutamaan buat masa ini. Mudah-mudahan ia diberkati olehNya. Amin.

Terima kasih juga kepada semua juga kerana ketika dan waktu ini saya masih lagi menerima beberapa tempahan lukisan banglo sepanjang musim PKP. Terima kasih tidak terhingga kerana sudi mendapat perkhidmatan ini walaupun sekarang ini saya membayangkan ada yang telah berkira-kira untuk menangguh dulu hasrat untuk memiliki rumah idaman sehingga pandemik berakhir. Bagi mereka yang sudi dan telah bersedia dari segi kewangan, mengganggap perancangan ini tetap diteruskan seperti dirancang sekurang-kurangnya tempoh dokumentasi selesai pada ketika ini dan tidak tergopoh-gapah melaksanakannya pada saat-saat akhir. Apabila tiba masanya dan keadaan kembali reda, maka waktulah ia akan direalisasikan di tapak tanpa bermula dan menunggu dari peringkat awal. Saranan saya begitu juga. 

Memiliki pelan idaman bukanlah sesuatu yang merugikan kerana lukisan-lukisan ini tiada tarikh luput yang mana ia boleh digunapakai bila-bila masa diperlukan. Persediaan dari peringkat awal ini akan memudahkan proses ke peringkat akhir. Proses dokumentasi melibatkan lukisan rekabentuk pelan arkitek, lukisan pelan jurutera, kelulusan pihak berkuasa tempatan akan mengambil masa sekurang-kurangnya 6 bulan sebelum ianya lulus dan boleh dibina di tapak. Ini tidak termasuk proses guaman, kontraktual bersama kontraktor dan proses pinjaman melibatkan institusi perbankan atau LPPSA untuk kakitangan awam. Tambahan pula dengan proses pembinaan 6 bulan di tapak bina maka secara matematiknya dalam tempoh 1 tahun 5 bulan sekurang-kurangnya untuk anda dapat melihat banglo yang diidamkan dizahirkan dan siap duduki dengan kelulusan CCC. Begitulah anggaran dan sifirnya secara kasar. Maka dengan itu, perancangan teliti perlu diambil agar tidak tergelinciran dipertengahan jalan dengan masalah-masalah lain di luar kawalan.

Namun begitu, mungkin ada pembaca di luar sana bercadang untuk mendapatkan Lukisan Pelan Konsep Rekabentuk Banglo sahaja terlebih dahulu yang mana perancangan membina akan melibatkan unjuran masa 2-3 tahun akan datang. Tidak mengapa. Bagi saya ini juga merupakan satu langkah bijak kerana proses pertama ini saya anggapkan sebagai kunci terpenting digunakan untuk ke pintu seterusnya. Anda telah memegang sebuah kunci kereta baru dengan jenama pilihan dan kunci itu akan digunakan tiba waktunya nanti apabila anda ingin menggunakannya kelak. Ia membawa maksud bahawa walaupun anda belum ada set lukisan lengkap yang boleh diproses ke pihak PBT namun anda telahpun memiliki sebuah naskah konsep banglo yang telah memenuhi kehendak, rupa bentuk, kriteria, impian serta keperluan yang siap dilakar di tapak tanah lot milik anda sendiri. Tanpa mengambil masa terlalu lama membelek lagi capaian gambar di internet mahupun aplikasi Facebook untuk berkira-kira banglo jenis apa yang mahu dimiliki. Jadi dengan adanya naskah ini anda telah menjimatkan masa lebih kurang 35% daripada proses keseluruhannya seperti disebutkan pada awal bicara tadi. Naskah ini akan dikeluarkan semula dalam simpanan untuk tahun ke-2 atau ke-3 dan seterusnya apabila anda telahpun cukup bersedia secara total. Proses kelulusan pelan daripada PBT boleh dilakukan melalui syarikat arkitek atau pelukis pelan berdaftar tempatan walaupun proses seterusnya ini dicadang tidak dibuat bersama saya lagi. Bagi saya ia tidak mengapa dan saya tiada halangan untuk itu kerana anda boleh membuatkan pilihan tepat yang mana memudahkan cara. 

Begitulah serba sedikit saya boleh jelaskan kepada pembaca semua terhadap senario mungkin akan berlaku apabila anda bercadang untuk mendapatkan Lukisan Pelan Banglo daripada mana-mana sumber termasuk saya. Asas masih sama namun yang membezakan adalah skim perkhidmatan yang ditawarkan sahaja. Pilihan masih di tangan anda. Buatlah perancangan sebaik-baiknya agar segala impian terlaksa seperti diidamkan.

Baiklah. Sekiranya anda ingin mendapatkan maklumat lanjut berkaitan Lukisan Pelan Banglo anda boleh menghubungi saya melalui emel tertera. Saya akan cuba membantu yang mana termampu oleh saya. Perkhidmatan ini saya lakukan secara kecil-kecilan di atas talian selain dapat menambah sedikit pendapatan ia juga merupakan sebuah platform untuk saya yang mencurahkan skil dan idea sebagai seorang yang begitu menjalani dan meminati bidang arkitektural sejak dahulu lagi.  

Ok. Di sini saya ingin berkongsi sebuah rekabentuk banglo unik dimiliki oleh En. Saifullah berasal dari Melaka. Banglo berkeluasan 2,250 kakipersegi ini berkonsepkan Modern Minimalis yang mana rekabentuk secara asasnya banyak berkonsepkan satah melintang dan menegak. Warna keputihan pada badan bangunan mencerminkan aspek bersih dan cermat. Sekali pandang ia seolah-olah membayangkan sebuah rumah rehat privasi yang biasa terdapat di tepi-tepi laut negara beriklim mediterranean. Begitulah hasrat yang cuba saya sampaikan setelah mengekstrak apa yang telah dimahukan oleh pemilik. Idea ini saya siapkan pada tahun 2018 lagi dan waktu ketika ini telahpun berada di fasa pembinaan di tapak. Di akhir biacara nanti saya akan selitkan serba sedikit gambar sebenar di tapak yang dikirimkan oleh pihak kontraktor kepada saya. 

Butiran lainnya, banglo jenis ini memiliki 4 bilik tidur temasuk 1 bilik tidur utama, 3 bilik air, 1 ruang tamu, 1 ruang makan, dapur, 1 stor, 2 teres sebuah anjung kereta untuk 2 bilangan kenderaan. Alhamdulillah, kredit kepada pihak kontraktor kerana berjaya mengadaptasi 95% butiran arkitektural semasa pembinannya sama seperti terdapat di dalam lukisan pelan selain menjaga kualiti kekemasan binaan. Saranan saya, sekiranya berpeluang pilihlah kontraktor baik, mahir dan kompeten dalam pembinaan rumah anda. Kerana kontraktor yang baik yang dapat menjaga kualiti pembinaan dan kemasan akan memberi impak kepada hasil binaan yang dibuat. Kualiti binaan terjaga menjamin kurangnya kecacatan binaan atau defect yang biasanya akan berlaku selepas 6 bulan ia diduduki. Carilah kontraktor berkualiti yang ikhlas dan tidak mencari keuntungan semata-mata walaupun harga sedikit berbeza daripada biasa. Masih banyak diluar sana yang passionate dan ada jiwa terhadap kerja yang dihasilkan. Insha Allah. 

Sedikit lakaran 3d dikongsikan dari pandangan berbeza sebagai rujukan.

Padangan hadapan.

Pandangan sisi kiri.

Dan di sini gambaran sebenar diambil sebelum arahan PKP di keluarkan.

Pandangan secara keseluruhan.

Bumbung moden.

Pandangan menunjukkan butiran arkitektural yang kemas dan teliti.


Gambar banglo telah siap dibina :









Tuesday 21 April 2020

Kamu Wira Kami #1


Medium : Infinite Painter Andriod Apps
Device : Samsung Tab A 2017


Ya Allah Ku Panjatkan Seribu Doa
Kebaikan Buat Mereka
Yang Berada Di Barisan Hadapan
Agar Mereka Dilindungi Dan Sentiasa Diberkati
Dengan Segala Daya Usaha Tanpa Lelah
Yang Tidak Mampu Kami Balas

Semoga Kalian Sentiasa Dirahmati OlehNya 
Amin

* Doa dan warkah ini juga dikirimkan khas kepada sang isteri tercinta yang sedang bertugas dilapangan. 





Sunday 8 March 2020

Merekabentuk banglo 2 tingkat untuk Cikgu Abd. Razak

Medium : Autocad + 3ds Max + Adobe Photoshop

Konsep : Modern Resort
Keluasan : 2,800 kp (34' x 65')


Salam sejahtera.

Berikut adalah sebuah rekabentuk banglo 2 tingkat milik Cikgu Abd. Razak dari Melaka. Beliau menghubungi saya apabila menjumpai blog saya di laman sesawang ketika sibuk mencari idea dan design rekabentuk banglo yang beliau idamkan. Alhamdulillah syukur nikmat, ketika entri ini ditaip rumah banglo beliau sedang 85% di fasa pembinaan yang dimulakan pada bulan Oktober tahun 2019. 

Jutaan terima kasih kepada pemilik kerana mempercayai saya sebagai perekabentuk projek ini yang dijalankan secara kecil-kecilan di atas talian. Beliau mesra disapa sebagai 'Cikgu' amat berminat untuk mendapatkan khidmat saya setelah berpuashati dengan penerangan yang saya berikan. Dengan sekali pertemuan akhirnya bermulalah episod merekabentuk dan sesi design crit yang saya rasa begitu dipermudahkan olehNya. Ia adalah kerana masa diambil untuk kelulusan rekabentuk oleh cikgu amat pantas dan cepat. Begitu mudah. 

Pada pengamatan saya, mungkin beliau bercadang untuk mempercepatkan proses rekabentuk, kelulusan PBT dan proses skim pinjaman perumahan LPPSA seterusnya dibina segera di tapak. Ini adalah kerana proses dokumentasi ini akan mengambil masa sekurang-kurangnya dalam tempoh 6 bulan sebelum melantik pihak kontraktor untuk fasa pembinaan. Oleh faktor yang demikian, perancangan teliti perlulah kaji dan dirangka agar segala keinginan memiliki sebuah rumah banglo idaman tidak terencat ditengah jalan. 

Di tangan saya, proses merekabentuk ini tidak perlu terlalu lambat dan tidak juga tergesa-gesa. Perlu masa yang ideal dan puncuality. Kerana merekabentuk bangunan adalah salah sebuah cabang sebuah seni. Seni yang halus tidak datang dalam keadaan tergopoh-gapah dan dipaksa. Apabila ia dipaksa mungkin ia umpama akan jadi sebuah patung arca yang cacat binaannya kerana adunan bahan yang tidak cukup dan ramuannya yang tidak lengkap. Begitu falsafah sebuah seni. Proses menghasilkan idea sebuah rumah dimulakan dengan pengolahan ruang, fungsi, pengkhususan bilik, sunsunatur ruang, laluan, konteks, arkitektural elemen dan seterusnya rupa fasad binaan. Agak begitu kompleks untuk diambilkira. Kesemuanya berkait antara satu dengan lain. 

Seorang perekabentuk yang baik sentiasa membayangkan dan mendalami sedalam-dalamnya seolah-olah  sedang berada di rumah yang telah siap supaya beliau yakin apa yang diberikan kepada pelanggan adalah hasil terbaik dari yang terbaik. Sesi konsultansi dan rundingan dijadikan medan perbahasan tiap kali ia dibentang. Budi bicara dan ketelitiaan begitu penting semasa sesi ini sehinggalah persetujuan dimeterai. Begitulah sedikit sebanyak pengalaman yang boleh dikongsi sebagai seorang pereka. Nampak cukup mudah tetapi perlu ketelitian dan terperinci. Dengan pengalaman yang tersemat didada sedikit sebanyak membantu untuk dipermudahkan. A lesson learned untuk saya supaya sentiasa memperbaiki dan tidak mengulangi kesilapan lalu sekiranya ada di dalam lapangan merekabentuk. Bak kata pepatah 'pengalaman lalu juga mendewasakan'.

Baiklah. Akhirnya dengan masa ideal yang ada maka, siap sebuah rekabentuk banglo 2 tingkat berkonsepkan Modern Resort untuk Cikgu Abd Razak yang menginginkan kediaman yang santai, damai dan designnya tidak lapuk di telan zamanSecara ringkas, kediaman ini berkeluasan 2,800 kakipersegi dengan bukaan 34' x 65' secara keseluruhan. Dilengkapi dengan 4 bilik tidur termasuk bilik tidur utama, 3 bilik air, 1 ruang tamu, 1 lounge, 1 ruang makan, 1 ruang famili, bilik study, stor, teres luar, ruang sidai dan balkoni. Bilik tidur utama direka dengan ruang tidur begitu luas dilengkapi ruang closet bagi menempat rak-rak dan almari baju secara sistematik. Bilik air boleh diakses melalui ruang tersebut dengan menjadikan ia sedikit tersembunyi di dalam bilik tidur. Bilik study diorientasikan berdekatan dengan bilik tidur utama dan ruang famili bagi memudahkan untuk pemilik akses untuk membaca atau melakukan kerja-kerja lepas waktu pejabat dan ditempatkan di tingkat atas. 

Secara keseluruhan, banglo ini menerapkan elemen-elemen tropikal seperti binaan bumbung bertupang kayu, kemasan batuan brick veneer, kekisi aluminium bagi menggantikan jenis kayu dan menggunakan kepingan bumbung dari jenis tanah liat yang begitu cantik untuk dilihat. Sistem bumbung exposed rafter mengapdatasi ciri-ciri lengkap sebuah resort. Anjung kereta dengan binaan bumbung jenis rata boleh menempatkan 4 buah kereta untuk satu-satu masa. Bumbung rata jenis ini jangan dibiarkan begitu sahaja di mana ia juga dijadikan balkoni khas diakses dari bilik tidur utama.


Gambaran illustrasi 3d dari sudut kiri banglo

Elemen ruang tangga dicat warna perang untuk menjadikan ia sebuah fasad yang dominan

Gambaran fasad kanan lebih jelas dilengkapi bangku dibina secara kustom


Dikongsikan sedikit gambar yang diambil semasa proses pembinaan pada bulan Disember 2019 tahun lalu dan sehingga kini progres ditapak telah mencapai kemajuan 85%. 



Gambaran terkini di tapak.

Pandangan hadapan.

Pandangan keseluruhan.

Pandangan sisi.

Gambar kemaskini semasa :




Tuesday 18 February 2020

Tracker in the wood

Tracker in the wood

Medium : Infinite Painter Android Apps
Device : Samsung Tab A 2017

Alhamdulillah.. Terhasil satu lagi lukisan digital untuk kali ini. Durasi masa lebih kurang 1 minggu  untuk disiapkan. Memang agak begitu lama kerana saya hanya dapat meluangkan masa lebih kurang 10-15 minit untuk satu sesi. Cukup bagi saya yang agak sentiasa berkomitmen untuk perkara lain. Melukis adalah antara terapi menghilangkan stress. Maka dengan itu, saya akan cuba melukis dikala waktu yang ada. 

Proses penghasilan imej


Sunday 2 February 2020

Merekabentuk banglo 2 tingkat untuk Pn. Azilah

Medium : Autocad + 3ds Max + Adobe Photoshop

Konsep : English Style
Keluasan : 3,800 kp (81' x 86') 

Assalammualaikum wbt dan salam sejahtera. 

Bersua kita kembali. Dikongsikan di sini sekali lagi rekabentuk sebuah banglo 2 tingkat untuk Puan Azilah berasal dari Melaka. Beliau juga merupakan kenalan saya yang selalu berurusan berkaitan bidang yang sama seperti saya sebelum ini. Untuk makluman semua rekabentuk ini saya telah hasilkan sekitar tahun 2016 yang lalu di mana beliau sekeluarga bercadang untuk menetap di sini setelah pertukaran kerja dari Kuala Lumpur ke Melaka. Ini adalah konsep idea pertama daripada 2 buah konsep rekebentuk yang saya dapat hasilkan mengikut permintaan daripada beliau. Namun yang demikian, konsep rekabentuk ke-2 itulah yang menjadi pilihan dan telah pun siap dibina pada penghujung 2017 yang lalu. Sekiranya berkesempatan saya akan kongsikan untuk posting yang akan datang.

Koleksi rekabentuk seperti ini hanya dijadikan sebagai arkib di dalam simpanan saya walaupun ia tidak digunakan. Koleksi-koleksi seperti ini amat berharga buat diri saya kerana nilainya. Idea, proses penyediaan, rundingan, masa serta nilai rekabentuk itu memberi saya kepuasan yang tidak dapat digambarkan sebagai seorang pereka. Melihat deretan rekabentuk yang telah siap malah dengan sebahagian besarnya telah terbina di tapak membuatkan diri saya begitu teruja dan tidak jemu untuk terus menghasilkan idea yang menarik yang boleh memuaskan hati pelanggan. Di situlah tercipta blog ini untuk 'sesuatu' tidak akan dilupakan. Saya cuba untuk memberikan sedikit kelainan dipelbagai sudut berbeza daripada yang lain. Namun, ia bukanlah sesuatu perkara yang begitu mudah. Sebuah usaha yang besar untuk diri saya yang mana kadang-kala terpaksa mengorbankan waktu tidur di malam hari bagi menyiapkan tugasan dalam tempoh diberi. Begitulah antara cabaran-cabarannya kalau mahu disebutkan dan tidak mengapa. Bagi saya, passionate itu mengatasi segala-galanya.

Baiklah. Secara ringkas rekabentuk banglo ini berkonsepkan English Style berkeluasan 3,800 kp secara keseluruhan berbentuk L shape jika dilihat dari sudut pelan susunaturnya. Rekabentuk susunatur ini cenderung mengikut dan disesuaikan dengan bentuk tanah lot pemilik. Pemilik amat meminati sebuah rumah berkonsep English kerana konsep ini memberikan ciri-ciri arkitektur yang jelas dari pelbagai aspek termasuk interiornya. Malah ia juga dalam mengidamkan sebuah kediaman yang berbeza dengan konteks keliling yang begitu tipikal. Tidak mahu mengikut seperti apa yang ada di tapak bagi memberi kelainan apabila pengunjung datang ke rumah beliau. Itu sasarannya.

Banglo ini lengkap dengan 5 bilik tidur termasuk bilik utama dan bilik tamu, 6 bilik air, 1 bilik solat, 1 bilik belajar, 1 bilik multimedia, 1 ruang tamu, 2 ruang keluarga, 1 ruang makan, 2 dapur, 1 bilik basuh dan veranda di bahagian belakang rumah. Agak lengkap bagi kesemua ruang sesuai dengan bukaan keluasan lantainya begitu besar. Terdapat sebuah kolam mandi di bahagian tengah sesudut ruang L banglo memberikan ciri-ciri unik yang boleh diakses melalui ruang tamu malah dari ruang makan. Menjadikan ia sebagai ruang yang begitu tersendiri dan peribadi untuk keluarga berkumpul. Ruang makan mempunyai kemasan siling yang tinggi atau double volumn yang boleh dilihat dari tingkat atas di bahagian laluan. Akhirnya dengan tona warna putih dan kelabu dilengkapkan dengan binaan bumbung condong 45 darjah menjadikan rekabentuk banglo ini unik selari dengan konsep yang dikehendaki.

Bahagian anjung kereta boleh menempatkan 2 buah kenderaan.

Pandangan dari sudut laman yang menempatkan kolam mandi di tengah-tengah sudut.

Pandangan udara yang menampakkan rupa bentuk L-shape

Pandangan udara menunjukkan fasad hadapan banglo.


Friday 3 January 2020

Cafe Racer Girl

Cafe Racer Girl

Medium : Infinite Painter Andriod Apps
Device : Samsung Tab A 2017

Salam tahun baru 2020. 

Percubaan pertama kali menghasilkan lukisan fine painting menggunakan aplikasi Infinite Painter. Belum begitu mahir menggunakan teknik brushes yang disediakan tapi begitu menarik untuk mencuba. Banyak perbezaan antara lukisan tradisional iaitu medium kertas dan menggunakan medium digital. Antara kelebihan utama menggunakan kaedah digital ini ialah teknik multilayer dan juga lakaran boleh di undo sekiranya ada terdapat kesalahan dalam melukis. 

Mengambil gambar ini daripada internet sebagai subjek (kerana saya minat dalam permotoran motosikal konsep klasik moden) dan dilakar semula seterusnya melalui proses mewarna. 


Proses penghasilan imej