Friday 31 July 2015

Merekabentuk hiasan dalaman ruangan dapur untuk Tuan Hj. Nen

Medium : Autocad + 3ds Max + Adobe Photoshop 

Masih ingat tidak anda dengan rekabentuk rumah kediaman yang direkabentuk untuk Tuan Haji Nen dari Terengganu? Saya rasa pembaca masih ingat. Melalui makluman yang beliau beri kepada saya tempohari sebelum Hari Raya Aidilfitri, beliau menyatakan bahawa status kemajuan pembinaan banglo rumah beliau di sana telah mencapai 50% di tapak. Agak baik dan begitu lancar. Satu makluman dan berita yang menyenangkan saya terima. Harapan saya agar momentum pembinaan tersebut akan kekal sehingga kediamannya siap 100 % tanpa masalah. 

Apa saya kongsikan di atas sebenarnya adalah sebuah konsep rekabentuk hiasan dalaman yang dipohon oleh beliau untuk saya ilhamkan memandangkan kerja-kerja pendawaian elektrik telah mula dijalankan untuk keseluruhan rumah. Oleh yang demikian beliau berhasrat untuk mendapatkan sentuhan konsep moden kontemporari bagi ruang dapur yang amat diminati melalui carian di laman sesawang, Firasat beliau beranggapan bahawa dengan adanya konsep awalan seperti ini, sedikit-sebanyak membantu memudahkan tugasan beliau serta kontraktor dalam proses pembinaan kabinet dapur seterusnya kepada perletakan kelengkapan dapur serta suis dan juga soket elektrik. 

Pendapat beliau adalah benar bagi saya di mana proses ini juga dapat membantu sedikit sebanyak mempercepatkan pemilihan bahan kemasan untuk kabinet dapur, kemasan jubin serta aksessori malahan skema warna dinding yang dirasakan sesuai untuk dimuatkan di dalam ruangan dapur. Panduan bercetak mudah dan senang untuk dibayangkan apabila siapnya kelak. 

Justeru itu tanpa berlengah saya mula membuat proses rekabentuk berdasarkan imaginasi juga dibataskan kehendak pemilik panduan. Akhirnya siap jua konsep yang diinginkan dan beliau amat berpuas hati dengan hasilnya. Di sini saya kongsikan sedikit idea yang cuba saya sampaikan. 

Ruangan dapur kering sama seperti di atas. Akan tetapi yang membezakan adalah kelengkapan elektrik, skema cat serta kemasan jubin lantai.

Sebuah ruangan dapur basah yang ringkas, bersih dan moden. Mengekalkan tona putih serta kelabu.