Saturday 21 December 2019

Si Kerinting

Si Kerinting

Medium : Autodesk Sketchbook Mobile
Device : Samsung Note 9

Tuesday 17 December 2019

Merekabentuk banglo 1 tingkat untuk En. Hambali

banglo 1 tingkat
Medium : Autocad + 3ds Max + Adobe Photoshop

Konsep : Modern Contemporary
Keluasan : 2,240 kp (46' x 56')

Assalammualaikum wbt..

Dikongsikan sebuah lagi rekabentuk banglo 1 tingkat untuk En. Hambali dibina di Melaka. Ketika entri ini ditaip, rumah banglo ini telahpun berada di dalam fasa pembinaan yang kemajuan kerjanya telah mencapai 75% ditapak. Saya mengenali pemilik ini melalui kakak beliau yang juga pembaca blog saya. Terima kasih kepada Puan Dianah kerana sudi membaca serta memperkenalkan saya kepada pemilik. Agak lucunya di sini, sehingga ke hari ini saya tidak pernah berjumpa dengan adik beliau walaupun rumah beliau telah hampir siap dibina. Semuanya diberi kepercayaan kepada kakak beliau untuk menguruskan hal berkaitan rumah bermula dari fasa rekabentuk, fasa pembinaan sehingga ke fasa siap. Dimaklumkan adik beliau sebenarnya bekerja diluar kawasan atau off shore di dalam bidang berkaitan oil & gas yang mana komitmen masa untuk sentiasa berada di luar negara. 

Baiklah. Secara ringkasnya, banglo ini berkeluasan 2,240 kakipersegi berkonsepkan Modern Contemporary yang mengambil sedikit sentuhan tropical resort. Konsep ini amat diminati oleh pemilik yang mana ia berkonsepkan elemen lebih santai, bersih serta susunatur ruang yang praktikal selari dengan kedudukan dan layout tanah sediada. Mempunyai ruang kedudukan siling tinggi di bahagian ruang makan memberikan efek yang luas serta nyaman. 

Untuk aspek susunatur ruang, banglo ini memiliki 1 ruang tamu berserta foyer, 1 ruang famili, ruang makan menghadap ke halaman hadapan, 4 bilik tidur termasuk bilik tidur utama, ruang dapur serta 3 bilik air. Jajaran bangunan ini direkabentuk secara melintang yang mana memberi kelebihan dari aspek visual yang boleh dilihat secara terus rupa fasad bangunan dengan sekali pandang sahaja tanpa berpusing ke seluruh bangunan. Itulah salah satu kelebihan banglo ini boleh diketengahkan serta dihiasi dengan skema warna yang moden dan bersih sebagai pelengkap. 

Pandangan dari hadapan 

Pandangan dari sudut sisi

Pandangan dari atas

Sedikit gambar yang sempat diambil oleh pemilik di tapak bina.





Monday 2 December 2019

Saya arkitek bina rumah

Saya Arkitek Bina Rumah

Medium : Infinite Painter Andriod Apps
Device : Samsung Tab A 2017

Sunday 1 December 2019

Pertandingan Melukis Sempena Festival Sungai Melaka 2018

Medium : Ink & Wash

#IMBASKEMBALI

Segmen 'painting' kali ini mengimbas kembali sebuah naskah lukisan yang pernah saya hasilkan sempena Festival Sungai Melaka penghujung 2018 tahun lalu di mana ia dipertandingkan di peringkat kebangsaan. Tanggal bulan Disember ini genaplah usia setahun kisah ini. Entri ini sekadar untuk menjadikan ia arkib serta koleksi saya di dalam blog ini. 

Untuk tahun 2019, festival ini telah kembali lagi dengan membawa tajuk lebih global iaitu The Grand Cultural Festival Melaka River 2019 untuk menarik lebih ramai lagi pelancong dari luar negara. Program pertandingan melukis ini masih ada, tetapi dengan format berbeza iaitu 'Doodle Art'. Acara ini akan berlangsung esok hari, tetapi malangnya saya tidak berkesempatan untuk mengambil bahagian di atas tugas hakiki yang perlu disiapkan. Keinginan mencuba genre 'doodle art' ini bagai mencabar diri yang mana saya tidak pernah sekali mencubanya. Namun, di atas sebab-sebab kerja, saya terpaksa lupa dengan berat hati. 

Oklah. Kembali kepada naskah di atas. Alhamdulillah, percubaan pertama di negeri kelahiran sendiri membuahkan hasil yang mana karya ini memenangi antara 6 hadiah saguhati kategori terbuka menewaskan 'otai-otai ada nama' dan pakar dalam lukisan secara profesional. Cukuplah dan syukur. Objektif saya menyertai pertandingan ini bukanlah untuk menang tetapi lebih kepada kepuasan diri sebagai orang yang amat mencintai 'seni lukisan'. Insya Allah sekiranya diberi kesempatan saya akan cuba lagi untuk peluang-peluang mendatang. 

Sekiranya berkesempatan, anda boleh lihat lukisan saya ini ada dipamerkan di salah satu muzium di Melaka iaitu di Bandar Hilir sebagai koleksi Perbadanan Muzium Melaka selaku pihak penganjur. 

Lukisan bersaiz A1 dilakar dengan pensel dan dikemaskan dengan 'ink' bertemakan Keindahan Sungai Melaka.

Proses 'inking' adalah satu proses mencabar memerlukan ketelitian di atas kanvas yang cukup besar.

Proses menggunakan cat air bermula.  

Sesi mengambil hadiah untuk para peserta yang menang. Saya ada di situ. ;)

Saturday 16 November 2019

Merekabentuk sebuah kiosk 'take away station' di ruang coffee house

Medium : Autocad + 3ds Max + Adobe Photohop

Berikut adalah sebuah konsep hiasan dalaman sebuah kiosk penyerahan atau 'take away station' untuk sebuah kedai minuman 'coffee house' di sini. Sudah agak lama tidak merekabentuk dan menyentuh konsep hiasan dalaman. Sejak kebelakangan ini tugasan saya lebih tertumpu di dalam merekabentuk sesebuah kediaman berbanding genre lain, yang mana saya rasa saya lebih 'laju' dan 'pantas' menghasilkan idea. Aspek hiasan dalaman telah jatuh di kedudukan kedua.

Bukan mudah untuk mendapatkan sesebuah gambaran hiasan dalaman bagi satu-satu tugasan. Ini adalah kerana ia begitu bergantung kepada kehendak pelbagai, citarasa dan selera pemilik malah aspek teknikalnya begitu kompleks untuk diterjemahkan di dalam kertas. Ini belum menyentuh bab CGInya. Penghasilan serta penjanaan konsep 3D melalui komputer juga agak begitu rumit. Memerlukan tahap keupayaan komputer mantap dan berkemampuan barulah hasilnya amat menyenangkan mata yang hasil visualnya umpama nyata. 

Baiklah. Tidak perlu jauh untuk topik itu. Boleh disembangkan kemudian nanti ya. Gambaran yang disisip merupakan hasil idea untuk sebuah kiosk penyerahan berkonsepkan modern classic industrial atau lebih dikenali sebagai 'hipster cafe' yang menjadi trend terkini. Kiosk ini sebagai keperluan tambahan untuk kedai sediada yang mana menyediakan perkhidmatan 'take away' bagi pelanggan yang memesan makan untuk dibungkus. Ruang kiosk ini bersaiz 3m x 5m yang memuatkan pelbagai keperluan dapur seperti display food rack, 4 burner stove', combi oven, on demand drink dispenser, wash basin serta kelengkapan lain berkaitan. Agak kompleks untuk saya memahaminya pada peringkat awal kerana ia berkaitan bidang kulinari yang memang saya tidak mempelajarinya secara langsung. Namun siri perbincangan dan penerangan jelas bersama pemilik serta kontraktor yang membina, akhirnya terrealisasilah konsep itu di tapak. Konsep ini begitu menarik dan ringkas.

Di sini disertakan beberapa imej janaan komputer sebagai panduan untuk pembaca yang sedang bercadang membuka sebuah kiosk kecil-kecillan di luar sana. Sekian. Jumpa lagi.

Gambaran dari sudut tepi

Gambaran dalaman melibatkan susunatur ruang baru

Gambaran secara keseluruhan dalaman

Gambaran di dalam kiosk

Pelan lantai ubahsuai

* Imej 3D ini tidak berapa jelas kerana teknik 'renderring ' menggunakan kaedah yang 'low resolution setup'. 

Saturday 26 October 2019

Merekabentuk banglo 1 setengah tingkat untuk En. Bahari

banglo 1 setengah tingkat
Medium : Autocad + 3ds Max + Adobe Photoshop

Konsep : Modern Classic & Industrial 

Keluasan : 2,100 kp (30' x 78')


Assalammualaikum wbt..

Dikongsikan lagi sebuah rekabentuk banglo 1 setengah tingkat milik En. Bahari yang sedang di dalam fasa pembinaan di Melaka. Mempunyai gaya moden dan klasik yang amat diminati oleh beliau dan dengan mengambil faktor yang diyakinkan oleh saya sendiri bahawa ini adalah salah satu rekabentuk yang bakal menjadi perhatian serta tarikan di kawasan sekitarnya. Olahan ini sangat berani dan begitu eksperimental sekali dengan mengabungkan konsep moden, klasik dan industrial. Tidak ramai klien saya berani mencuba ke arah itu kerana bimbang berurusan dengan ratusan ribuan ringgit tapi akhirnya ia gagal menepati kehendak dan citarasa.

Baiklah, secara ringkas banglo ini mempunyai keluasan 2,100 kp dengan dilengkapi dengan komponen di tingkat bawah seperti ruang tamu utama, ruang tamu peribadi, ruang makan, 2 bilik tidur, dapur basah dan dapur kering, bilik cucian, yard serta 2 bilik air. Manakala di tingkat atas memiliki 1 bilik tidur utama dilengkapi closet menghubungkan bilik air serta balkoni, ruang tamu famili, ruang studio serta 1 bilik utiliti yang boleh dijadikan bilik solat. 

Keistimewaan yang boleh saya nyatakan untuk rekabentuk ini ialah terdapat 1 binaan courtyard di tengah-tengah kediaman yang menjadikan ia sebagai titik tumpu di dalam bangunan. Menarik bukan? Jarang-jarang elemen ini digunapakai di dalam rekabentuk saya setelah lebih 15 tahun berkecimpung di dalam bidang merekabentuk banglo. Elemen courtyard di tengah-tengah bangunan ini  memisahkan ruang tamu utama, ruang tangga serta ruang makan. Anda akan merasai suasana seperti berada di dalam sebuah taman yang mempunyai pokok menghijau semasa berehat di ruang tamu utama malah ketika sedang menikmati santapan di ruang makan. Menarik dan begitu unik. 

Selain itu, ruang tamu peribadi dibina secara double volume mendatangkan impak yang segar dan luas yang boleh dilihat dari tingkat atas melalui ruang keluarga. Binaan cermin kaca yang tinggi dan besar di ruangan ini juga direka untuk membenarkan pandangan luar secara maksimum dilihat di dalam kediaman. Segar dan damai. 

Menyentuh aspek binaan senibina saya mengspefikasikan binaan batuan brick veneer sebagai elemen feature wall  digabungkan dengan tekstur lepaan simen yang dibiarkan untuk setengah-setengah dinding luar untuk mendapatkan efek klasik. Penggunaan komponen besi yang dilapiskan dengan cat legap (matte finished) untuk komponen susurtangan serta rangka atau struktur bumbung patio menjadikan ia seperti di dalam gudang industri lama. Bilik air juga dibina tingkap-tingkap secara tersorok untuk mendapat efek cahaya secara natural. Lain dari yang lain. 

Itulah sedikit sebanyak komponen serta keistimewaan banglo ini dapat saya kongsikan. Insha Allah jikalau berkesempatan saya akan berkongsi lagi elemen ini apabila ia siap kelak. Saya akan tunjukkan di dalam foto yang sebenar sebagai panduan untuk pembaca diluar sana bercita-cita memiliki rumah kediaman seperti ini. Amin..

Terima kasih kepada pemilik banglo ini juga kerana memberi saya ruang untuk bereksperimentasi dan memberi kepercayaan kepada saya di dalam proses merekabentuk. Tanpa persetujuan anda tidak akan terhasilnya sebuah kediaman yang begitu unik ini. Dikongsikan sedikit gambaran visual untuk banglo ini.

Sekian jumpa lagi.

* Nota : Kepada pembaca budiman yang berminat untuk mendapatkan rekabentuk banglo daripada saya boleh menghubungi saya melalui alamat email tertera. Saya akan membalasnya segera. Insha Allah.


Pandangan dari sudut kiri banglo

Pandangan dari sudut kanan banglo

Pandangan hadapan

Padangan ke arah sudut patio atau ruang teres sebelah kanan

Pandangan ruang courtyard daripada sudut tersembunyi 

Pandangan ke arah courtyard dari dalam di ruang tamu utama


Dan sedikit foto sisipan untuk gambaran pembinaan yang sedang berjalan. Akan dikongsi lagi peringkat pembinaan yang seterusnya.



Gambar banglo yang hampir siap dibina :













Monday 2 September 2019

Merekabentuk banglo 1 tingkat untuk Puan Asniza

banglo 1 tingkat
Medium : Autocad + 3ds Max + Adobe Photoshop

Konsep : Modern Tropical
Keluasan : 3050 kp (55'x 64')

Assalammualaikum wbt..

Apa khabar anda semua?. Semoga sihat selalu dan dirahmati hendaknya. Dikongsikan lagi sebuah rekabentuk banglo 1 tingkat dimiliki oleh Puan Asniza dan suami yang bertugas di Sarawak. Namun ketika entri ini ditaip saya tidak berkepastian bahawa pemilik mungkin sudah pun pulang bertugas di Melaka atau sebaliknya. Ini adalah kerana usia rekabentuk ini sedikit lama dihasilkan pada tahun 2015 yang lalu. Begitu cepat masa berlalu rasanya. Harapan saya agar beliau telah pun pulang ke kampung halaman dan hasrat untuk membina banglo yang dirancang kira-kira 4 tahun lalu telah pun melalui fasa untuk dibina atau sekurang-kurangnya merancang sesuatu lebih jauh. Begitulah harapannya. Insha Allah dengan izinNya. 

Baiklah. Sedikit info mengenai banglo ini seperti gambaran di atas. Banglo 1 tingkat ini adalah bersaiz 55' x 64' bekeluasan 3050 kakipersegi yang mengambilkira keluasan dalaman dan luaran secara keseluruhan. Pada hemat saya dengan keluasan seperti ini adalah merupakan binaan yang agak besar berbanding lingkungan 2000 - 2500 kakipersegi yang biasa saya hasilkan. Cukup selesa dan mempunyai komponen ruang amat besar. Itulah yang diimpikan oleh pemilik. Tidak mustahillah banglo ini terdiri daripada 6 bilik tidur termasuk 1 bilik tidur utama lengkap ruangan closet, 3 bilik air, ruang makan beserta patio, dapur kering dan dapur basah, laundry dan yang paling penting sekali ialah ruang tamu yang luas bersaiz 5.3 x 6.3 meter. Ruang tamu ini memainkan peranan yang penting untuk rekabentuk ini di mana dia diletakkan ditengah-tengah berpusat menghubungkan antara ruang-ruang kiri dan kanan yang diletakkan secara melintang. Komponen ini begitu dominan dilengkapi aras siling tinggi double volume yang begitu digemari oleh sesetengah pemilik. Ideanya di situ untuk beristirehat di ruang tamu yang cukup luas sambil memandang lampu limpah pendant light yang tergantung ditengah-tengah. Harapan saya agar pemilik dapat membeli lampu gantung yang sesuai untuk dipadankan dengan ruang yang luas dan jangan tersalah pilih. Akibatnya nanti tidak akan ada kesinambungan antara ruang dan rekabentuk hiasan dalaman itu kelak. 

Menyentuh kepada konsep rekabentuk fasad pula. Konsep rekabentuk ini menjurus kepada modern tropical yang menerapkan elemen-elemen moden dan tempatan. Binaan bumbung berbentuk 'A' secara keseluruhan dihiasi tetunjuk langit mengambilkira kehendak suami pemilik yang berasal dari Terengganu. Agak menarik apabila diolah dengan kemasan bumbung tanah liat yang akan kelihatan natural dan original. Dinding tebar layar bumbung anjung kereta dikemaskan dengan teknik plaster melintang sebagai pengganti kepada kemasan papan yang akhirnya akan dicat berwarna coklat tua. Tiang anjung kereta juga disaluti dengan kemasan brick veneer setinggi 2.1 meter bagi menyerlahkan lagi binaan tiang daripada nampak kosong. Dan akhirnya pemilihan tona warna yang sesuai dapat menaikkan seri rekabentuk banglo ini dicampuradukkan perletakan  tingkap yang agak rawak sebagai penambah perisa.

Secara jujur saya amat menyukai rekabentuk ini bukan sekadar fasadnya sahaja yang unik malah susunan ruang secara melintang yang memberi impak begitu menarik serta tersergam. Bentuk keseluruhan fasad juga dapat dilihat dengan sekali pandang sahaja tanpa untuk pergi ke sisi kiri dan kanan. Begitulah ciri serta kelebihannya. Sampai di sini. Sekian dan jumpa lagi.

Pandangan sisi yang lebih dekat.

Sedikit pandangan dari atas

Pandangan hadapan

Sudut padangan anjung kereta

Monday 29 July 2019

Merekabentuk banglo 1 tingkat untuk En. Shahrul

banglo 1 tingkat
Medium : Autocad + 3ds Max + Adobe Photoshop

Konsep : Modern Contemporary + resort
Keluasan : 2,600 kp (80' x 40')

Assalammualaikum wbt.

Bertemu lagi. Hampir setengah tahun tidak bersua. Bukan menyepi tetapi sedang mengumpul material sebanyak mungkin dan akan saya kongsi secara konsisten selepas ini. Baiklah. Kali ini saya ingin kongsikan sebuah lagi rekabentuk banglo berkonsepkan Modern Contemporary dan sedikit sentuhan resort style milik En. Shahrul dari Kuala Lumpur. Ketika saya sedang menaip posting ini, tuan empunya banglo ini telah pun selamat menduduki kediaman ini iaitu pada bulan Januari 2019 yang lalu. Ya, bukan lagi sekadar konsep sahaja diketengahkan di sini tetapi banglo ini telahpun siap diduduki. Apapapun sebelum terlewat saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada pemilik kerana mempercayai dan sudi mendapatkan khidmat kecil-kecilan daripada saya. Agak terkejut juga cara pertemuan saya dengan pemilik. Bersungguh beliau dan isteri cuba menghubungi saya sekian lama. Akhirnya beliau dapat juga menghubungi saya melalui isteri saya sendiri. Agak lama dan unik. Nanti saya akan ceritakan. 

Oklah. Lokasi banglo ini terletak di negeri Melaka. Berkeluasan 2,600 kakipersegi diambil kira daripada ruang binaan dalaman termasuk binaan terbuka. Memiliki 4 bilik tidur, 3 bilik air, stor, laundry, ruang tamu, ruang makan dan dapur. Pada pertemuan pertama, pemilik mahukan sebuah banglo 1 tingkat yang selesa dan menepati budget yang dirancang. Bagi saya setiap tugasan yang saya terima daripada pelanggan bukanlah sebuah perkara yang mudah. Ini adalah kerana kesemua idea, kehendak dan impian untuk dizahir di dalam rekabentuk banglo idaman adalah berbeza-beza sama sekali mengikut citarasa masing-masing. Pelanggan perlukan A, tetapi selepas diperingkat rundingan ia mungkin akan menjadi A+B atau A- atau kekal A atau sebaliknya. Sifirnya begitu yang mana logikal, praktikal dan bersesuaian dengan kos. Saya sebagai perantara antara dua entiti ini akan memberikan rundingan, khidmat nasihat yang mana saya mampu bagi memberikan gambaran dan kaedah terbaik sebelum ia tercetak di atas kertas blueprint. Namun begitu, semuanya saya anggap sebagai salah satu cabaran di dalam menghasilkan sesebuah idea. Setakat hari ini, ianya berjalan dengan begitu baik dan lancar.

Berbalik kepada cerita banglo itu tadi. Berurusan dengan pemilik sebelum ini begitu mudah dan santai. Cuma 1 kali pertemuan dan urusan seterusnya hanya dilakukan melalui aplikasi whatsapp, akhirnya siap sebuah rekabentuk banglo untuk diperakukan. Beliau sememangnya mahukan rumah kedua ini dibina begitu selesa bagi merehatkan diri apabila pulang sekali-sekala pada hujung minggu. Secara ringkas, ruang tamu utama saya ilhamkan berbentuk tinggi bagi mendapatkan pengudaraan serta pandangan lebih luas. Ruang ini disambungkan ke ruang makan yang terletak ditengah-tengah dan mempunyai bukaan ke teres berhampiran. Ruangan teres itu atau patio dijadikan ruang santai sebelah luar menghadap ke ruangan lanskap. Bahagian dapur sudah semestinya ruang tawanan isteri beliau. Isteri beliau inginkan ruang memasak yang selesa dilengkapi island cabinet ditengah ruang. Ruang tersebut juga dilengkapi dengan pintu kaca sliding yang besar bagi menimbulkan mood santai melihat suasana luar ketika memasak.

Eleman dan komponen arkitektur pula, saya menerapkan kemasan batuan brick veneer untuk luaran, elemen aluminium louvers serta topang bagi menggantikan komponen kayu serta binaan hood dan coping untuk tingkap. Binaan groove daripada jenis composite panel ditampal di dinding bumbung menara diselangi dengan elemen tetiang. Akhirnya, tona warna earth colour mewarnai luaran banglo tersebut untuk mendapatkan konsep yang lebih kepada resort.

Saya sempat mengunjungi ke tapak semasa pembinaan banglo tersebut yang berkebetulan berada di Melaka. Terdapat beberapa perkara ditapak perlu dibincang bagi diselaras kepada pihak kontraktor agar segala keperluan binaan di sana mengikut seperti lukisan dan tertera di atas kertas. Saya juga begitu teruja sepanjang proses pembinaan tersebut dan tidak sabar melihat hasilnya. Alhamdulillah ia berjaya disiapkan dalam tempoh dirancang. Saya juga sempat membantu beliau mendapatkan khidmat peguam tempatan melalui kenalan ketika proses untuk menyediakan kontrak. 

Kredit dan terima kasih kepada En. Shahrul dan keluarga kerana berurusan dengan saya. Semoga tidak jemu untuk terus berhubungan. Kami juga terasa seolah-olah telah menjadi sahabat baik walaupun perkenalan begitu singkat. InsyaAllah kelapangan nanti boleh sentiasa berjumpa. Segala kekhilafan diri juga harap dimaafkan yang mana ia mungkin sesuatu yang tidak boleh dinafikan. Kepada pembaca setia berminat untuk mendapatkan sedikit khidmat daripada saya boleh meninggalkan nombor telefon di ruangan email. Di mana jua anda berada tiada had sempadannya. Sila berikan sedikit butiran diri dan banglo. Saya akan menghubungi anda segera apabila diperlukan nanti.

Sekian. Jumpa lagi.

Pandangan perspektif dari sudut sisi

Pandangan perspektif dari sudut sisi tepat

Pandangan perspektif dari atas

Pandangan perspektif dari hadapan


Di sini saya juga ingin berkongsi sedikit gambaran semasa pembinaan tempohari tahun 2018.