Saturday 14 December 2013

urban sketch : memorial kemerdekaan

medium : pen & watercolour on paper

Berbasikal lagi. 

Selepas 2 minggu berehat, akhirnya saya berbasikal kembali. Selepas menghantar isteri bekerja pada 6.30 pagi tadi, saya bergegas pulang ke rumah bagi mendapatkan set berbasikal yang telah disiap sediakan pada malam hari. Hari ini mungkin kayuhan terakhir untuk tahun 2013. Selain daripada aktiviti yang penuh pada hujung minggu, saya juga sedang berkeadaan jaga-jaga kerana isteri di dalam jangkaan akan bersalin pada bila-bila masa iaitu pada hujung bulan ini ataupun selewat-lewatnya awal tahun baru. Walaupun telah berpengalaman untuk kelahiran pertama, ini tidak bermakna saya mengambil mudah ke atas semua perkara. Oleh yang demikian saya akan bersiap-sedia seboleh-bolehnya. Sebarang aktiviti luar juga saya perlu hadkan buat sementara waktu. Harapan dan doa semoga segalanya berjalan lancar tanpa segala halangan. InsyaAllah.

Oh ya. Bercerita mengenai topik 'halangan' itu tadi mengingatkan saya situasi yang berlaku pada sesi kayuhan pagi tadi. Kesemuanya berjalan lancar seperti biasa pada awalnya namun insiden sebentar tadi membuatkan saya akan sentiasa berhati-hati selepas ini. Ianya bermula semasa sedang asyik melukis bangunan Muzium Memorial Kemerdekaan terletak di Bandar Hilir Melaka. Selepas mendapatkan spot dan posisi terbaik, saya mula melukis. Kedudukan agak sedikit jauh dari kelibat orang-ramai mungkin akan memberi sedikit ketekunan. Namun baru 10 minit lakaran dibuat, kelihatan 3 kelibat manusia yang sedang berjalan menghampiri saya. Pada mulanya saya beranggapan hanyalah orang ramai yang mundar-mandir dan berjalan-jalan pada waktu pagi ketika musim cuti sekolah ini. Tetapi, saya lihat ketiga-tiganya berjalan dalam keadaan mencurigakan sambil memerhatikan saya. Dan sesuatu yang saya perasan dan membuatkan hati saya sedikit berdebar. Rupa-rupanya ditangan ketiga-tiga lelaki tersebut sedang memegang sebungkus plastik yang biasa saya jumpa ketika waktu sekolah dahulu. Alamak! Mamat hisap gam dan sedang berkhayal!. Apa yang perlu saya buat?. Mereka-mereka ini memang sedang dalam keadaan hilang pertimbangan dan berani melakukan pelbagai perkara termasuk memeras ugut!. Suasana agak tegang seketika. Pelbagai perkara buruk bermain di kepala. Ish!

Basikal agak jauh ketika itu. Segala peralatan berbasikal telah saya tanggalkan pada awal tadi agak bertaburan. Sudah pasti saya tidakkan sempat menyarungkan kesemua peralatan termasuk topi jikalau sekiranya saya perlu lari. Segala berkemungkinan akan berlaku. Saya tidak panik. Saya masih berada di situ dan akan bingkas bangun sekiranya ada perkara tidak baik berlaku. Pen masih ditangan dan telah berhenti melukis. Mata saya masih memerhatikan gelagat ketiga-tiga penagih itu. Hening seketika. Dan akhirnya ketiga-tiganya berlalu pergi. Syukur! Namun salah seorang daripadanya tiba-tiba merenung dan terus mendekati saya. Tanpa berlengah lagi, saya bingkas bangun dan capai kesemua peralatan seterusnya beredar. Cilakak!. 

Saya berkayuh sedikit menjauhi tempat itu tadi. Kelihatan pemuda itu terpinga-pinga seketika dan terus beredar sambil terhuyung-hayang mengikuti rakan-rakannya yang lain. Apalah yang bermain difikiran mereka agaknya saya tidak tahu. Mungkin ingin meminta sedikit duit tetapi dengan saya tidak berjaya. Syukur tidak ada apa-apa berlaku. Keputusan yang baik untuk beredar sebentar tadi berbaloi. Saya bertekad. 3 lawan 1 adalah tidak mungkin tetapi tidaklah mustahil. Beredar adalah kesimpulan terbaik. 

Ahh.. apa sudah jadi dengan lukisan saya ini. Baru 30% siap. Sekurang-kurangnya saya perlu ada 30 minit untuk siapkan kesemuanya. Budak-budak nakal itu tidak tahu ke mana mereka pergi. Sekejap sahaja kelibat mereka tidak kelihatan. Hati saya was-was. Mana tahu mereka bersembunyi di pokok atau bangunan berhampiran sekiranya saya kembali ke tempat tersebut itu nanti. Ahh sudah!. Saya bertekad untuk meneruskan sesi melakar walaupun tahu bahaya akan berlaku. Tetapi sebelum itu, saya berkayuh dan berlegar-legar di kawasan berhampiran untuk membuat tinjauan bagi memastikan mereka tiada. Ya! memang mereka ada di situ. Tetapi di dalam keadaan mod tidak bahaya. Rupa-rupanya mereka sedang tidur di bangku berhampiran. Oklah. Harapan mereka ini tidurlah dengan nyenyaknya. Dan jangan mengganggu saya.

Saya kembali melukis dan menyiapkan lukisan tersebut. Tetapi kali ini saya berjaga-jaga. Topi dan sarung tangan tidak saya tanggalkan. Bermakna saya ada masa untuk beredar dengan pantas sekali lagi sekiranya mereka kembali. Saya terus melukis hingga garisan terakhir sambil hati berkata-kata 'kenapa mereka-mereka ini memilih jalan yang sedemikian?' Tidak tahulah kenapa......

     Situasi lukisan yang telah siap dihasilkan. Kelihatan kelibat orang-ramai mula membanjiri dataran Bandar Hilir setelah matahari mula menyinari keseluruhan kawasan. Perasaan rasa lega dan terselamat seketika. Saya bingkas bangun dan beredar untuk pulang ke rumah selepas itu. Tiba di rumah pada jam 9.20 pagi.


Sunday 1 December 2013

urban sketch : muzium

medium : pen & watercolour on paper

Kembali lagi berbasikal. Pagi ahad lalu saya berbasikal ke Bandar Hilir, Melaka. Saya tiba begitu awal pada pagi itu tidak seperti minggu-minggu sesebelumnya. Suasana ketika itu agak damai dan tenang. Kelihatan kelibat-kelibat manusia lalu-lalang di sekitar kawasan tersebut. Mungkin ada bertujuan untuk bersenam dan ada juga sekumpulan pengunjung yang bersiar-siar di kawasan sejarah ini sempena cuti persekolahan yang baru bermula sahaja. Pagi-pagi lagi mereka telah keluar bersiar mungkin ingin merasa keseronokan ketika berada di sini. Waktu inilah juga, hotel-hotel atau tempat penginapan di pusat bandar penuh yang mana secara metametiknya akan berlaku sedikit kesesakan terutama jalan yang menuju ke Bandar Hilir. Hampir sebulan isu kesesakan akan berlaku hinggalah tamat cuti persekolahan nanti. Begitulah rutinnya. Tidak lupa juga dengan pengunjung-pengunjung dari luar negara yang banyak boleh kita lihat terutamanya di sekitar Menara Jam di perkarangan bangunan Stadhuys dan di sepanjang pejalan kaki di Jonker Walk. Banyak tarikan yang boleh mereka dapati di sini di mana saya boleh simpulkan bahawa secara tersiratnya industri pelancongan di Melaka benar-benar berjaya. Tahniah.

Oklah. Cukup sampai di situ. Apa yang saya cuba kongsikan di sini ialah perkara sampingan yang saya lakukan sambil menjalankan aktiviti riadah berbasikal selama ini. Gambaran di atas adalah lakaran yang saya hasilkan pada awal pagi ahad lalu sempena kayuhan santai hujung minggu. Agak lama tidak melakar seperti ini. Keadaan cuaca menjadi penghalang utama untuk tidak berbasikal 2 minggu sebelum ini. Dan dikesempatan ini, saya akan membalas dendam dengan harapan kegatalan tangan untuk melukis akan hilang. 

Objek di atas adalah sebuah fasad bangunan sejarah peninggalan Belanda sekitar tahun 1850 lalu. Bangunan ini telah dipulihara dan kini ia dijadikan sebuah Muzium Islam oleh kerajaan negeri. Bersebelahan dengannya juga terdapat Muzium Setem dan juga sebuah Muzium Rakyat di mana ia dijadikan pakej untuk para pengunjung datang ketika berada di Bandar Hilir, Melaka. 


Senario ketika 60% membuat lakaran sambil duduk di bangku batu yang terdapat di taman permainan berdekatan. Kali ini lakaran mengambil masa lebih kurang 45 minit memandangkan terdapat perincian pada setiap objek yang dilakar.

Lakaran yang telah siap tetapi belum diwarnakan.

Karya yang telah siap dan boleh disimpan sebagai koleksi.