Thursday 31 January 2013

Merekabentuk laman lanskap Dr. Rosnani

Selain kerja-kerja berkaitan arkitektural, saya juga terlibat secara tidak langsung dalam kerja-kerja rekabentuk seni hiasan laman lanskap. Dengan sedikit pengetahuan serta pengalaman yang ada, saya berkemahiran untuk merekabentuk ruangan lanskap yang dikehendaki sehingga ia dapat diadaptasi ke tapak sebenar. Sekiranya saya berkemampuan serta telah bersedia dari sudut kewangan sudah pastinya saya juga ingin memiliki rekabentuk laman lanskap tersendiri di rumah walaupun ianya berskala kecil. Namun, kos membina sesebuah laman lanskap tidaklah begitu mahal tetapi ia masih tetap bergantung kepada skala, keluasan, konsep serta elemen yang dikehendaki di dalam rekabentuk laman itu sendiri.  

Secara amnya, kerja-kerja lanskap terbahagi kepada 2 bahagian iaitu lanskap lembut (softscape) dan lanskap kejur (hardscape). Kebiasaannya ramai pemilik rumah menggemari untuk mengabungkan kedua-dua bahagian ini di mana ia konsep ini mengimbangi antara satu dengan lain. Sebagai contoh, lanskap lembut (softscape) terdiri daripada elemen hijau ia jenis tumbuhan atau pokok-pokok renek, menjalar mahupun pokok berbatang lebih besar seperti rumput bucida tree dan juga dari jenis palm. Lanskap kejur pula (hardscape) membawa maksud elemen lanskap keras dan kekal seperti batuan, kolam air pancut, features wall, wakaf dan juga pergola. Dengan menggabungkan kedua-dua bahagian ini secara tidak langsung iaitu boleh dikategorikan sebagai sebuah konsep lanskap yang seimbang, lengkap serta dapat memberi kepuasan diri terhadap penghayatan unsur alam semulajadi khususnya kepada elemen flora, air, kayu serta batuan.. 

Apa yang ingin dikongsikan di sini adalah sebahagian daripada cadangan rekabentuk konsep yang saya lakarkan kepada seorang pemilik rumah yang memiliki kediaman jenis berkembar 2 tingkat. Keluasan tanah yang terdapat di tapak ini ialah berukuran 2607 kakipersegi di mana ia dikategorikan sebagai laman berskala besar. Secara kasar, pemilik menginginkan laman lanskap hijau, kayu serta mempunyai elemen air. Oleh yang demikian berdasarkan beberapa siri perbincangan dibuat saya memilih konsep kontemporari dan minimalis untuk diterapkan ke dalam rekabentuk tersebut. Berikut adalah beberapa gambaran yang saya telah buat untuk dikongsikan bersama sebagai panduan. 
Susunatur pelan lantai yang telah dilengkapi dengan simbol serta elemen lanskap. 

Selain kerja-kerja lanskap, pemilik juga memohon untuk dimasukkan kerja-kerja ubahsuai bangunan seperti menukarkan pintu pagar sediada kepada jenis automatic sliding & folding gate.

 Elemen wakaf dan curtain water fountain dipisahkan dengan unsur lanskap lembut seperti pokok-pokok renek dan rumput jenis karpet yang diselang-selikan dengan batuan concrete stepping stone.

Bahagian tepi rumah pada asalnya ialah tempat parkir kereta tetapi diubah kepada ruangan deck dan garden untuk pemilik berehat.

Kolam ikan ini menjadikan elemen terpenting di dalam konsep rekabentuk ini. Berehat di ruangan deck sambil menghirup udara segar di luar dan memerhati curtain water fountain di sebelah kanan bangunan. 

Secara kesimpulannya, keinginan untuk memiliki laman lanskap yang sempurna banyak memberikan impak positif secara tidak langsung di dalam kehidupan kita seharian. Selain ia dijadikan seri kepada kediaman ia juga dapat memberi ketenangan jiwa di mana kita memiliki satu sudut mendamaikan untuk untuk berehat selepas melakukan urusan harian serta kerja yang memenatkan. 

Monday 21 January 2013

urban sketch : beriadah sambil melakar - siri 4

Heeren House - Rumah tetamu yang memberi pengalaman menyeronokkan di Melaka.

Masih ingatkah anda iaitu siri ' beriadah sambil melakar'? Nampaknya siri ini masih belum ada penutupnya. Sekiranya anda ingin mengetahui cerita sebelumnya, sila scroll page di bawah. Berikut ialah sebuah lakaran yang saya hasilkan berdasarkan rakaman yang dibuat ketika berbasikal melalui Jalan Tun Tan Cheng Lock, Melaka. Sekiranya anda biasa mendengar Jonker Walk, sudah pastinya lokasi Rumah Kedai ini adalah berhampiran dengan pasar malam jalanan yang terkenal di negeri ini. 

Senibinanya unik, di mana ia masih mengekalkan struktur serta bahasa senibina Belanda dan Inggeris di warnai dengan elemen senibina dari China. Laluan sempit di sepanjang jalan ini memberi impak serta panorama sangat menarik menceritakan sejarah bermulanya revolusi serta era kota melaka yang sangat terkenal suatu ketika dahulu.

 Lakaran dilukis dan diwarna di atas kertas A5 berjilid (fungsi hampir sama seperti moleskine sketchbook)

Tuesday 8 January 2013

urban sketch : kembali lagi ke penang!

Bertemu kembali. Sudah 7 hari kalendar tahun baru berlalu pergi. Namun, masih belum terlewat lagi bagi saya untuk saya mengucapkan 'Selamat Tahun Baru 2013' kepada semua. Semoga azam tahun ini tercapai dan objektifnya lebih baik dari tahun sebelumnya. Penutup tahun 2012 lalu, saya kembali ke Penang di atas urusan kerja. Berada 3 hari di sana sememangnya banyak memberi saya peluang untuk menjelajah lebih jauh lagi berbanding lawatan terdahulu. Apatah lagi, jadual program kali ini lebih longgar dan santai. Maka, dikesempatan itulah saya mencuri masa untuk melakukan beberapa lakaran yang saya boleh berkongsi untuk tatapan semua.

Objektif saya kali ini ke Penang adalah lebih jelas iaitu lawatan teknikal ke atas bangunan lama yang telah melalui proses 'konservasi' yang mana ia juga telah diwartakan sebagai bangunan warisan kebangsaan. Antara bangunan yang dilawati ialah Bangunan Masjid Kapitan Keling dan juga Masjid Lebuh Acheh. Sebagai ringkasan, Masjid Kapitan Keling asal terletak di Lebuh Pitt (sekarang dikenali Lebuh Kapitan Keling) telah dibina di dalam lingkungan tahun 1800 oleh Syarikat Hindia Timur yang telah tiba ke sana pada kurun ke-18. Tokoh yang terlibat dalam usaha membina masjid ini ialah Caudeer Mohudeen berasal dari keturunan peranakkan india muslim yang bertujuan memberi kemudahan beribadat untuk perniaga-perniaga dari India juga penduduk setempat. Selepas kematian beliau masjid asal ini telah diroboh dan dibina semula pada tahun 1916 di atas isu pemilikan tanah. Apa yang menariknya, rekabentuk serta senibinanya diadaptasi daripada kerajaan Moghul yang mengutamakan elemen kubah serta gerbang (arch) dan memberi penekanan dari segi butiran kerawang dan motif bungaan yang terdapat di luar dan di dalam bangunan. Berada di ruangan saf sembahyang membuatkan saya kagum terhadap ketelitian binaan serta kemasan-kemasan akhir bangunan. Ia seolah-olah berada di dalam sebuah masjid terletak di luar dari negara sendiri. Dengan kemudahan yang ada dan disediakan di dalam masjid banyak memberi keselesaan kepada jemaah yang datang. Masjid ini juga dibayai sendiri penyelenggaraannya juga tidak putus dari sumbangan-sumbangan dari pihak luar yang ikhlas. Oleh sebab itulah, keadaannya masih baik terpelihara dari segi aspek senibinanya dan kekal teguh hingga ke hari ini. 

Pandangan dari pintu masuk utama perkarangan masjid.

Senibinanya unik yang mana memberi butiran lebih jelas ke atas elemen gerbang.

Satu-satunya menara asal yang masih kekal hingga ke hari ini.

Kesimpulannya di sini, sekiranya anda sempat berada di Bandar Georgetown singgahlah sebentar ke masjid ini untuk beribadat sambil menikmati keindahan senibina masjid yang dianggap begitu unik dan menjadi mercu tanda penting sebagai Masjid tertua di Pulau Pinang. Keunikan ini juga sebenarnya saya anggap sebagai salah satu lambang sejarah Islam berkembang ke Tanah Melayu suatu ketika dahulu.



Berikut di atas adalah salah satu bangunan kolonial yang terdapat berhampiran hotel penginapan saya. Saya sempat membuat lakaran semasa berehat sebentar di bucu tingkap sambil menikmati panorama Bandar Georgetown. Bangunan ini begitu cantik dipulihara dan kini dijadikan sebagai restoran makan segera berdasarkan lambang yang tertera di dinding bangunan. Sejarah pembinaan serta kegunaan asal bangunan ini tidaklah saya dapat ketahuinya.

Lakaran yang dibuat ke atas kertas bersaiz A5 tetapi belum diwarnakan.

Menara Kastam yang saya dapat lakarkan semasa meninggalkan negeri Pulau Pinang menggunakan perkhidmatan feri. Menara ini kelihatan menarik di bawah panahan matahari.

Ikon yang begitu simbolik terdapat di Pulau Pinang. Apa yang menariknya saya rakamkan feri berwarna biru yang saya rasa jarang lihat berbanding feri berwarna kuning.

Ikuti saya pada sambungan berikutnya. Jumpa lagi....