Monday 22 July 2013

merekabentuk banglo 2 tingkat untuk En. Tahir


Assalammualaikum. Bersua kembali. Entri kali ini saya paparkan sebuah rekabentuk rumah kediaman jenis banglo 2 tingkat di mana rekabentuk ini dipohon untuk dizahirkan oleh seorang pembaca blog ini. Beliau yang dimaksudkan ialah En. Tahir dari Batu Cave, Selangor.

Memiliki sebuah rumah idaman merupakan impian bagi setiap orang khususnya kepada yang telah individu berkeluarga. Apatah lagi sekiranya rekabentuk rumah impian tersebut adalah diilhamkan mengikut citarasa serta konsep yang dimahukan. Dengan adanya faktor ini, menjadikan ia lebih praktikal terhadap kehendak dan kesesuaian sendiri. Begitu juga situasi ini berlaku kepada En. Tahir. Secara ringkas, beliau menyatakan hasrat beliau melalui kiriman email yang berkehendakkan rekabentuk sebuah banglo 2 tingkat ke atas tanah yang agak terhad keluasannya iaitu bersaiz 55' x 40'. Rumah 1 tingkat sediada perlu melalui proses meroboh terlebih dahulu bagi memberi laluan ke atas kediaman yang baru. Antara konsep yang diperlukan ialah sebuah kediaman berbentuk moden, mempunyai 5 bilik tidur, ringkas dan selesa. Begitulah hasrat beliau.

Dengan sedikit lakaran kasar yang diberi sedikit sebanyak membantu saya dalam merekabentuk seterusnya merialisasikan impian beliau. Namun begitu, masih ada sedikit ubahsuai yang perlu saya lakukan kerana mengambilkira aspek kegunaan ruang juga aspek teknikal dalam merekabentuk sesebuah bangunan. Apatah lagi keluasan binaan maksimum yang boleh dihasilkan cuma bersaiz 34' x 30'. Di sinilah terdapat trick dan kaedah yang sesuai boleh diterapkan.

Maka, terhasillah sebuah rekabentuk rumah kediaman seperti di atas. Konsep yang saya ketengahkan ialah rekabentuk berbentuk segi empat tepat. Tiada dinding yang temasuk atau keluar dari fasad banguan kerana ia boleh mengecilkan saiz ruang. Dengan memaksimakan keluasan ruang seterusnya menonjolkan beberapa elemen untuk menampakkan segmen bangunan - kaburkan pandangan daripada melihat bangunan kotak empat persegi dengan elemen 'features wall' + balcony + concrete hood  dan jack roof di ruang utama. Dengan memainkan tona warna lembut serta kontras menaikkan lagi fasad banglo ini. Akhirnya terbentuklah sebuah konsep kediaman yang kompak, luas, modern, hijau (landskap) dan menarik.

Apapun saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada En. Tahir kerana sudi mendapatkan khidmat serta pandangan daripada saya. Saya akan cuba sedaya upaya untuk membantu berdasarkan kemampuan. Malangnya saya tidak dapat untuk mengkongsikan rekabentuk pelan susunatur yang telah siap untuk bangunan ini sebagai rujukan kerana ia telah dipatenkan hanya kepada pemilik ini. Yang ada cuma sebahagian pandangan luaran yang boleh dikongsikan bersama.

Monday 8 July 2013

urban sketch : fasad rumah kedai lama

Medium : Snote, Samsung Note II

Satu lagi lakaran yang terhasil pada hari semalam. Fasad rumah kedai yang sama, namun ia memfokuskan lebih terperinci terhadap elemen senibina yang terdapat pada bangunan tersebut yang mewarisi bahasa senibina Inggeris dan Belanda. 

Sunday 7 July 2013

urban sketch : jalan hang tuah

Medium : Snote, Samsung Note II

Seperti biasa, hari ini saya keluar awal pagi untuk menghantar isteri bekerja. Saya memakirkan kereta di Jalan Hang Tuah memandangkan ada lagi sedikit masa lagi sebelum waktu bekerja pukul 8 pagi bermula. Pagi ini cuaca sungguh baik dan terdapat sedikit kelompok-kelompok awan dihujung sana menandakan kemungkinan akan hujan. Terdapat kilat kelihatan dicelah-celah kelompok awan tersebut. Ini menguatkan andaian hujan akan turun bila-bila masa nanti. Akhbar hari ini juga telah saya selak. Tiada tajuk yang menarik perhatian. Saya akan membacanya semula lebih terperinci apabila berkesempatan nanti. Sambil-sambil itu, saya membuka telefon pintar untuk mula melakar. Akhirnya lakaran ini dapat saya lakarkan tatkala suasana awal pagi yang agak lengang daripada sebarang kenderaan.

Monday 1 July 2013

Studio suite, Gold Coast Morib


Ini merupakan siri terbaru daripada saya. Siri ini saya namakan sebagai Isometric yang memaparkan susunatur ruangan (room layout) sesebuah tempat yang saya tinggal atau singgah dan diterjemahkan semula kepada sebuah lukisan. Idea ini sebenarnya tercetus secara spontan pada minggu yang lalu, semasa bercuti di Gold Coast Morib Resort, Banting Selangor iaitu sehari selepas hari konvokesyen isteri di Kuala Lumpur. Secara peribadi, saya begitu kagum dan selesa dengan bilik studio suite yang kami tempah. Susuatur bilik yang standard untuk sebuah hotel, kemasan binaan, konsep hiasan dalaman serta fasiliti yang disediakan amat menarik perhatian saya. Saiz bilik tersebut sangat luas dilengkapi beberapa elemen tambahan seperti balkoni serta jakuzzi. Sungguh menarik untuk sebuah percutian keluarga. 

Sambil termenung sejenak, saya mula berfikir untuk mengilhamkan sesuatu terhadap percutian ini sebagai kenangan selain daripada mengambil gambar photo yang sentiasa saya rakam. Akhirnya saya mendapat idea untuk melakarkan sebuah lukisan isometric yang saya pernah pelajari suatu masa lalu ketika menuntut di dalam jurusan senibina pada penghujung tahun 90an hingga awal tahun 2000. Idea ini nampaknya begitu menarik selepas lebih 10 tahun tidak dieksperimentasi!.

Secara ringkas, lukisan isometric merupakan sebuah lukisan teknikal sudut 30 darjah yang dilukis menggunakan nisbah skala tertentu. Lukisan ini boleh dilakarkan menggunakan dua kaedah iaitu menggunakan perisian komputer ataupun secara tradisional (manual). Teknik yang saya pilih ialah kaedah tradisional yang melibatkan penggunaan peralatan melukis seperti 'T square', Protactor, fan scale juga peralatan lain seperti pemadam, teknikal pen & pensel. Saya memang amat menggemari kaedah ini sejak dahulu lagi kerana ia menggunakan 100% ketelitian, kepakaran tangan serta skill untuk melukis berbanding menggunakan perisian komputer. Di situlah terletaknya value dan cabarannya. Lukisan yang saya akan hasilkan menggunakan nisbah skala 1 : 50 untuk sebuah bilik kerana ia lebih besar dan jelas untuk dilihat.  

Dilukis di atas board, ditampal menggunakan musking tape ke atas kertas lukisan bersaiz 278mm x 360mm dengan ketebalan 135gsm.

Walaubagaimanapun, perkara pertama yang perlu dibuat ialah ukuran bilik perlu diambil dan direkodkan sebelum menghasilkan lukisan isometric ini. Tugas ini lebih mudah sekiranya ukuran telah diambil tanpa sesi berkira-kira semasa melukis. Saya hanya menggunakan kaedah anggaran untuk mengambil saiz bilik iaitu dengan mengganggarkan saiz jubin lantai sebagai nisbah. Adalah sememangnya pita ukuran tidak perlu dibawa semasa bercuti.


Pelan Lantai

Lukisan perspektif.

Lakaran kasar saiz bilik dilakar menggunakan medium peranti telefon pintar. Selain itu juga, saya sempat melakarkan lukisan perspektif menggunakan medium yang sama ketika berada di atas katil sambil menonton tv. Banyak sungguh pengisian masa saya ketika bercuti. =)

Akhirnya, lukisan isometric saya siap dihasilkan dalam masa sekitar durasi 2 jam tanpa henti (merujuk lukisan di atas). Lukisan ini saya lukiskan semula setelah seminggu pulang dari sana. Walauapapun kenangan bercuti ini masih segar dalam ingatan membuatkan saya begitu teruja untuk dikongsi bersama walaupun sedikit. Saya sarankan anda berkunjung ke sana sekiranya berpeluang kerana tarikan utama yang membuatkan anda betul-betul teruja ialah teman tema ini selain momen indah meluangkan masa bersama keluarga !!