Tuesday 2 December 2014

Merekabentuk hiasan dalaman untuk kediaman En. Fizzy

Medium : Autocad + 3ds max + Adobe Photoshop

Apa yang dipaparkan di atas adalah salah sebuah rekabentuk hiasan dalaman yang saya hasilkan beberapa bulan yang lalu untuk En. Fizzy dari Melaka. Rekabentuk ini dibuat adalah bertujuan sebagai rujukan konsep hiasan dalaman cuba menepati citarasa beliau yang bakal dibina sedikit masa lagi. Proses ini melibatkan beberapa ruang penting seperti dapur, ruang makan serta laluan tangga ke tingkat atas. Beliau membayangkan konsep moden kontemporari serta elegen selari dengan kehendak semasa yang amat popular masa kini.

Ruangan terpenting yang dicadang untuk direalisasikan berkonsepkan sentuhan moden ialah ruangan dapur. Selepas membuat beberapa sesi lawatan ke tapak bina yang masih di dalam proses pembinaan, saya dapati ruang legar dapur ini sangat luas dan memanjang bersaiz anggaran 28' x 14'.  Oleh yang demikian saya perlu bijak untuk membuat olahan serta susunatur yang sesuai agar tiada ada ruang lebihan yang tidak berfungsi. Dengan itu saya memilih untuk meletakkan ruangan aktif iaitu bahagian memasak ke bahagian belakang dilengkapi dengan 'island counter top', deretan kabinet lekap dan tergantung yang dipisahkan oleh 5' panjang 'bar counter'. Diletakkan juga set mini 'coffee table' agar pemilik boleh menikmati makanan secara personal. 

Akhir sekali kemasan yang saya cadangkan ialah menggunakan sistem 'aluminium frame cabinet' dilengkapkan dengan 'solid top' untuk papak kaunter yang bertonakan konsep hitam & putih secara keseluruhan. 

Gambaran susunatur kabinet dari pandangan sisi.

Mencadangkan konsep minimalis untuk ruangan makan yang bersaiz 12' x 11'.

Konsep yang lebih berat tapi masih mengekalkan tona hitam dan putih bagi ruangan laluan ke tangga.

Sunday 16 November 2014

Merekabentuk sebuah banglo 2 tingkat untuk Tn. Haji Ruzenan

Medium : Autocad + 3ds max + Adobe photoshop

Merekabentuk sebuah banglo dua tingkat untuk Tuan. Haji Ruzenan. Itu adalah tajuk kepada rekabentuk berkonsepkan moden dipohon oleh salah seorang pembaca yang berasal dari negeri Terengganu. Syukur Alhamdulillah akhirnya siap jua rekabentuk ini dan telah diserahkan lengkap berserta lukisan pembinaan (Pakej B) kepada pemilik beberapa minggu lalu. 

Tuan Haji Nen ini (panggilan ringkas) amat meminati dan memasang impian memiliki sebuah rekabentuk moden yang menjadi daya tarikan masa kini. Tidak dinafikan konsep sebegini menjadi ikutan kerana bentuk senibinanya unik, cantik, plain, clean dan kemas diolah daripada konsep vertical serta horizontal elemen. Begitu dominan walaupun ianya ianya hanya dibina di pinggiran bandar. Satu keputusan yang bertepatan diambil oleh beliau setelah meneliti rekabentuk sebuah banglo yang hampir sama ditemui di dalam blog saya sebelum ini. 

Secara ringkas, banglo dua tingkat ini dilengkapi dengan 5 bilik tidur termasuk bilik tidur utama, bilik solat, bilik utiliti, 5 bilik air, ruang tamu utama, ruang famili, dapur kering dan dapur basah. Kemudahan-kemudahan sedemikian dapat disediakan di atas anggaran binaan bersaiz 57' x 43'  yang menjadikan banglo ini sudah begitu lengkap dengan kesemua keperluan ruang asas. 

Elemen bumbung curam menjadi item terpenting memainkan peranan sebagai sebuah binaan moden dikemaskan dengan kemasan bumbung jenis genting konkrit. Binaan 'concrete hood atau coping' diolah untuk dijadikan sebagai elemen pelembut kepada dinding yang kosong. Ia juga memberi refleksi bayang-bayang yang amat menarik kepada permukaan dinding apabila matahari mula menyodong. Dan akhirnya tona warna putih atau offwhite dan sedikit warna kelabu kehijauan untuk efek kontras menghiasi kulit luaran fasad menjadikan ianya bersih dan kemas.

Begitulah sedikit sebanyak info yang boleh dikongsikan sebagai panduan bersama. Dikesempatan ini saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada beliau kerana sudi mendapatkan pandangan serta perkhidmatan yang tidak sebeberapa daripada saya. Maaf dipinta sekiranya terdapat kekurangan sepanjang berurusan. Semoga maju jaya dan impian yang diidamkan akan terlaksana jua.. =)

Pandangan dari sudut sisi.

Saturday 8 November 2014

Pertandingan melukis Citra Terengganu 2014 - Kategori Karya Siap

Medium : Pencil & watercolour on A1 size paper

Ini adalah sebuah cerita lama. Pertandingan melukis ini telah diadakan pada bulan Ogos yang lalu di mana saya telah mengambil peluang menyertainya. Bermakna telah hampir 3 bulan berlalu semasa entri ini ditulis. Sekadar untuk berkongsi dan mengimbas peristiwa ini untuk dijadikan ingatan serta panduan untuk diri sendiri pada masa mendatang.

Perasaan ingin mencuba ini tercetus pada peringkat awalnya setelah terbaca artikel salah seorang rakan blog yang menghebahkan perkara ini. Pada mulanya niat masih samar-samar memandangkan lokasi pertandingan ini terlalu jauh di sebelah pantai timur semenanjung. Apatah lagi saya tidaklah begitu mahir kerana hanya beberapa kali sahaja berkunjung ke sana. Namun, setelah beberapa perkara diambil kira saya bertekad untuk menyertainya walaupun sedikit perasaan ragu-ragu masih ada. Ragu kerana ini hanyalah kali ke-2 penyertaan saya untuk pertandingan besar seperti demikian dewasa ini selepas di Putrajaya tempohari. Kali terakhir disertai ialah ketika waktu sekolah dahulu dengan skala yang lebih kecil. Inilah risiko yang perlu saya ambil. Apatah lagi saya hanya boleh dikategorikan 'biasa-biasa sahaja' jika nak dibandingkan dengan pelukis-pelukis professional serta handalan yang sudah pasti turut serta dalam pertandingan ini. Secara teorinya mereka ada kelebihan. Kerdilnya rasa. Kemahiran serta pengalaman itu yang membezakan. Sebuah kenyataan yang tidak boleh disangkal. Walauapapun jua saya bertekad mencabar diri. Saya cuba sebaik mungkin dengan apa yang termampu. Hadiah adalah saguhati sekiranya dimenangi tetapi pengalaman yang ditimba itu adalah lebih berharga. Sekurang-kurangnya sedikit sebanyak saya boleh memperbaiki teknik, ilmu serta pendedahan di dalam seni melukis ini.  

Baiklah. Secara ringkas, pertandingan ini telah diadakan secara tetap tiap-tiap tahun dianjurkan oleh Lembaga Muzium Negeri Terengganu yang masuk edisi ke-5 kalau tidak silap jangkaan saya. Kali ini ia diadakan sempena tahun melawat Malaysia dengan bertemakan Citra Terengganu 2014 dengan menawarkan hadiah begitu lumayan. Terdapat 2 ketegori dipertandingkan iaitu Kategori Karya Siap & Kategori Spontan. Kategori Karya Siap membawa maksud karya perlu dihasilkan pada waktu tertentu, menyiapkannya dan dihantar kepada urusetia pada tarikh ditetapkan. Subjek adalah Monumen dan bangunan bersejarah di Terengganu. Manakala Kategori Spontan membawa maksud karya perlu disiapkan di lokasi yang di tetapkan di Muzium Terengganu dalam tempoh 3 hari. Subjek pula adalah sebuah permainan tradisional rakyat Terengganu. Saya mengambil keputusan untuk menyertai kedua-dua kategori dan bersedia untuk ke sana pada tarikh ditetapkan. Segala persediaan dan kelengkapan dibuat bagi merealisasikan impian tersebut. 

Dipendekkan cerita, berikut di atas adalah sebuah hasil karya yang telah 95% siap semasa foto ini dirakam. Subjek yang dipilih bertajuk 'Refleksi Masjid Terapung' iaitu permandangan Masjid Tengku Tengah Zaharah terletak di Kuala Ibai di Kuala Terengganu. Mesej yang saya cuba ketengahkan imej cermin hasil daripada pembalikan cahaya dari permukaan air menceritakan keindahan sebuah masjid terapung di Terengganu. Mewarna menggunakan medium cat air memerlukan ketelitian cukup tinggi terutama ketika mengawal berus. Komposisi serta campuran air dan warna yang sesuai akan menghasilkan impak menarik ke atas lukisan. Dan di situlah panduan yang saya cuba praktikkan. Kali ini saya cuba untuk lebih cermat dan tekun untuk mendapatkan hasil yang bermutu dan lebih baik. Secara jujur pada pandangan peribadi saya, ini adalah karya terbaik yang pernah saya hasilkan setakat ini. Belum pernah sekali saya hasilkan lukisan begitu teliti seperti ini berdasarkan objek pegun melainkan lukisan dalam bentuk lakaran pantas sebagai kegemaran. Harapan agar ini dianggap satu permulaan dan akan ada yang seterusnya. InsyaAllah.

Lukisan ini saya hasilkan dalam tempoh dua malam iaitu berkebetulan hampir 2 minggu lagi untuk kita menyambut bulan Syawal. Jadi dikesempatan persediaan menyambut Aidilfitri bakal menjelang di sinilah peluang menyiapkan sebuah lukisan yang akan dihantar ke Terengganu sebelum tarikh ditetapkan. Saya berkesempatan merakamkan proses menyiapkan lukisan tersebut namun agak malang baru beberapa hari lalu saya tertekan butang delete pada folder menyimpan gambar-gambar berkaitan. Tiada lagi rekod atau bukti proses melukis yang boleh diselitkan. Yang tinggal hanyalah dua gambar yang telah siap. Begitu menyesal di atas kecuaian sendiri. 

Akhirnya lukisan yang telah siap dan mula untuk dibingkaikan. Perancangan asal adalah untuk mengepos lukisan ini menggunakan khidmat pos laju terbantut selepas mengetahui berita mengenai kesemua perkhidmatan surat-menyurat telah dihentikan seketika memandangkan Aidilfitri telah hampir menjelang tiba termasuklah perkhidmatan swasta. Berderau darah. Saya agak kaku dan kaget seketika sewaktu berita ini diterima. Apa akan jadi seterusnya?. Kenapa perkara ini saya tidak ambil kira pada peringkat awal. Kenapa saya tidak siapkan lebih awal sedangkan tempoh 3 bulan diberi. Saya mula menyalahkan diri sendiri memandangkan tempoh penghantaran tamat ketika umat Islam baru menyambut Aidilfitri hanyalah pada hari ke-6. Waktu itu kita sedang sibuk beraya di rumah saudara sedangkan saya berfikir untuk ke Terengganu untuk menghantar lukisan. Aiseh.. 

Syukur kepada Allah. Segala kekusutan terlerai setelah lukisan saya boleh tiba tepat pada waktunya dengan bantuan seorang rakan. Terima kasih tidak terhingga kepada saudara Afandi rakan sekerja saya. Secara berkebetulan beliau sebenarnya akan beraya di Terengganu di rumah mertua untuk giliran kali ini. Maka dalam tempoh beberapa hari lagi beliau sekeluarga akan bertolak pulang kerana mengambil cuti yang panjang lebih awal. Alangkah gembiranya di hati kerana berita ini. Tiada kekusutan lagi. Setelah menceritakan perkara niat dan perkara sebenar, beliau begitu berbesar hati untuk membantu saya menghantar lukisan ini ke lokasi. Jarak yang hanya 20km dari rumah mertua tiada mendatangkan masalah kepada beliau. Beliau sudi membantu. Syukur. Berterima kasih tidak terhingga saya kepada beliau sekali lagi, Mohon maaf dipinta kerana mengambil sedikit ruang di dalam kenderaan untuk meletakkan lukisan bersaiz A1. Agak sedikit besar dan memakan ruang kabin yang sudah pastinya penuh dengan bagasi pakaian. Mungkin di situ akan timbul sedikit kesulitan. Maaf sekali lagi.

Akhirnya lukisan saya tiba di destinasi setelah dimaklumkan. Resit telah diterima sebagai bukti penghantaran dan akan digunapakai semasa sesi penyampaian hadiah sekiranya terpilih. Maka hanya masa dan waktu akan menentukan samada saya mempunyai rezeki ataupun tidak... 

Sungguh mendebarkan. Ikuti entri ini untuk sambungan akan datang..


Lukisan yang telah siap dan dibingkaikan sempurna.

Tuesday 21 October 2014

Merekabentuk banglo 1 tingkat untuk En. Hadi

Medium : autocad + 3ds max + adobe photoshop

Bersua kembali. 

Sudah agak lama rasanya saya menyepikan diri daripada mengutuskan sebarang entri. Maaf kerana tidak berpeluang dan diberi peluang untuk singgah sebentar di ruangan ini. Alasan dan sebabnya adalah kerana saya tiada kesempatan untuk berbuat demikian seperti selalunya. Beban tugas kali ini agak tinggi dan mencabar membuatkan saya perlu berkira-kira dengan masa yang ada. Dan syukur hari ini saya berjaya kembali. Tidak sabar rasanya untuk berutusan semula seperti biasa. 

Baiklah. Kali ini saya ingin kongsikan sebuah rekabentuk kediaman banglo 1 tingkat yang telah siap direkabentuk untuk En. Hadi dari Melaka. Hasrat pemilik ini hadir dan dinyatakan kepada saya melalui email selepas terjumpa blog saya ini di maya ketika membelek-belek imej rekabentuk kediaman yang sesuai seperti yang diinginkan. Beliau bercadang untuk mendapatkan khidmat yang berkebetulan saya juga berasal dari negeri yang sama di mana proses serta rekabentuk konsep boleh dijanakan sehingga kelulusan diperoleh daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Begitulah hasrat yang dinyatakan beliau kepada saya diperingkat awalannya. Akhirnya selepas persetujuan diperoleh berserta rentetan siri perbincangan dibuat, maka proses rekabentuk pun bermula. Syukur Alhamdulillah, baru beberapa hari yang lalu En. Hadi telah pun berjaya menandatangani pelan permohonan kelulusan untuk dihantar ke PBT iaitu pada ketika dan waktu entri ini dikongsikan di sini. Kalau tiada halangan teknikal di peringkat PBT InsyaAllah kurang 1 bulan atau lebih pelan kelulusan boleh diperoleh. 

Secara ringkasnya banglo tersebut berkeluasan anggaran 2100kps dibina di atas lot bersaiz 60' x 100'. Keperluan ruang dan bilik adalah hampir sama seperti mana-mana rekabentuk standard yang ada di pasaran melainkan sedikit keselesaan dari segi saiz serta susunatur ruang /bilik terutamanya ruang tamu. En, Hadi berkehendakkan sebuah konsep ruang tamu yang luas, selesa, nyaman menghadap ke arah laman terbuka. Untuk mencapai hasrat itu saya mengolah saiz ruangan tersebut bersaiz 20' x 18' yang mempunyai double volumn dilengkapi dengan ruang teres beserta patio untuk ruang rehat. Ruang tamu ini boleh diakses ke laman dengan melalui pintu besar (aluminium sliding & folding door) pelbagai fungsi. Elemen tersebut dijadikan aset terpenting tarikan untuk banglo yang berkonsepkan tropikal & resort style ini. Selain daripada itu, elemen batuan facing brick serta dikemaskan dengan skema cat tona earth colour diadaptasikan sebagai kemasan akhir untuk banglo ini selain konsep exposed rafter. Bumbung tempat letak kereta (porch) ditinggikan dari aras lantai untuk menghasilkan impak gah sekiranya dilihat dari bahagian hadapan bangunan. Kemasan artificial plank dipasang di bahagian tebar layar menggantikan efek kayuan. Bumbung genting tanah liat juga dijadikan elemen pelengkap yang begitu kemas dan cantik seiring dengan konsep tropikal yang diterapkan.

En. Hadi begitu berminat dan bersetuju dengan konsep banglo yang telah diusulkan hasil perbincangan serta percambahan idea setiap kali dibincangkan secara berperingkat sebelum ini. Mengikut perkiraan kediaman ini dirancang untuk dibina pada awal tahun hadapan di mana selepas sahaja kelulusan diperoleh. Harapan dan doa agar tiada halangan serta segalanya berjalan dengan lancar sehinggalah apa yang diidamkan terbina di depan mata. Di pihak saya, saya ingin merakamkan ucapan jutaan terima kasih yang tidak terhingga kerana beliau sudi mendapatkan bantuan saya walaupun cuma saya anggap ia sebuah perkhidmatan kecil-kecilan daripada saya. Semoga beliau berpuas hati dengan apa jua yang diberi serta diperoleh sepanjang menjalankan urusan ini. Dan mohon kemaafan sekiranya ada kekurangan yang mungkin tidak dapat dielakkan. Terima kasih sekali lagi.

Untuk para pembaca, pelan lantai banglo ini tidak saya sertakan di dalam blog kerana ia adalah sebuah hak cipta terpelihara dihasilkan esklusif hanya untuk pemilik banglo ini sahaja. Yang dikongsikan serba sedikit hanyalah gambaran fasad luaran banglo yang boleh dijadikan panduan dan gambaran idea. Sekian.


Konsep patio sebagai ruang rehat yang begitu santai.

Tuesday 23 September 2014

Merekabentuk 'kitchen cabinet' untuk ruangan dapur

Pandangan A

Pandangan B


Sambungan daripada entri sebelum ini :

Berikut adalah sebuah gambaran 3d perspektif rekabentuk perabot lekap ruangan dapur milik En. Abd Talib seperti yang pernah dipohon sebelum ini. Gambaran kasar ini hanyalah sebagai sebuah konsep awalan di mana ia digunapakai sebagai rujukan ketika proses pembinaannya kelak. Menggunakan 'solid surface' sebagai kemasan 'counter top' serta lapisan 'maica laminated' bercorak 'wood grain' sebagai kemasan akhir untuk binaan perabot. Bahagian dinding dapur dikemaskan dengan binaan 'decorative glass mosaic'  bertona coklat asas untuk menaikkan lagi seri sebuah konsep dapur moden.


Thursday 4 September 2014

Mengubahsuai 2 unit semi-d menjadi sebuah banglo untuk en. abd talib


medium : autocad + 3dsmax + adobe photoshop

Sekadar ingin berkongsikan sebuah imej saya hasilkan di mana sebuah konsep rekabentuk 2 unit kediaman jenis berkembar (semi-d) ditranformasi menjadi sebuah banglo 2 tingkat dengan tujuan mencari kelainan berbeza daripada unit kediaman standard yang terdapat di sebuah taman perumahan di sini. =)

Sunday 31 August 2014

Menaiktaraf fasad banglo en. zeff

medium : autocad + 3dsmax + adobe photoshop

Assalammualaikum dan bersua kembali. Berikut adalah sebuah visual 3d kerja-kerja naiktaraf sebuah banglo 2 tingkat milik En. Zeff dari Melaka. Sebagai ringkasan, rekabentuk banglo ini sedang menunggu fasa pembinaan setelah mendapat kelulusan daripada PBT dan dijangka dibina di dalam masa terdekat. Pada peringkat awal, rekabentuk banglo ini telah dihasilkan terlebih dahulu oleh salah sebuah firma arkitek yang telah dilantik oleh beliau. Namun, apabila tibanya masa fasa pembinaan, beliau berasa agak kurang gembira terhadap imej yang telah dipersetujui serta merasa ragu terhadap kecantikan fasad banglo itu kelak.

Setelah diperkenalkan oleh salah seorang rakan, beliau menghubungi saya untuk mendapatkan sedikit pandangan. Saya memaklumkan yang saya sedia membantu sekadar yang termampu. Setelah pelan kelulusan disemak, saya dapati pelan tersebut amat bersesuaian sepertimana yang dikehendaki sebagaimana dipersetujui. Namun, pada pandangan saya ia boleh dinaiktaraf untuk mengindahkan lagi rekabentuk luaran tanpa pertambahan kos yang banyak serta yang paling penting adalah mengurangkan pindaan dari sudut struktur. Apapun ia terpulang kepada pemilik samada perlu sedikit perubahan atau kekal seperti sediada.

Akhirnya beliau bersetuju untuk melakukan sedikit make-up terhadap fasad bagi merealiasaikan impian memiliki sebuah banglo yang cantik, berfungsi dan praktikal. Saya mencadangkan sebuah konsep kontemporari dan resort yang mana ia adalah sebuah pendekatan yang terbaik bagi sebuah konsep kediaman yang relaks serta damai.

Persetujuan dimeterai dan tibalah masanya untuk saya membina semula model 3d bangunan tersebut berdasarkan pelan kelulusan yang diberi. Dengan menambah elemen unjuran bumbung, menambah ruang balkoni / patio bilik tidur utama, konsep coping, groove line dan hood, eleman kemasan brick veneer. artificial composite plank, aluminium louvers dan pebbles wash stone, mengolah lokasi tempat letak kereta, redesign & repositioning glass windows serta menambahbaik skema warna bangunan akhirnya terbentuklah sebuah konsep banglo dua tingkat yang diidamkan oleh pemilik. Beliau berpuas hati dengan makeover yang saya berikan.

Berikut adalah sebahagian gambaran serba sedikit hasil kerja yang telah siap.






Di bawah adalah gambaran rekabentuk asal disiapkan oleh arkitek yang dilantik oleh pemilik sebelum ini dan dikemukakan kepada saya pada peringkat awal. Rekabentuk 3d tersebut menggunakan aplikasi Sketch-up.




Thursday 24 July 2014

koleksi : the unsinkable ship II

medium : pencil on paper

Beberapa minggu lalu, saya berkesempatan membersihkan bilik bujang saya di kampung memandangkan ia bakal digunakan semasa Aidilfitri nanti. Almari-almari lama saya selongkar dengan tujuan untuk membuang mana-mana barang yang tidak perlu untuk mengurangkan suasana semak di pandangan mata. Ruang-ruang tersebut bolehlah digunapakai untuk meletakkan barang-barang baru yang dirasakan lebih perlu untuk masa ini. Majalah-majalah lama, baju-baju yang telah sendat serta beberapa barangan lama saya kumpulkan untuk diletakkan di tempat pembakaran. Sayang tapi apakan daya saya perlu korbankan demi keperluan keluarga yang semakin membesar. 

Namun apa yang menggembirakan saya pada ketika itu, apabila saya terjumpa kembali sekeping lukisan lama bersaiz A4 pada tahun 1997 yang masih tersimpan di dalam sebuah fail milik saya. Alangkah gembiranya apabila terjumpa kembali koleksi ini. Yang lain tidak ditemui lagi. Walaupun terdapat gigitan lipas pada helaian lukisan, tetapi visual lukisan ini masih jelas dan terpelihara. Ini bermakna bertambah lagilah koleksi-koleksi lukisan lama yang boleh saya simpan sebagai kenangan. Gambar tersebut memaparkan sebuah kapal Titanic yang ingin meninggalkan pelabuhan dipenuhi oleh manusia yang membuat lambaian-lambaian terakhir. Apa yang membanggakan saya pada lukisan ini ialah rasanya saya berjaya hasilkan stroke lambaian manusia di jeti yang kelihatan agak hidup pada waktu dan ketika itu!.  =)

Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir & Batin..

Friday 11 July 2014

pertandingan cat air Floria Putrajaya 2014

Medium : watercolour on A3 size paper

Sudah lama rasanya saya tidak menyertai sebarang pertandingan melukis. Kali terakhir ialah di zaman persekolahan kira-kira 15 tahun lalu. Kali ini saya berpeluang untuk merasai suasana pertandingan tersebut dengan niat sekadar untuk menimba pengalaman. Mencuba nasib sekiranya terpilih. 

Pertandingan tersebut berlangsung pada 15 hb jun 2014 lalu bertempat di Tapak Floria Putrajaya. Menyertai pertandingan tersebut bukan sesuatu yang dirancang. Ditambah pula, sudah pastinya kehadiran pelukis-pelukis pro dan amatur yang sudah tentunya biasa dengan suasana serta cekap dalam menyiapkan sebuah lukisan mengikut durasi masa yang telah ditetapkan. Sememangnya peluang agak menipis. Namun setelah terbaca iklan ini di dalam sebuah blog rakan, saya bertekad untuk menyertainya. Kredit untuk saudara AzmanNor dari grup Gangsta Watakala kerana memberi info. 

Semasa entri ini ditulis, sudah semestinya telah pun ada pemenangnya dalam dalam pertandingan tersebut yang mana hadiah pertama bernilai RM 3000. En AzmanNor adalah salah seorang daripadanya. Tahniah. Mungkin nama saya belum tercatit di dalam senarai. Tiada rezeki untuk kali ini. Tapi pengalaman serta ilmu yang ditimba sangat berharga. Mungkin akan akan ada lagi percubaan seterusnya. Saya tiada rugi apa-apa kerana selain menyertai pertandingan saya dapat menghabiskan masa bersama keluarga berjalan-jalan di Tapak Floria yang sememangnya satu event tahunan yang sangat menarik. Itu adalah matlamat utama. Namun, akan datang saya ada beberapa perkara yang saya perlu perbaiki untuk menyertai sesebuah pertandingan :

1. Memastikan lukisan saya menepati tema yang diberi - tema lukisan yang saya hasilkan tersasar dari tema asal.
2. Menepati masa pertandingan - saya tiba di tapak pertandingan sekitar pukul 11.00 pagi. Bertarung dengan kesesakan di lebuhraya utara selatan dan mencari tempat untuk memakirkan kenderaan. 11.30 pagi lakaran asas baru bermula. Mewarna sekitar jam 12.00 tengahari. Tamat pada jam 1.00 tengahari. Sedangkan pertandingan sebenar bermula pukul 10.00 pagi. Saya hanya mempunyai masa 1 jam setengah untuk menyiapkan sebuah lukisan bersaiz A3 telah yang lama saya tidak lakukan.
3. Latihan - perlu ada latihan awal untuk membiasakan diri menggunakan warna sesuai serta memperbaiki teknik mewarna selari dengan durasi masa yang diberi.
4. Gugup - cuba mengelakkan perasaan gugup kerana semasa pertandingan akan ramai penonton-penonton yang akan menyaksikan kita beraksi seperti pelukis pro. Silih berganti. 

Mungkin ini adalah tips terbaik yang perlu diambil kira. Saya akan cuba berusaha untuk memperbaikinya untuk masa akan datang. Berikut adalah beberapa keping snapshot yang sempat diambil semasa hari pertandingan. 







Wednesday 18 June 2014

Deluxe room, flamingo hotel ampang KL

Medium : pen & watercolour on paper

Berikut adalah sebuah catatan lama. Agak lebih sebulan ia tersimpan di dalam memori komputer dan hanya menunggu masa untuk dikeluarkan. Pada cuti umum yang lalu iaitu bersempena sambutan 'Hari Buruh', saya sekeluarga berkesempatan ke Kuala Lumpur dengan tujuan yang agak santai. Kami ke sana sebenarnya hanyalah sekadar berjalan-jalan sambil membawa anak-anak sempena cuti umum yang mana percutian ini tidaklah dirancang. Keputusan diambil dengan hati yang ceria memandangkan tarikh tersebut juga amatlah bersesuaian dengan ulang tahun perkahwinan kami yang masuk ke angka 5 secara kebetulannya. Oleh yang demikian, ulang tahun ini secara rasminya disambut dengan sesi berjalan-jalan dan bersantai dengan ahli keluarga. Kami ke sana selama 2 hari dan bercadang bermalam di salah sebuah hotel pada hari pertama. Keesokan harinya barulah acara berjalan-jalan bermula.

Destinasi penginapan yang kami pilih ialah sebuah hotel yang agak biasa bagi dan familiar bagi orang-orang Kuala Lumpur. Penginapan yang dipilih ialah sebuah hotel tepian tasik iaitu Hotel Flamingo terletak di kawasan Ampang. Sekiranya anda melalui lebuhraya MMR2 anda pasti akan kelibat bangunan hotel ini di tepi jalan. Memandangkan perjalanan kami tiba pada hampir ke waktu malam, maka hotel ini menjadi pilihan terbaik oleh kami. Kami memilih bilik dari jenis Deluxe sesuai dengan bajet yang kami ada. Lokasi penginapan ini adalah sangat ideal kerana terletak berhampiran pusat bandar. Kami boleh berjalan-jalan ke destinasi berdekatan seperti KLCC tanpa mengambil masa yang agak lama. Dan selepas segala keperluan telah diatur oleh isteri dengan baik serta selepas menyelesaikan perkara-perkara yang wajib, kami keluar daripada hotel semula untuk mencari santapan pada malam itu.

Keesokan harinya, saya memulakan langkah bersiar-siar meneroka kota Kuala Lumpur. Beberapa tempat menarik kami kunjungi seperti Aquaria KLCC, Petrosains dan lain-lain bagi menyesuaikan tujuan berjalan-jalan membawa anak-anak kecil. Dan paling menarik saya sempat ke outlet Artfriend yang terletak di pusat beli-belah The Curve yang disarankan oleh rakan blog bagi membeli sedikit barangan lukisan yang agak sukar dicari di tempat lain. Sangat menarik dan anda akan rambang mata dengannya bagaikan sebuah terapi diri!. 

Berikut ialah hasil Lukisan Isometric yang ke-4 saya hasilkan untuk blog ini. Bagi pembaca yang ingin mengetahui lebih lanjut perkara berkaitan tajuk isometric boleh schroll ke label di sebelah papan muka. Di sana anda akan mengetahui tujuan utama lukisan ini saya hasilkan. 

Lakaran kasar dihasilkan mengguna Aplikasi Snote. 

Lakaran pertama menggunakan pensel.

Isometric telah siap menggunakan pen.


Shot yang sempat dirakamkan.

Friday 13 June 2014

sketch of the day : ragam mesyuarat

Barangan yang ada di atas meja.

Berikut adalah hasil contengan saya semasa menghadiri satu mesyuarat di sini pada awal pagi tadi. Agenda tersendiri serta durasi mesyuarat dirasakan terlalu panjang sehingga memberi kesan kepada fikiran sudah mulai kehilangan fokus. Disebab kehadiran di sana sebagai jemputan sahaja maka ini bermakna saya hanya berperanan sebagai wakil pendengar semasa sesi tersebut. Dan dengan ini ia menjadi faktor menyumbang kepada rasa mengantuk yang meluap-luap sedikit demi sedikit. Oleh yang demikian, untuk menghilangkan perasaan tersebut dari terus menguasai diri, maka dengan itu saya memulakan sesi menconteng di dalam telefon.. =)

Seseorang yang menjadi mempengerusikan mesyurat.

Lelaki separuh umur yang duduk bertentangan dengan saya.

Tuesday 27 May 2014

Merekabentuk fasad banglo 2 tingkat en. yassir

Medium : autocad + 3dsmax + adobe photoshop

Bersua kembali..

Agak lama saya tidak mengemaskini blog. Ini adalah entri yang ke-2 setakat ini untuk bulan Mei 2014. Mengikut perancangan masih banyak material yang boleh saya kongsi. Masih ada lagi yang tersimpan. Namun saya rancangkan untuk memuatkan ke dalam blog secara berdikit-dikit. Cuba menyesuaikan diri dengan jadual kelapangan yang ada. 

Baiklah.. Seperti gambaran di atas adalah sebuah rekabentuk banglo 2 tingkat  untuk salah seorang pembaca blog ini iaitu En. Yassir yang tidak sempat untuk saya tanyakan tempat asal beliau. Permintaan beliau agak berlainan daripada pelanggan-pelanggan saya sebelum ini. Secara ringkas, beliau ingin mendapatkan idea daripada saya untuk merekabentuk atau menaiktaraf fasad bangunan sediada yang telah direka oleh seorang rakan di sana. Rekabentuk pelan susunatur telah dipersetujui sejak peringkat awal dan sedang menunggu proses permohonan kelulusan PBT, namun beliau agak kurang berpuashati dengan cadangan luaran yang dikemukakan. Agak kosong dan kurang tarikan. Oleh yang demikian, beliau mengambil sedikit inisiatif untuk mendapatkan padangan daripada perekabentuk lain sehinggalah beliau menemui blog saya. 

Dengan beberapa siri perbincangan melalui email, telefon dan perhidmatan whatsapp saya sedaya-upaya untuk membantu yang mana temampu. Akhirnya saya memulakan sedikit sentuhan aplikasi 3D dengan membina semula model bangunan banglo tersebut serta cuba menerapkan elemen-elemen senibina yang lebih segar dan semasa. Posisi tingkap disusun semula sepaya nampak lebih moden dan keluar daripada imej yang rigid. Tiang-tiang utama diolah dengan kemasan facing brick dengan tona yang agak lembut. Garisan-garisan hood/coping serta groove line diaplikasikan di dinding luar bangunan memenuhi ruang-ruang kosong. Akhir sekali skema warna yang agak lembut dan kontras menjadi tulang belakang kepada imej keseluruhan banglo ini.

Proses merekabentuk mengambil masa seminggu dan dikemukakan kepada En. Yassir untuk ulasan. Beliau bersetuju dengan idea tersebut dan memohon sedikit pindaan yang perlu dibuat bagi merialisasikan impian beliau. Dan berikut adalah sebahagian gambaran imej rekabentuk 3D yang boleh saya kongsikan bersama sebagai rujukan. Terima kasih.

  Pandangan sisi kiri bangunan.

Pandangan sisi kanan bangunan.

Rekabentuk asal yang dikemukakan kepada saya.


Tuesday 6 May 2014

digital potret 1

Bereksperimen lukisan potret menggunakan medium graphic tablet.

Sunday 20 April 2014

urban sketch : rumah kedai di sungai melaka 4

medium : pen on paper

Entri ini sepatutnya telah post semalam. Namun, disebabkan kekangan masa, pagi ini saya memilih untuk berbuat demikian. Seperti yang dijangka, ini adalah hasil daripada akitiviti berbasikal yang saya lakukan awal pagi ahad semalam. Route perjalanan masih sama tetapi panorama lakaran berbeza. Saya memilih untuk melakarkan deretan bangunan kedai yang dipisahkan oleh sungai. Panorama agak menarik diwaktu pagi disimbahi dengan cahaya matahari yang mula mengeluarkan cahaya kekuningan. Kali ini durasi agak panjang iaitu 30 minit untuk menyiapkan lakaran. Selain memfokus kepada perincian objek ia juga mengambilkira teknik lakaran konsisten yang cuba dihasilkan.

Lakaran siap namun saya mengambil keputusan untuk tidak meletakan sebarang warna ke atas kanvas kerana ingin menonjolkan garis-garis arkitektur yang sangat menarik.

Lakaran yang belum siap.

Kali ini saya menggunakan basikal MTB saya yang telah lama diperapkan di dalam stor.

Saturday 12 April 2014

urban sketch : rumah kedai di sungai melaka 3

medium : pen & watercolour on paper

Mengikut perkiraan hampir 3 bulan saya tidak melakukan sebarang lakaran di luar. Perasaan membuak-buak untuk berbasikal dan melukis muncul semula selepas fasa pertapaan. Akhirnya semalam saya bertekad memecah kotak kebosanan itu dengan mengaktifkan kembali aktiviti sukan lakukan sejak dahulu.

Seperti biasa saya mengambil jalan selamat untuk berbasikal mengikut rutin selalunya. Kayuhan kali ini lebih santai di mana saya mengambil pendekatan untuk tidak terburu-buru memandangkan badan telah lama di dalam mod berehat. Takutlah nanti sesuatu yang tidak dijangka ataupun tidakbalas badan luar biasa berlaku memandangkan aktiviti ini memerlukan kekuatan fizikal yang agak optimum. 

Akhirnya, dengan purata kelajuan kayuhan 25 km/j saya sampai ke matlamatnya. Tiba di rumah semula pada pukul 8.50 pagi dengan jarak kayuhan 20 km sambil membawa pulang hasil lakaran. =)

Lakaran yang hampir siap.

Memakirkan basikal di belakang bangunan sebuah cafe yang terkenal. Di sinilah spot saya melukis sambil memandang ke arah panorama bangunan bertentangan dengan cafe ini.