Thursday 24 July 2014

koleksi : the unsinkable ship II

medium : pencil on paper

Beberapa minggu lalu, saya berkesempatan membersihkan bilik bujang saya di kampung memandangkan ia bakal digunakan semasa Aidilfitri nanti. Almari-almari lama saya selongkar dengan tujuan untuk membuang mana-mana barang yang tidak perlu untuk mengurangkan suasana semak di pandangan mata. Ruang-ruang tersebut bolehlah digunapakai untuk meletakkan barang-barang baru yang dirasakan lebih perlu untuk masa ini. Majalah-majalah lama, baju-baju yang telah sendat serta beberapa barangan lama saya kumpulkan untuk diletakkan di tempat pembakaran. Sayang tapi apakan daya saya perlu korbankan demi keperluan keluarga yang semakin membesar. 

Namun apa yang menggembirakan saya pada ketika itu, apabila saya terjumpa kembali sekeping lukisan lama bersaiz A4 pada tahun 1997 yang masih tersimpan di dalam sebuah fail milik saya. Alangkah gembiranya apabila terjumpa kembali koleksi ini. Yang lain tidak ditemui lagi. Walaupun terdapat gigitan lipas pada helaian lukisan, tetapi visual lukisan ini masih jelas dan terpelihara. Ini bermakna bertambah lagilah koleksi-koleksi lukisan lama yang boleh saya simpan sebagai kenangan. Gambar tersebut memaparkan sebuah kapal Titanic yang ingin meninggalkan pelabuhan dipenuhi oleh manusia yang membuat lambaian-lambaian terakhir. Apa yang membanggakan saya pada lukisan ini ialah rasanya saya berjaya hasilkan stroke lambaian manusia di jeti yang kelihatan agak hidup pada waktu dan ketika itu!.  =)

Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir & Batin..

Friday 11 July 2014

pertandingan cat air Floria Putrajaya 2014

Medium : watercolour on A3 size paper

Sudah lama rasanya saya tidak menyertai sebarang pertandingan melukis. Kali terakhir ialah di zaman persekolahan kira-kira 15 tahun lalu. Kali ini saya berpeluang untuk merasai suasana pertandingan tersebut dengan niat sekadar untuk menimba pengalaman. Mencuba nasib sekiranya terpilih. 

Pertandingan tersebut berlangsung pada 15 hb jun 2014 lalu bertempat di Tapak Floria Putrajaya. Menyertai pertandingan tersebut bukan sesuatu yang dirancang. Ditambah pula, sudah pastinya kehadiran pelukis-pelukis pro dan amatur yang sudah tentunya biasa dengan suasana serta cekap dalam menyiapkan sebuah lukisan mengikut durasi masa yang telah ditetapkan. Sememangnya peluang agak menipis. Namun setelah terbaca iklan ini di dalam sebuah blog rakan, saya bertekad untuk menyertainya. Kredit untuk saudara AzmanNor dari grup Gangsta Watakala kerana memberi info. 

Semasa entri ini ditulis, sudah semestinya telah pun ada pemenangnya dalam dalam pertandingan tersebut yang mana hadiah pertama bernilai RM 3000. En AzmanNor adalah salah seorang daripadanya. Tahniah. Mungkin nama saya belum tercatit di dalam senarai. Tiada rezeki untuk kali ini. Tapi pengalaman serta ilmu yang ditimba sangat berharga. Mungkin akan akan ada lagi percubaan seterusnya. Saya tiada rugi apa-apa kerana selain menyertai pertandingan saya dapat menghabiskan masa bersama keluarga berjalan-jalan di Tapak Floria yang sememangnya satu event tahunan yang sangat menarik. Itu adalah matlamat utama. Namun, akan datang saya ada beberapa perkara yang saya perlu perbaiki untuk menyertai sesebuah pertandingan :

1. Memastikan lukisan saya menepati tema yang diberi - tema lukisan yang saya hasilkan tersasar dari tema asal.
2. Menepati masa pertandingan - saya tiba di tapak pertandingan sekitar pukul 11.00 pagi. Bertarung dengan kesesakan di lebuhraya utara selatan dan mencari tempat untuk memakirkan kenderaan. 11.30 pagi lakaran asas baru bermula. Mewarna sekitar jam 12.00 tengahari. Tamat pada jam 1.00 tengahari. Sedangkan pertandingan sebenar bermula pukul 10.00 pagi. Saya hanya mempunyai masa 1 jam setengah untuk menyiapkan sebuah lukisan bersaiz A3 telah yang lama saya tidak lakukan.
3. Latihan - perlu ada latihan awal untuk membiasakan diri menggunakan warna sesuai serta memperbaiki teknik mewarna selari dengan durasi masa yang diberi.
4. Gugup - cuba mengelakkan perasaan gugup kerana semasa pertandingan akan ramai penonton-penonton yang akan menyaksikan kita beraksi seperti pelukis pro. Silih berganti. 

Mungkin ini adalah tips terbaik yang perlu diambil kira. Saya akan cuba berusaha untuk memperbaikinya untuk masa akan datang. Berikut adalah beberapa keping snapshot yang sempat diambil semasa hari pertandingan.