Friday 28 March 2014

Merekabentuk sebuah restoran asam pedas claypot




Medium : Autocad + 3dsmax + Adobe Photoshop

Selain merekabentuk bangunan kediaman atau residential, saya juga berpeluang merekabentuk bangunan komersial seperti ruangan pejabat, kedai dan yang berkaitan sehinggalah kepada merekabentuk hiasan dalamannya. Kebanyakan konsep hiasan dalaman yang saya hasilkan tidaklah begitu terperinci seperti yang biasa kita lihat di dalam majalah decor dihasilkan oleh professional interior designer. Cukup mengkagumkan dan begitu realistik sekali sekiranya ingin dibuat perbandingan. Apa yang saya cuba ketengahkan cumalah sekadar konsep rekabentuk awalan yang mana lebih memaparkan susunatur sesebuah ruangan serta tema utama yang pelanggan kehendaki. Teknik rendering di dalam aplikasi 3D juga saya gunakan adalah secara minima yang mana teknik ini bersesuaianlah dengan kemampuan peralatan komputer yang saya miliki. Untuk mendapatkan output lebih cantik, maka saya perlu bersedia untuk menaiktaraf spesifikasi komputer saya selain ilmu di dalam menguasai penggunaan aplikasi 3D yang cukup luas. Buat masa ini saya hanya boleh dikategorikan sebagai amatur sahaja dan cuba melangkah untuk jadi lebih baik daripada itu. 

Baiklah. Rekabentuk konsep di atas ialah sebuah konsep hiasan dalaman bagi sebuah restoran di sebuah pusat beli-belah di sini. Rekabentuk ini berkeluasan 962 kps keseluruhannya di mana susunatur ini dibahagi ke pada zon luaran dan zon dalaman. Ini bagi memudahkan akses serta keselesaan pelanggan kedai memilih ruangan sesuai menjadi pilihan untuk menikmati hidangan. Tugasan ini saya terima bukan daripada pemilik asal kedai ini tetapi daripada pembuat komponen hiasan dalaman ini atau bahasa mudahnya kontraktor. Beliau diminta untuk menghasilkan sebuah konsep yang agak menarik bagi sebuah restoran masakan asam pedas yang berkonsepkan ala 'fast food'. Dengan beberapa maklumat yang beliau perolehi, sedikit sebanyak membantu saya dalam proses rekabentuk hiasan dalaman ini.

Hasilnya, terbentuklah sebuah hiasan dalaman sebuah restoran untuk dikongsikan bersama sebagai panduan.

Pelan Lantai

Sunday 16 March 2014

Studio Premier - Best Western Prima Inland Sea Resort, Port Dickson

Medium : Pencil, Pen & Watercolour on paper

Berikut di atas adalah lukisan Isometric seperti yang pernah saya utarakan di dalam blog sesebelum ini. Ini merupakan catatan percutian kali-3 saya terjemahkan ke dalam bentuk lukisan sebagai sebuah koleksi untuk saya kongsikan. Sila scroll label di sebelah papan muka untuk mengetahui lebih lanjut di bawah tajuk Isometric.

Baiklah. Catatan di atas adalah sebuah percutian saya bersama famili pada beberapa minggu yang lalu yang baru sempat untuk saya siapkan. Keputusan untuk bercuti diambil memandangkan ia dijadikan aktiviti kemuncak ketika isteri hampir habis tempoh penghujung cuti bersalin. Perancangan ini bukanlah sesuatu yang dirancang rapi, tetapi satu aktiviti yang terlintas dikepala yang datang secara tiba-tiba. 

Vanue dan lokasi percutian menjadi topik yang utama saya bincangkan bersama isteri memandangkan umur bayi kami masih terlalu kecil serta keadaan kesihatan isteri yang masih belum fit sepenuhnya. Oleh yang demikian keputusan diambil iaitu bercuti di lokasi berdekatan sahaja dengan rumah kami sekurang-kurangnya memendekkan tempoh perjalanan ke sana nanti. Kami bersetuju. Lokasi yang dipilih cuma 1 1/2 jam sahaja daripada rumah iaitu ke Pantai Port Dickson. Ringkas bukan? Walaupun dekat tetapi nikmat sebuah percutian itu tetap dirasai. Cukuplah sekadar itu yang termampu.

Kami bermalam di sebuah hotel di sana iaitu hotel Best Western Prima Inland Sea Resort, Port Dickson. Dengan hanya mencari-cari sedikit maklumat di internet, kami terus mengambil keputusan untuk bermalam di situ kerana dipengaruhi oleh beberapa alasan yang kami rasa boleh diterimapakai. Pertama, kami memang tidak pernah menjejaki ke tempat penginapan tersebut dan tidak pernah mendengar nama hotel ini walaupun beberapa kali pergi ke Pantai Port Dickson. Kami perlu mencuba. Kedua, bilik penginapan agak selesa, luas dan cantik walaupun cuma menghayati gambar di laman sesawang. Ketiga dan yang paling menarik ialah..... Taman Tema Air yang turut disediakan di dalam pakej. Wahh!!.. Itu adalah subjek utama. Alasan yang begitu kuat di mana anak sulung saya amat suka bermain dengan air. Malah ibunya juga mahu mengotakan janji yang telah dibuat sesebelum ini dan inilah masa dan kesempatannya yang paling ideal. Saya pun turut menumpang sama!. =)

Akhirnya, keputusan yang kami buat amat tepat dan kami amat gembira di sana bersama-sama walaupun agak terkilan sedikit kerana isteri hanya cuma mampu melihat dari jauh sambil mendukung bayi kami yang comel itu. Fasiliti bilik yang mereka sediakan amat selesa yang mana memungkinkan untuk kami ke sana lagi. Dan pastinya kami akan kembali nanti. 

'Lain kali kita pergi semula ok'.. Kata-kata saya kepada isteri.

Pelan lakaran yang saya buat pada hari ke 2 menggunakan telefon bimbit. Ukuran dibuat berdasarkan teori skala jubin lantai.

Lakaran perspektif dibuat sebelum tidur pada malam hari.


Lakaran Isometric yang hampir siap menggunakan peralatan yang sesuai.

Dan berikut sebahagian daripada foto yang sempat diambil sebagai koleksi saya. Skala kolam mandi agak besar yang boleh memuatkan pengunjung-pengujung pada hujung minggu.







Saturday 1 March 2014

Merekabentuk banglo 2 tingkat untuk En. Faris

medium : autocad + 3dsmax + adobe photoshop

Salam dan bersua kembali. Agak lama tidak mengemaskini blog. Nampaknya kesibukan dan kesuntukan masa yang saya alami sejak akhir-akhir ini berpanjangan sehingga ke hari ini. Namun, masuk ke bulan Mac ini saya cuba untuk kembali seperti biasa. Cuma perkara terbaik yang saya perlukan buat masa ini ialah bagaimana cara ideal untuk menguruskan masa. Saya akan pastikan setiap perkara saya susun dengan betul dan cuba mengaturkan sebarang aktiviti mengikut jadual yang telah ditetapkan. Cara yang paling ringkas ialah mencatatkan sebanyak mungkin task atau aktiviti menggunakan aplikasi S planner yang terdapat di telefon bimbit. Mudah dan senang untuk diingat. Itu adalah perkara pertama yang saya akan buat apabila bangkit sahaja dari tidur dan segera membelek-belek jadual yang perlu dilaksanakan sepanjang minggu. Mudah-mudahan ada perkara yang tidak akan tertinggal.

Baiklah. Apa yang ingin dikongsi di sini ialah sebuah rekabentuk banglo 2 tingkat berkonsepkan modern contemporary. Secara ringkas rekabentuk banglo ini adalah sebahagian daripada 4 pakej rumah mampu millik yang bakal dilaksanakan oleh En. Faris di tempat kelahiran beliau Rawang, Selangor. Beliau mencadangkan untuk mengusahakan tanah milik keluarga untuk dimajukan sebagai sebuah pakej perumahan dan dijual dengan harga berpatutan. Agak menarik idea ini. Namun, untuk melaksanakan idea tersebut, perancangan teliti perlu dibuat terlebih dahulu bagi memastikan apa yang diinginkan tercapai. Oleh yang demikian, antara perkara pertama yang perlu dibuat ialah dengan mengutarakan terlebih dahulu jenis dan konsep rumah yang sesuai dengan kehendak serta pasaran setempat.


Saya telah memajukan 4 rekabentuk atau pakej rumah yang telah dipohon kepada En. Faris beberapa minggu lalu. Namun, berlaku kesilapan teknikal di mana 2 pakej yang saya kemukakan kepada beliau tidak mengikut pakej yang telah ditetapkan. Beliau memerlukan rekabentuk rumah banglo 1 1/2 tingkat untuk kedua-dua pakej tersebut tetapi rekabentuk dikemukakan ialah rumah banglo jenis 2 tingkat. Maaf, itu memang kesilapan daripada saya kerana tidak dapat mentafsirkan permohonan melalui email dengan betul. Kelemahan interaksi secara virtual. 

Akhirnya, dengan beberapa siri perbincangan dibuat, beliau bersetuju menggunakan hanya sebahagian daripadanya bagi meneruskan apa yang telah dirancang. Yang lain diletakkan sebagai status KIV buat sementara waktu. Rekabentuk baru akan saya susulkan sekiranya beliau bersedia menekan lampu hijau. Syukur alhamdulillah. Terima kasih kepada beliau.

Oklah. Memandangkan rekabentuk tersebut tidak digunapakai, saya mengambil keputusan untuk berkongsikannya di dalam blog sebagai panduan dan rujukan. Banglo ini berkeluasan 1800 kakipersegi memiliki 6 bilik tidur dan 3 bilik air sesuai kepada pemilik yang inginkan sebuah banglo moden dengan harga mampu milik. Dengan ruang famili yang besar, ia juga memiliki sebuah balkoni yang luas dijadikan sebagai tempat istirehat yang lebih selesa. Sekian.