Saturday 30 March 2013

urban sketch : kuching, sarawak III


Mercutanda yang paling dominan yang saya jumpa di Bandar Kuching ialah Bangunan Dewan Undangan Negeri Sarawak. Dengan rekabentuk yang unik serta lokasi terletak berhampiran tebing sungai menjadikan ia sebuah bangunan yang begitu tersegam indah membezakan bahasa senibina setempat. Berkonsepkan metafora budaya masyarakat etnik di Sarawak dan direkabentuk oleh salah sebuah firma arkitek terkenal di Malaysia iaitu Arkitek Hijjaz Kasturi. Eleman gerbang, bumbung berbentuk V dan struktur tiang melengkung memainkan peranan penting pada rekabentuk bangunan ini dan diakhiri dengan tona warna kuning keemasan.

Lakaran ini dilakarkan semula apabila tiba di semenanjung memandangkan kesuntukan masa untuk saya di sana pada ketika itu. Medium yang digunakan ialah watercolour di atas buku flip sketchbook.

Sunday 24 March 2013

urban sketch : kuching, sarawak II


Menyusuri Sungai Sarawak menggunakan perkhidmatan bot penumpang Sarawak River Cruise merupakan satu acara wajib apabila tiba di Sarawak Waterfront. Konsep ini juga adalah hampir sama seperti terdapat di Melaka, cuma yang membezakan ialah panorama sekitaran yang lebih menjurus kepada pembangunan tepian sungai juga penempatan masyarakat setempat yang mendiami dan membina rumah di tebing sungai. Permandangannya amat menarik ditambah dengan kehadiran bot-bot pukat juga sampan kecil yang menjadi nadi kegiatan ekonomi masyarakat di Kuching. Perjalananan santai menggunakan bot kecil ini mengambil masa lebih kurang 45 minit sehingga tiba semula ke Check Point asal dengan membawa 12 orang kapasiti penumpang. Di kesempatan inilah saya sempat merakamkan scenery sebuah bot tunda berwarna hijau yang berada di posisi melintang yang memakirkan bot di jeti yang sama seperti terdapat pada entri yang telah dikongsikan kepada semua sebelum ini. Amat menarik bukan? =)

Monday 18 March 2013

urban sketch : kuching, sarawak I


Agak rugi rasanya sekiranya saya berjauhan di negeri orang tanpa merakamkan sesuatu sebagai kenangan. Setidak-tidaknya adalah sedikit catatan walaupun sebaris ayat yang mana satu hari nanti akan menjadi sebuah cerita dan pengalaman yang boleh dikongsi bersama. 

Menjejakkan kaki untuk pertama kalinya ke Negeri Sarawak memberikan sebuah pengalaman yang amat menyeronokkan. Selain mengenali pelbagai budaya masyarakat di sana dalam masa yang singkat, saya juga sempat mengamati atmosfera kehidupan masyarakat sekitaran khususnya menjurus kepada aspek kesenibinaan yang terdapat di sana. Secara kilasnya, Bandar Kuching merupakan sebuah bandar besar yang tinggi populasinya di Malaysia Timur yang terdiri daripada etnik Melayu, Iban, Melanau, Bidayuh, Cina & India. Di tengah-tengah bandarayanya terletaknya sebatang sungai yang menjadi pemisah kepada blok-blok bandar seterusnya menjadi nadi perhubungan pengangkutan air selain sebagai sumber ekonomi masyarakat setempat sejak zaman dahulu. 

Pada awal pagi pada hari keduanya saya di sana, saya berkesempatan melakarkan imej salah sebuah jeti pelabuhan terletak berhampiran hotel penginapan saya. Duduk di balkoni hotel memberikan ruangan yang selesa untuk melukis sambil menikmati panorama Sungai Sarawak yang sangat luas. Jeti yang terletak sebelah kanan hotel ini dijadikan sebagai tempat persinggahan bot-bot pukat bagi memunggah hasil tangkapan berdasarkan lambakan bot dilihat pada sebelah malam harinya. Suasana pagi itu kelihatan seperti sebuah pesta di mana ramai peraih-peraih ikan datang berkumpul untuk membeli hasil tangkapan yang akan dijual kepada masyarakat setempat di Bandaraya Kuching.

Kelihatan samar di seberang sungai tersebut, terletaknya perkampungan etnik melayu yang terkenal dengan hasil jualan 'Ikan Terubuk Masin' dan 'Kek Lapis Sarawak' yang memang original.

Lakaran dihasilkan menggunakan medium pensel & watercolour di atas Flip sketchbook.

Friday 8 March 2013

sketch of the day : trip to sarawak


Saya sekarang berada di Sarawak. Momen ini diambil ketika berada di dalam pesawat penerbangan dari Kuala Lumpur menuju ke Sarawak. Berada di posisi sebelah tingkap amat mengujakan di mana saya dapat melihat panorama luar pesawat semasa penerbangan. Durasi perjalanan cuma mengambil masa sekitar 1 jam setengah. Saya sempat membuat lakaran memandangkan tiada apa yang dapat dilakukan selain daripada membaca majalah korporat yang telah dibaca berulang kalinya. Lakaran dilakar melalui telefon pintar saya menggunakan aplikasi sketchbook mobile. 5 bintang diberikan terhadap aplikasi ini kerana ia sesuai digunakan kepada pengguna yang mempunyai hobi melukis. Sistem layering disediakan memudahkan teknik mewarna. Begitu menarik sekali. Namun, dengan keadaan kokpit yang agak sempit menyukarkan saya menghasilkan garisan yang lebih lurus. Berikut adalah posisi saya semasa kejadian ini berlaku. Kelihatan lutut rakan sekerja saya yang sentiasa bergerak-gerak membetulkan posisinya bagi mendapatkan postur yang lebih selesa.