Sunday 22 September 2013

urban sketch : jeti dan bot di muara sungai

Medium : pen & watercolour on paper

Semalam, pada 21/09/2013 saya berkayuh lagi. Kali ini dengan 'semangat lebih baru'. Laluan yang sama dipilih untuk perjalanan kali ini. Cuaca agak baik cuma terdapat sedikit tompokkan awan pekat di sebelah timur sedikit merisaukan. Namun, saya lebih bersedia sekiranya sebarang kebarangkalian berlaku. Beg plastik telah saya bekalkan di dalam beg galas untuk menyimpan segala peralatan elektronik, kit melukis dan barangan yang tidak kalis air sebagai langkah berjaga-jaga. Dania masih tidur ditemani ibunya. Biarkanlah mereka berehat. Hari ini adalah hari cuti. Cuti ini sememangnya amat bermakna terutamanya kepada individu yang kuat bekerja seperti isteri saya. Ditambah pula dengan bekerja waktu syif. Bekerja waktu syif amat memenatkan. Itu memang tidak boleh dinafi. Jadual syif dan waktu cuti juga sentiasa berubah-ubah. Waktu cuti kami tidak sama seperti orang lain. Oleh yang demikian, segala perancangan untuk kemana-mana perlu diaturkan dengan terperinci untuk mengelakkan pertembungan jadual bekerja. Ia telah menjadi rutin sejak 5 tahun yang lalu. 

Oklah. Dengan segalanya telah tersedia, tepat pukul 7 pagi saya mula mengorak langkah. Kayuhan ini lebih bermakna kerana hari ini juga saya sedang cuba menggunakan basikal baru yang dibeli pada hari sebelum. Begitu semangat untuk mencuba. Kali ini saya beli basikal dari jenis 'folding bike' berjenama Trinx. Memanglah amat menyeronokkan dengan percubaan pertama ini. Terdapat banyak perbezaan antara basikal terdahulu. Saya rasa saya akan kongsikan pada entri yang lain mengenai basikal ini. Banyakkan yang saya akan ceritakan nanti secara terperinci. Tetapi apa saya boleh nyatakan di sini secara ringkas, sebab utama saya membeli sebuah lagi basikal adalah secara umumnya ia mempunyai fungsi sama tetapi dari segi teknikalnya ia adalah berbeza. Basikal saya kali ini lebih ringan, saiz sedikit kompak dan yang paling menarik ialah ia boleh dilipat-lipat seperti baju. =)

Ok. Cukuplah ceritanya sampai di situ sahaja. Nanti akan kupasannya untuk sebuah entri khasnya nanti. 

Emm.. Perjalanan saya tadi berlaku dengan agak lancar. Dengan timbangan basikal yang agak ringan, saya berjaya membuat kayuhan dengan purata 30 km/j pada laluan lurus yang panjang. Segala-galanya berjalan begitu lancar sehinggalah tiba di zon pendakian. Sungguh memenatkan untuk habiskan kayuhan mendaki jambatan terletak di jalan Syed Abdul Aziz yang menuju ke Melaka Raya. Kebiasaannya saya akan berhenti seketika di pertengahan jambatan itu untuk menghilangkan lelah sambil meneguk air. Dan kali ini memang saya terpaksa berhenti di sana. Bukan sahaja untuk menghilangkan penat tetapi mata saya juga tertarik dengan panorama yang terdapat di muara sungai itu dilihat dari atas jambatan. Agak unik kerana kali ini jeti di muara sungai itu dipenuhi dengan bot-bot pelbagai jenis dan warna disimbah dengan pancaran cahaya matahari waktu pagi. Ia juga diparkir dengan begitu rapi seperti sebuah perbarisan. Oleh yang demikian, secara teknikalnya saya telah berjaya menemui port untuk melakar untuk hari ini. Dan dengan itu bermulalah tugasan saya sehingga selesai menggunakan ink terakhir pen saya seterusnya menyambung semula perjalanan tadi. Tiba di rumah pada sekitar jam 9 pagi.

Gambaran dan suasana ketika melakar di atas jambatan pada ketika itu

Gambaran yang agak jauh untuk membandingkan skala visual yang terlihat

Inilah jambatan di mana tempat atau port saya melukis. Saya berada di ketinggian lebih daripada 10m. 

Dan inilah semangat baru saya katakan di awal entri tadi. Kelihatan gagah disaluti dengan warna merah.

Lukisan yang diwarnakan menggunakan watercolour apabila tiba sahaja di rumah

Wednesday 18 September 2013

koleksi : budak comel


Sebentar tadi, saya menyelak album-album foto lama terdapat pada rak tv. Album foto yang saya ambil ialah koleksi gambar-gambar lama ketika sekolah dahulu yang secara kebetulan saya terpegang ketika menyusun kepingan DVD terdapat di situ. Agak lucu melihat muka sendiri masa kecil. Comot macam tidak terurus. Kelakar rasanya. Baju besar berseluar pendek dengan rambut degil terpacak ala-ala buah durian. Itulah saya sebenarnya waktu itu. Budak kecil yang suka buat mainan robot sendiri daripada kotak ubat gigi, kotak rokok ayah, kotak mancis digam dan dicantum-cantum kononnya menjadi robot 'Voltron'. Kisah robot Jepun yang amat popular lewat 80-an dulu sekiranya anda masih ingat lagi. Tidak jemu-jemu bermain sehingga robot terkoyak dan berkecai apabila terkena sedikit air. Itulah antara kenangan saya semasa kecil dahulu. Mungkin kanak-kanak masa kini lebih beruntung. Kehidupan mereka sangat berbeza berbanding dengan zaman kita. Saya percaya, fasa membesar mereka juga cukup berbeza sehingga ada memberi sedikit cabaran kepada para ibu bapa masa kini. Harapan agar saya dapat lalui dengan jayanya. InsyaAllah.

Oklah, cukup sahaja sampai di situ. Apa yang saya ingin sentuh di sini ialah sebenarnya merupakan cerita sebuah lukisan. Dengan tidak disangka saya telah terjumpa sekeping lukisan potret terselit di dalam album foto yang saya selak sebentar tadi. Bertuah saya menjumpai semula antara koleksi lukisan-lukisan yang saya pernah hasilkan sedikit masa dahulu. Mengikut perkiraan masa, lukisan ini kini telah berusia lebih kurang 15 tahun. Seingat saya waktu itulah memang saya agak aktif melukis untuk mengisi masa lapang iaitu selepas menduduki SPM. Banyak lukisan yang saya hasilkan tetapi lokasinya entah di mana. Mungkin masih ada disimpan di dalam almari di kampung ataupun ianya telah dibuang oleh ibu saya semasa mengemas rumah. Tidaklah saya ketahui. Harapan agar suatu hari nanti saya akan berjumpa kembali koleksi-koleksi tersebut untuk dijadikan kenangan peribadi saya. Ianyalah amat bernilai bagi saya yang sememangnya amat mencintai seni lukisan. 

Fasa mengingat kembali : 

Lukisan tersebut di atas saya hasilkan dengan mengambil gambar foto yang terdapat di dalam surat khabar sebagai model. Motif dan sebab kenapa saya memilih gambar tersebut adalah saya tidak pasti. Saya rasa mungkin ketika itu saya ingin menonjolkan teknik monochrome yang jelas di dalam seni lukisan potret selain ingin bereksperimentasi kepada lukisan lebih realistik. Ataupun mungkin juga saya ingin menonjolkan teknik shadow dan pencil stroke yang kuat seterusnya menimbulkan tekstur jeans yang dipakai oleh budak tersebut. Segalanya berkemungkinan. Apapun jua, saya rasa tetap puas dengan apa yang telah saya buat selama ini. Sekurang-kurangnya masa lapang saya ketika dahulu telah diisi dengan aktiviti sihat yang saya sukai. Tanpa disedari, rasa teruja dan berkobar-kobar timbul di dalam diri secara tiba-tiba dipengakhiran tulisan ini. Bersemangat rasanya untuk melukis dan menconteng. Tapi mungkin bukan hari ini dan malam ini kerana masa itu amat mencemburui saya. Yang pastinya esok dan seterusnya akan ada. Itu telah semestinya pasti!

* budak itu kelihatan sangat comel di dalam potret tetapi saya hanya kurang sedikit sahaja daripada itu. =)

Tuesday 17 September 2013

urban sketch : deretan rumah kedai di sungai melaka


Medium : pen & watercolour on paper

Seperti yang dijanjikan sebelum ini, semalam saya telah berjaya membuat tugasan itu sekali lagi. Sebagai makluman, aktiviti ini telah tertunda sejak minggu sebelumnya kerana hujan. Kebelakangan ini keadaan cuaca adalah tidak menentu. Hampir setiap hari hujan dan diselangi dengan cuaca panas terik sekali-sekala. Keadaan sebegini agak menyukarkan jadual sebarang aktiviti luar yang telah dirancang. Ditambah pula, saya mengalami batuk dan sakit tekak menyebabkan menghilangkan suara saya seketika. Sedikit sebanyak ia juga mengurangkan mood untuk bersukan. Walaubagaimanapun keadaan ini berubah pada hari semalam. Cuaca adalah baik, batuk telah pun hilang ditambah pula cuti yang panjang sempena 'Hari Malaysia' disambut di seluruh negara menyebabkan saya mengambil peluang ini untuk berkayuh.

Seperti biasa, saya akan bergerak seawal mungkin untuk mengelakkan cuaca panas terik menjelang pukul 9 pagi. Kayuhan santai ini lebih kepada untuk membina stamina yang merudum kerana tidak menjalankan sebarang aktiviti fizikal sebelum ini. Purata kelajuan yang dibuat sekitar 25 km/j yang mana cukup sesuai untuk jantung menjalankan operasinya. Jarak keseluruhan perjalanan dianggarkan 25 kilometer pergi dan balik. Jarak tersebut juga sesuai untuk sebuah kayuhan santai.

Perkara yang paling menarik semasa menjalankan aktiviti ini ialah ketika menyusuri tebing sungai Melaka. Inilah saat yang paling menggembirakan semasa berkayuh. Anda boleh berbasikal disepanjang kaki lima belakang rumah kedai di sungai Melaka bermula dari muara sungai sehingga ke jeti bot River Cruise di Taman Rempah sambil menghayati rekabentuk serta senibina yang terdapat di situ. Sungguh menarik dan cukup indah tatkala persisir sungai Melaka ini telah ditaiktaraf bagi menjadikan simbol serta ikon perlancongan Negeri Melaka. Kelihatan ramai kaki-kaki jongging juga berkeliaran di sepanjang sungai selain daripada mereka yang berbasikal seperti saya. Meriah. Itulah perkataan yang saya boleh ungkapkan. Dengan cuaca yang dingin serta persekitaran yang damai menambahkan lagi keterujaan untuk saya terus berkayuh.

Bagi saya misi kali ini juga lebih jelas di mana saya perlu mencari port atau tempat sesuai untuk saya melukis sejajar dengan tema yang saya pengang iaitu 'beriadah sambil melakar'. Akhirnya saya berhenti di pertengahan laluan sungai iaitu membelakangkan Bangunan Merah. Inilah tempat yang saya rasa lebih sesuai dan selamat daripada pandangan orang ramai yang berkeliaran di situ sedikit sebanyak mengurangkan tekanan semasa melukis. Dengan berbekalkan kit melukis, juga flip sketchbook yang saya sempat bawa di dalam beg sandang, maka saya mula melukis. Lukisan kali ini saya lakar lebih terperinci kerana saiz sketchpad saya lebih besar berbanding tempoh hari. Perincian sesebuah lukisan memberi kesan kepada pertambahan nilainya. Namun keadaan agak sedikit kurang selesa disebabkan posisi saya melukis yang kurang sesuai iaitu sambil duduk di atas basikal bertupangkan kaki ke tembok dan glove yang tidak saya tanggalkan. =)

Lakaran yang saya hasilkan menggunakan pen

Posisi saya melukis sambil duduk di atas basikal

Lukisan yang diwarnakan ketika tiba di rumah

Monday 2 September 2013

urban sketch : casa del rio hotel

Medium : pen & watercolour on paper

Nampaknya cita-cita untuk kembali aktif terhadap aktiviti berbasikal tertunai akhirnya. Setelah hampir 5 bulan tidak membuat sebarang kayuhan, namun semalam niat murni ini telah terlaksana. Dengan azam yang kuat juga keinginan ingin mengekalkan cara hidup sihat tanpa melengahkan masa saya mempersiapkan diri pada awal pagi lagi untuk bergegas membuat kayuhan pertama.

Kayuhan bermula seawal 6.45 pagi. Dengan pagi yang begitu dingin sedikit sebanyak membantu menaikkan semangat untuk berkayuh. Udara sungguh segar diselangi panorama sekitar yang begitu tenang. Kali ini saya berkayuh berseorangan tanpa teman. Memandangkan aktiviti telah lama tidak dipraktikkan maka tahap kemampuan badan juga meragukan kerana telah lama berada di dalam mod beristirehat. Oleh yang demikian, saya mengambil keputusan membuat kayuh ringan dengan jarak yang agak sederhana. Laluan pilihan ialah laluan dari rumah menuju ke Bandar Hilir Melaka.

Aktiviti berbasikal ini amatlah menyeronokkan kerana saya boleh lakukan bila-bila masa sahaja. Sesuailah dengan keadaan usia yang telah meningkat sedikit sebanyak telah meninggalkan sukan-sukan lain selain sukan ping pong & badminton yang masih saya kekalkan. Namun aktiviti sukan ini hanya saya lakukan sekiranya berkelapangan. Oklah, berbalik kepada cerita tadi, bagi menambahkan lagi keseronokan aktiviti berbasikal ini, tanpa ketinggalan saya juga membuat sedikit task sampingan seperti entri saya paparkan terdahulu iaitu 'beriadah sambil melakar'. Masih ingat lagi bukan? Bagi pembaca baru perlulah mengambil sedikit waktu bagi melayari posting saya sesebelum ini yang menceritakan sukan berbasikal saya. Berbekalkan sketchpad bersaiz poket dan sebatang pen saya akan buat sedikit live sketches ke atas apa yang saya lihat untuk diterjemahkan menjadi sebuah lukisan. Mudah dan ringkas. Kit melukis yang dibawa juga kecil untuk dimuatkan ke dalam porch bag disangkut pada basikal. Begitulah tujuannya. Dan akhirnya, lakaran yang dilampir di atas ialah permandangan secara tampak bangunan Hotel Casa Del Rio yang bertentangan dengan tempat saya berehat di dek bangunan perlabuhan lama terdapat di Bandar Hilir. 

Lakaran cepat ini saya lakukan dengan pantas berdurasi sekitar 15 minit. Memandangkan ramai kaki jogging telah mula mendekati port saya melukis untuk melihat apa yang sedang saya lakukan menyebabkan saya mula hilang tumpuan. Sedikit gugup seterusnya fokus mulai pudar. Agaknya mental saya tidak cukup kuat apabila dikelilingi orang-orang yang ada sifat ingin tahu di situ. Saya percaya, saya akan cuba atasinya nanti. Inilah cabarannya. Maka dengan itu saya segera beredar dan sudah pastinya saya akan lakukannya sekali lagi kelak untuk aktiviti kayuhan minggu hadapan. Jumpa lagi. =)

Lakaran yang diwarnakan kemudian ketika tiba di rumah.


Permandangan di dek menghadap ke fasad bangunan hotel.