Tuesday 19 June 2012

urban sketch : beriadah sambil melakar siri 2

Entri ini adalah sambungan daripada siri sebelumnya. Sila klik di sini.
Perjalanan aktiviti berbasikal solo hujung minggu saya seperti biasa bergerak dari Jambatan Syed Abdul Aziz melintasi Sungai Melaka seterusnya akan masuk ke laluan sebelah kiri melalui deretan bangunan kedai menggunakan jalan pintas berhampiran pusat membeli-belah Mahkota Parade. Agak penat sedikit ketika melalui jambatan ini kerana jaraknya yang sedikit panjang serta laluan seperti bukit ini sekali-sekala menguji tahap ketahanan otot kaki. Akan tetapi pendakian itu cuma sementara waktu kerana kepenatan ini dibalas dengan kelajuan maksima menuruni bukit. Bergerak di dalam keadaan agak laju hanya menggunakan tarikan graviti dan daya momentum tanpa membuat sebarang kayuhan. Tiba sedikit di kawasan landai saya berhenti dan kemudian saya terpaksa melintasi laluan sebelah dengan mengangkat basikal kerana terhalang dengan divider dan longkang konkrit. Kebiasaannya aktiviti keadaan pagi yang agak tenang, cuaca yang cantik serta dituipi angin dingin disulami dengan semangat yang berkobar-kobar untuk mendapatkan sebuah seni visual kesan cahaya matahari terbit pada fasad bangunan secara tidak sedar membuatkan rasa penat sebentar tadi akan beransur-ansur hilang.

Arah laluan dari bandar ke muara sungai

Arah laluan saya seterusnya menyusuri deretan bangunan kedai sehingga melintasi Jeti Syahbandar. Sedikit info dimana jeti ini digunakan sebagai tempat penghubungan laut antara Malaysia dan Indonesia sejak lebih sedekat yang lalu dan masih aktif sehingga kini dan pada tahun lepas saya sendiri pernah sekali menaiki teksi air ini menuju ke Bengkalis, Indonesia di atas lawatan kerja. Akhinya dengan kayuan santai dan perlahan melawan arah laluan kenderaan, saya tiba di tempat tuju dan singgah sebentar di sebuah monumen iaitu Muzium Samudera. Di sini ia lebih dikenali oleh penduduk setempat dengan panggilan Muzium Kapal. Di situlah mata saya mula membuat pengamatan sambil memerhati seolah-olah seperti melihat sebuah barangan pelik yang jarang saya lihat. ;P

 Fasad Muzium Samudera adalah dirakam dari tempat saya berdiri.

Secara ringkasnya, Muzium Samudera merupakan sebuah replika kapal Flor De La Mar yang dibina pada awal tahun 1990. Muzium Samudera terletak di Jalan Quayside berhampiran muara Sungai Melaka. Dibina berdasarkan replika Kapal Portugis berukuran 34 meter tinggi, 36 meter panjang dan 8 meter lebar. Sumber maklumat yang saya ketahui, fokus utama muzium ini dibina ialah untuk memperingati sejarah kelautan Melaka dan zaman kegemilangan Melaka sebagai Emporium Timur. Ia juga menyingkap pergolakan politik maritim di Kerajaan Melaka suatu masa dahulu sehingga sejarah hilangnya kuasa politik semasa kemahsyuran sebuah pelabuhan yang sangat terkenal di seluruh dunia ketika itu. 
Pameran di muzium ini memaparkan perkembangan perdagangan dari zaman kesultanan Melayu Melaka hingga ke zaman Kolonial Portugis, Belanda, Inggeris dan era penaklukan Jepun di Tanah Melayu. Turut dipamerkan ialah lukisan, peta lama, model kapal dan artifak berkaitan maritim dan perdagangan di Melaka.

 Tekstur bayang-bayang (shadows) daripada cahaya matahari pagi menimbulkan hira struktur badan yang sangat menarik.

Saya duduk agak lama di situ sehingga saya cuba membayangkan bagaimanakah rupa bentuk struktur asal kapal ini yang sebenarnya iaitu kapal telah yang tenggelam di Selat Melaka suatu masa dahulu seperti yang telah direkod. Monumen ini hanyalah sebuah replika tetapi pastinya fasad asal kapal ini lebih besar dan lebih tinggi ukur lilitnya sehingga beratnya mencapai 400 tan dimana pembinaannya telah dicatat sebagai sebuah kapal terbaik yang pernah dihasilkan pada zaman itu di sana. Untuk mengikuti sejarah dan maklumat pelayaran kapal Flor De La Mar ini sehingga ia tenggelam di dasar laut Selat Melaka, klik di sini. Apa pun apa jua sejarah yang telah kapal ini lalui bagi saya, seni dan binanya amat menarik perhatian saya untuk kita amati di mana elemen hira kayu melintang pada badan kapal begitu menonjol membelah diameter cembung membalikkan cahaya kuning matahari .


Pemandangan fasad yang membelakangkan cahaya.

 Belakang badan kapal.

Setelah merakamkan beberapa gambar saya mula meneruskan kayuhan melalui jalan bersebelahan seterusnya menyusuri sepanjang sungai untuk menikmati pandangan dan panorama menarik seterusnya. Sila ikuti ekspedisi saya ini pada siri akan datang...  


Lakaran pensil 3B di atas 160gsm jurnal lukisan.

Thursday 14 June 2012

urban sketch : beriadah sambil melakar siri 1

Saya meminati sukan berbasikal. Malah ini adalah antara hobi saya sejak diperkenalkan oleh seorang kawan pada 2007 lagi. Walaupun saya bukanlah seorang pengayuh basikal tegar, namun cukuplah sekadar menjadi bahan riadah saya setiap hujung minggu juga sebagai alat untuk mengeluarkan peluh.

 scenery dirakam ketika berkayuh sendirian
 
Saya memiliki sebuah basikal MTB kelas pertengahan berjenama Nexus Xcalibur (buatan Taiwan mungkin) dibeli pada penghujung 2007 dan masih digunakan sehingga kini. Dikalangan peminat-peminat basikal pasti akan mengatakan basikal saya boleh dikategorikan sebagai biasa-biasa sahaja dan kelihatan begitu oldskool. Malah, mungkin ia sudah tamat riwayatnya dipasaran. Tapi bagi saya ia cukup berharga kerana dengan basikal inilah saya telah membawa saya menyertai perbagai aktiviti pertandingan Jamboree, night ride event, offroad, kayuhan santai dan lain-lain serta berjaya membuat jumlah jarak perjalanan terkumpul (odo) sebanyak 993 km. Tidaklah sehebat mana tapi cukuplah bagi saya yang berada di tahap amatur dalam bidang ini. Dengan aksessori basikal seperti crank, groupset serta beberapa item yang telah dinaiktaraf sedikit sebanyak membantu saya mengayuh basikal yang agak berat dari segi timbangannya. Ingin membeli basikal yang lebih baik mungkin belum lagi. Yang dari jenis carbon frame adalah memang jauh sekali. Cukuplah dengan apa yang dimiliki setakat ini. Bak seperti pengayuh-pengayuh tegar berkata 'jenama basikal tidak penting tetapi tenaga dan kekuatan badan diambil kira'. Harapannya begitulah. 

Sebahagian route yang saya lalui

Kebiasaannya pada hujung minggu saya akan berkayuh berkumpulan dan kadang-kadang bersendirian sahaja bergantung kepada permintaan. Kalau ada teman yang memperlawa maka ia akan jadi aktiviti berkumpulan. Tetapi kadang-kadang kepada sesiapa yang sukar bangun pagi maka saya akan berkayuh sendirian kerana aktiviti bermula selepas waktu subuh. Jarak perjalanan cuma 25 - 30km sahaja. Dan pernah menjangkau sehingga 50 km bergantung kepada route. Sejak akhir-akhir ini cuma 2 route sahaja menjadi pilihan kami dimana kayuhan bermula dari taman perumahan kami. Senang dan ringkas. Tidak perlu bicycle rack mahupun komponen dileraikan untuk dibawa kemana-mana tempat pilihan. Sedia dan kayuh sahaja. Route 1 adalah dari rumah ke bandar. Route ke-2 dari rumah ke persisiran pantai. Pilihan adalah bergantung kepada suara ramai. Bagi saya, saya lebih menggemari route 1. Kenapa? Kerana route 1 lebih menarik. Bukan sekadar kayuhan untuk kesihatan tetapi kayuhan sambil menikmati panorama Bandar Melaka lama yang unik senibinanya pada waktu pagi. Yang lebih menarik ketika menyusuri Sungai Melaka yang ketika ini cukup indah dan terkenal selepas ini dinaiktaraf. Bagi anda diluar Melaka mungkin pernah menyusuri Sungai Melaka menggunakan bot river cruise pada dinihari. Tapi bagi kami menyusuri Sungai Melaka menaiki basikal pada waktu pagi dan bila-bila masa boleh dilakukan adalah lebih memberi kredit kepada kami. Agak menarik bukan?

Antara scene menarik sempat dirakam menggunakan kamera telefon - bandar yang agak cool & calm tanpa kenderaan

Berikut adalah antara panorama menarik saya dapat rakamkan sepanjang perjalanan aktiviti kayuhan basikal saya tempuhi. Kayuhan sendirian amat menyeronokkan di mana saya mempunyai banyak masa untuk melihat dan mengamati permandangan ketika berhenti di satu-satu tempat. Tekstur, tona warna bangunan, cahaya, shadows, features, material, vertical & horizontal line, reflections antara ciri-ciri dan elemen-elemen yang menimbulkan rupabentuk sesebuah monumen. Itulah benda yang saya suka perhatikan di mana di situlah antara elemen yang digunakan pada zaman Melaka dijajah dan meninggalkan bahasa senibina mereka di sini. Kerana sebab ini jugalah antara faktor mengapa saya meminati sukan berbasikal. Bukan sekadar beriadah tetapi penghayatan terhadap alam serta monumen-monumen menarik di muka bumi.

Bermula dari saat itu, saya berfikir sejenak dan mula rasa terpanggil untuk mempelbagaikan aktiviti selain membuat kayuhan riadah saya supaya ia menjadi lebih menarik dan lebih menyeronokkan. Task tambahan yang dirancang ialah ingin membuat lakaran (sketches) ke atas scenery bangunan yang saya lihat dan di jadikan sebagai rekod perjalanan peribadi. Perancangan asal sebenarnya saya ingin membuat live sketch di mana setiap task diproses di situ, namun disebabkan beberapa masalah sampingan dan tidak dapat dielakkan membantutkan idea yang telah dirancang.  Antaranya ialah bagaimana saya ingin membawa tools serta peralatan melukis tambahan semasa mengayuh basikal? Bebanan tambahan tiada menjadi masalah cuma saya tiada hydration bag (beg sandang basikal) sebagai karung simpanan peralatan tersebut. Kedua ialah saya akan berkompromi dengan masa di mana setiap lakaran akan mengambil masa yang agak lama sekurang-kurangnya 30 minit untuk satu lakaran. Lagi lama masa diambil maka lagi detail dan terperinci lukisan itu dapat dihasilkan. Itulah nilai sebenar sesebuah lukisan. Setelah faktor-faktor tersebut diambilkira, saya dengan nekadnya mengambil keputusan melakar berpandukan gambar yang ditangkap semasa laluan berbasikal saya. Saya rasa itu adalah jalan terbaik buat sementara waktu dan saya berazam akan menyelesaikan masalah tersebut sehingga apa yang diimpi dapat direalisasikan. InsyaAllah..

Berikut adalah antara lakaran (sketches) yang saya buat untuk dikongsi bersama sebagai sebuah pengalaman dan lakaran-lakaran lain akan menyusuri pada siri seterusnya. Walaupun harganya telah susut nilai namum ia tetap memberi kepuasan maksima ke pada saya...

Monumen dan bangunan pertama yang saya jumpa semasa melalui Jambatan Syed Abd. Aziz

 Disusuli sebuah bangunan Hotel - Mahkota Hotel Melaka

Moleskine sketchbook buatan sendiri

Saya dan Odo meter

Sunday 10 June 2012

sketch of the day : contengan dalam buku nota

Apa yang anda lihat di bawah adalah contengan saya semasa menghadiri sebuah kursus di salah sebuah hotel yang berlangsung pada hujung bulan lalu yang baru hari ini saya sempat lampirkan. Sekadar untuk berkongsi serta menceritakan sedikit senario serta pengalaman saya di sana selama 2 hari 3 malam dengan jadual yang agak padat. Contengan adalah menggunakan sebatang pensil 2H berwarna merah serta sebuah buku nota bersaiz 4.5cm x 9.5cm diberi dan disertakan bersama goodies yang lain.
Saya duduk di barisan hadapan (dalam keadaan terpaksa) dan merakamkan keadaan pentas serta aksessori berkaitan. Dijelaskan di sini bahawa contengan dibuat adalah semata-mata untuk menghilangkan rasa mengantuk dan bukannya untuk berangan-angan sambil fikiran melayang-layang serta berfantasi. Saya seorang yang sangat fokus!. ;p

Beberapa figura penceramah yang saya lakarkan sebagai ingatan kepada mesej yang disampaikan oleh mereka juga item yang sentiasa berada di atas meja sepanjang kursus dijalankan. Akhir kata, lakaran ini ditujukan khas kepada rakan-rakan peserta kursus yang hadir bersama-sama saya tempoh hari sebagai tanda kenangan. Sekian.

  Medium : Pencil on paper