Saturday 31 January 2015

Pertandingan melukis Citra Terengganu 2014 - Kategori Spontan

Medium : pencil & watercolour on A1 size paper

Assalammualaikum wbt.. Bersua kembali untuk tahun 2015. Belum terlambat rasanya untuk mengucapkan 'Selamat Tahun Baru' kepada semua. Moga-moga azam tahun lepas telah tercapai dengan jaya dan tahun ini kita memulakan langkah baru untuk menjadi lebih baik dari tahun sebelumnya. 

Baiklah. Ini adalah entri sambungan untuk cerita lalu yang belum ada penutupnya. Perkongsian ini menceritakan sebuah pengalaman menyertai pertandingan melukis yang diadakan di Terengganu pada tahun 2014. Anda boleh ikuti kisah sebelum ini di sini.

Seperti yang dirancang diperingkat awal, akhirnya saya tiba di Terengganu sehari sebelum pertandingan. Kali ini saya benar-benar ingin mencuba merasai sebuah pertandingan lebih besar bagi menguji diri. Keterujaan dapat dirasai mengatasi rasa segala penat menempuh perjalanan jauh selama 7 jam untuk sampai ke destinasi pada malam harinya. Kedatangan saya di sini ditemani isteri dan anak-anak. Begitu cekal walaupun tidak begitu mahir memandu ke Pantai Timur dengan hanya dibekalkan panduan GPS. Syabas!

Tanpa berlengah kami mendaftar di salah sebuah hotel di bandar Kuala Terengganu. Hotel yang dimaksudkan ialah Hotel Grand Puteri yang baru sahaja selesai dinaiktaraf. Maka ini adalah rumah saya buat masa ini untuk saya berkampung dan beristirehat bersama keluarga untuk selama 5 hari. Selesa dan berpatutan. Kedudukan hotel ini juga amat strategik terletak di tengah-tengah bandar berdekatan dengan semua fasiliti serta kemudahan utama. Harapan agar keluarga saya akan merasa seronok dengan percutian untuk kali ini. Itu adalah sasarannya. Melakukan perkara diminati disamping bercuti!

Dipendekkan cerita, hari yang dinanti telahpun tiba. Awal pagi saya telah bersiap sedia ke tempat yang dituju ditemani keluarga. Agak sedikit kesulitan untuk membangunkan anak kecil di awal pagi memandangkan kepenatan menempuh perjalanan jauh. Namun, ia dapat diatasi. Tepat jam 8 pagi kami tiba di sana. Kelihatan beberapa gerombolan peserta mula berkumpul di perkarangan Muzium Negeri Terengganu. Agak sedikit gementar memandangkan ada yang datang dengan kelengkapan melukis yang cukup lengkap menggambarkan ada dikalangan mereka adalah golongan begitu professional. Namun ia tidak mematahkan semangat untuk mencuba. Lebih 500 km datang ke sini ingin mencuba dengan apa sahaja yang ada..

Sesi taklimat.

Bersambung....