Saturday 30 May 2015

Merekabentuk banglo 1 tingkat untuk En. Zamri

Medium : Autocad + 3ds Max + Adobe Photoshop

Berikut adalah rekabentuk sebuah banglo 1 tingkat yang telah siap yang dipohon oleh abang kepada seorang rakan yang berminat untuk mendapatkan perkhidmatan saya iaitu dikenali sebagai En. Zamri. Beliau berhajat serta menginginkan sebuah banglo 1 tingkat yang agak kontemporari lengkap dengan segala keperluan asas sebuah banglo yang selesa. Setelah diperkenalkan kepada saya, saya mencadangkan pada peringat awalnya agar beliau melayari blog saya ini bagi mendapatkan sedikit idea yang mana sedikit sebanyak boleh membantu beliau dalam memilih rekabentuk.

Walaubagaimanapun, ada sedikit kelebihan diberi di dalam proses merekabentuk di mana tapak cadangan adalah luas serta memanjang. Kalau tidak salah anggarannya ialah bersaiz 120' lebar x 42' panjang yang mana banyak memberi keselesaan ruang. Tapak cadangan adalah terletak di kawasan Sepang, Selangor yang dijangkakan akan dibina selepas sambutan Aidilfitri tahun ini. 

Satu pertemuan dapat diatur bagi membincangkan konsep awalan seterusnya disambung perbincangan dengan lebih lanjut selepas itu melalui telefon dan aplikasi whatsapp memandangkan beliau menetap di Shah Alam. Proses lanjutan tersebut telah berjaya mendapat satu persetujuan konkrit. Akhirnya beliau bersetuju memilih Pakej 2 di mana set lukisan tersebut lengkap dengan Lukisan Pembinaan yang boleh digunapakai di tapak bina kelak.

Secara ringkas, rumah kediaman ini adalah bersaiz 45' lebar x 85' panjang lengkap dengan 5 bilik tidur termasuk master bedroom, 1 bilik solat, living area, family area, dining area, dry & wet kitchen serta laundry room. Ketinggian aras lantai dinaikkan setinggi 2' bagi mendapatkan impak yang lebih dramatik dilengkapi dengan sebuah atrium tower dibahagian living area bagi menghasilkan volume yang lebih tinggi serta luas. Terdapat juga verandah/terrace memainkan peranan sebagai laluan ke bahagian ruang yang aktif di sebelah luar sebagai akses alternatif tanpa masuk ke dalam rumah. Akhirnya, kediaman ini di saluti dengan kemasan cat bertona semulajadi (earth colour) disisipkan dengan binaan stone veneer menyaluti tiang utama agar lebih kemas dan seragam.

Dengan keluasan yang luas, saya mencadangkan kepada pemilik agar dihiaskan sedikit ruangan ini dengan lanskap lembut dan lanskap kejur bagi menambahkan seri laman sesuai dengan konsep binaan tropikal kontemporari. 


Pandangan dari suduk jalan masuk ke rumah kediaman.

Pandangan dari tampak hadapan mengadap ke anjung kereta.

Akhir kata, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada pemilik kerana sudi mendapatkan perkhidmatan saya. Sedikit sebanyak dengan ada permintaan sebegini, ia dapat membantu agar saya lebih kreatif dalam pengolahan idea serta ilmu di dalam kerja merekabentuk rumah kediaman dapat dipertingkatkan sejajar dengan keperluan serta perkembangan semasa. Kepada pembaca di luar sana boleh juga menghubungi saya sekiranya sudi untuk mendapatkan lukisan konsep rumah kediaman peribadi seperti yang terdapat di dalam blog mahupun idea lain untuk saya ilhamkan. Segala pakej dan perkhidmatan akan saya jelaskan semasa urusan perbincangan nanti. Hantar pesanan ke ruangan masej di atas atau melalui email seperti tertera di sebelah blog tab. InsyaAllah saya akan cuba respon segera yang mungkin. Sekian terima kasih. Semoga berjumpa lagi.

Berikut adalah sebahagian daripada gambar semasa pembinaan yang sempat dikongsikan oleh pemilik kepada saya untuk simpanan.