Sunday 25 November 2012

koleksi : rumah tradisional melayu

Cuti hujung minggu lalu saya pulang ke kampung. Mata saya terpandang kepada sebuah bingkai lukisan yang tergantung di ruang tamu lama rumah orang tua saya yang kelihatan sedikit berhabuk. Agak gambira kerana gambar itu masih berada di posisi dan lokasi yang sama seperti 15 tahun yang lalu. Percaya atau tidak lukisan itu telah berusia 15 tahun dan tidak pernah diusik atau dialihkan sejak ia digantung. Seingat saya lukisan ini saya hasilkan ketika berumur 17 tahun iaitu selepas sahaja menduduki peperiksaan SPM. Namun agak malang sedikit kerana tiada tarikh tercatat dalam lukisan tersebut. Lukisan ini hampir seusia lukisan kapal yang pernah postkan dalam entri yang lalu. 

Rumah tradisional Melayu

Ia diilhamkan berdasarkan sebuah gambar dalam naskah surat khabar dan diterjemahkan ke dalam lukisan. Kalau tidak silap, rumah ini merupakan sebuah Rumah Tradisional Melayu Pahang yang agak kelihatan & rekabentuknya hampir seperti Rumah Tradisonal Melayu Melaka. Turut meyakinkan saya rumah ini bukan rumah Melaka kerana tiada elemen tangga batu, kedudukan tangga di sisi bangunan, tiada tingkap labuh, tiang yang agak tinggi sedikit serta rekabentuk serambi yang agak berbeza daripada tipikal Rumah Melaka. Namun yang pasti, bahan binaan dan material kayu yang digunakan masih tetap sama seperti rumah tradisional yang terdapat di Malaysia.

Menyentuh kepada peralatan lukisan pula, medium yang saya gemar digunakan pada ketika itu ialah kertas sketchpad, berus cina (berus buluh) dan bucho colour (medium yang sepatutnya digunakan untuk membuat lukisan berbentuk poster). Barangan ini boleh dibeli di mana-mana kedai stationery kerana dijual untuk pelajar-pelajar sekolah dan masih boleh didapati sehingga ke hari ini. Agak kelakar kerana waktu itu saya hanya mampu membeli barangan lukisan yang murah yang dianggap cukup bemutu memandangkan saya hanyalah seorang graduan SPM yang tidak memiliki wang. Walhal dengan barangan yang mahal dan baik sudah semestinya akan dapat membantu secara teknikal dalam penghasilan karya yang cukup menarik. Namun ia tetap tiada masalah bagi saya kerana yang lebih penting hasilnya cantik serta hati merasa puas apabila melihatnya.

Agak klasik dimana kedudukannya masih tergantung di ruang tamu rumah.

Pada pandangan saya, sangat eloklah lukisan ini dibiarkan tergantung di dinding sana sahaja. Setidak-tidaknya sekali sekala ia boleh dijadikan kenangan bernostalgia saya sewaktu muda remaja dulu yang mana saya sentiasa obses dan sangat teruja terhadap seni lukisan walaupun sebenarnya saya mengambil aliran sains tulen. Keterujaan itu diharap akan ada kesinambungannya dalam diri sendiri sampai bila-bila. Dan harapannya begitulah. Sekian.


Wednesday 21 November 2012

kapal kesultanan melaka

Imbas kembali. Pada tahun 2009 dulu saya pernah membantu membuat draf cadangan membina sebuah Replika Kapal Kesultanan Negeri Melaka yang diuar-uarkan untuk ditempatkan bersebelahan dengan Muzium Kapal sediada ada di Bandar Hilir Melaka. Butiran kerja tersebut tidaklah diketahui secara jelas kerana saya cuma membantu dari segi aspek persembahan digital dan yang pasti ianya melibatkan sebuah rekabentuk kapal yang pernah digunakan oleh Kesultanan Negeri Melaka semasa zaman kegemilangannya. Kertas kerja tersebut dikemukakan oleh seorang rakan dan memohon untuk dizahirkan di dalam 3D lukisan persembahan dengan mengikut lebih 80% daripada kajian sejarah yang dibuat terhadap kapal tersebut sebelum ini. Berikut adalah gambaran yang saya hasilkan menggunakan perkakasan 3dsmax mengadaptasi teknik editable poly & mesh.

Gambaran daripada pandangan hadapan

Gambaran daripada pandangan sisi.

Kombinasi imej yang dirender daripada pandangan pelbagai sudut. 

Namun, nasib dan status kertas cadangan itu tidak diketahui sehingga ke hari ini lagi. Mungkin akan ada perancangannya untuk tahun-tahun akan datang. 

Monday 5 November 2012

urban sketch : beriadah sambil melakar siri 3

Semasa entri ini ditulis, rasanya sudah agak sebulan saya tidak melakukan sebarang aktiviti berbasikal seperti rutin sesebelumnya. Mungkin terikat dengan kekangan komitmen sejak akhir-akhir ini membuatkan terpaksa berehat sebentar dan perlu menyelesaikan beberapa perkara yang hanya boleh dilakukan waktu cuti di hujung minggu. Walaubagaimanapun, dengan azam yang masih kuat, juga semangat yang senantiasa berkobar-kobar saya pasti akan memulakan semula aktiviti ini dalam tempoh terdekat. Sudah pasti, cuti yang agak panjang minggu ini saya akan jadikan ia sebagai cuti yang berguna juga impian untuk mendapatkan badan yang sentiasa cergas.

Bagi anda yang baru mengikuti siri ini, sedikit info di mana siri ini memaparkan perjalanan atau satu aktiviti kayuhan berbasikal saya lakukan dihujung minggu sekitar Bandar Melaka diselitkan dengan koleksi lukisan yang saya terjemahkan berdasarkan pemerhatian saya terhadap bangunan-bangunan, monumen, fasad, objek atau panorama yang saya jumpa sepanjang perjalanan. Ia dilakukan sebagai sebuah hobi untuk dikongsi juga sebagai medium untuk saya sentiasa mempraktikkan teknik terbaik menghasilkan sebuah kerja seni. Siri awal boleh didapati dengan scroll page di bawah.


Berikut adalah kolam air pancut yang terkenal di Red Square (Stadthuys Square) iaitu dikenali sebagai The Queen Victoria Water Fountain menjadi tarikan pengunjung. Masih berfungsi dengan baik dan telah dibina pada tahun 1901 oleh kerajaan British. Monumen ini menjadi salah satu lokasi kegemaran para jurugambar membelakangkan bangunan Stadthuys.


Menara Jam menjadi landmark utama ketika berada di lokasi Bangunan Merah. Sentiasa dibanjiri pengunjung walaupun bukan di waktu cuti umum. Persekitarannya menceritakan era penjajahan ke atas Melaka bermula dari Portugis, Belanda seterusnya British. Bangunan Stadthuys pada tahun 1650 oleh kerajaan Belanda menempatkan Muzium Sejarah dan Ethnografi, Galeri Laksamana Cheng Ho, Muzium Sastera, Muzium Pemerintahan Demokrasi & Muzium Yang Di-Pertua Negeri Melaka. Senibinanya  menjurus kepada bahasa senibina bangunan Belanda yang halus.

Proses mewarna.

Proses melakar ke atas moleskine sketchbook journal. Baru dibeli tempoh hari.

Medium yang saya gunakan ini bukanlah sejenis moleskine sketchbook sebenar tapi 99% penggunaannya masih sama. Buku ini berjenama Etcerta amat sesuai kepada sesiapa meminati hobi melakar. Dibeli di kedai buku MPH Mahkota Parade dan hanya 2 unit sahaja yang tinggal. Saya mengambil keputusan untuk membeli kedua-duanya sebagai stok simpanan memandangkan akan banyak lagi coretan serta lakaran yang akan saya ilhamkan. Harga untuk 1 unit ialah RM45.00 bersaiz A5. Kualiti kertasnya sangat baik (Acid free cream watercolour paper) dan kadar penyerapan warna ke atas permukaannya sangat sempurna. 

Ikuti siri ini seterusnya juga yang terakhir untuk episod akan datang. Sekian terima kasih kepada anda kerana sudi membaca. 

p/s : Tidak sabar dan teruja untuk berbasikal semula kerana terdapat part basikal yang telah ditambah baik!.