Tuesday, 22 October 2013

merekabentuk banglo 2 tingkat untuk En. Shaari



Medium : Autocad, 3dsmax & Adobe Photoshop

Dalam tempoh dua minggu tanpa sebarang posting, saya sempat menyiapkan sebuah rekabentuk banglo 2 tingkat untuk seorang pelanggan iaitu En. Shaari yang saya kenali melalui seorang rakan. Rekabentuk tersebut telah melepasi beberapa peringkat dan fasa pengubahsuaian yang mana ia mengambil kira keperluan serta kehendak pelanggan. Konsep yang diterapkan di sini ialah lebih menjurus kepada kediaman jenis tropikal yang berkeluasan 462.9 meterpersegi (4982.5 kakipersegi) dari segi keluasan binaannya.

Secara teknikal, kediaman ini dilengkapi dengan beberapa ruang dan bilik utama iaitu 7 bilik tidur, 6 bilik air, ruang tamu, 2 ruang famili, 1 ruang makan, dapur basah, dapur kering, foyer dan ruangan yard. Dengan keluasan sebegini, biasanya kediaman jenis ini bolehlah dikategorikan sebagai rumah agak mewah di mana bilangan ruangan asasnya melebihi daripada bilangan tipikal rumah kediaman yang biasa terdapat di pasaran ketika ini. Apa yang menarik untuk kediaman ini ialah ia memiliki binaan balkoni yang agak besar dijadikan sebagai ruangan istirehat keluarga tanpa untuk turun ke laman. Terdapat juga ruangan untuk lanskap di bahagian ruang keluarga sebelah tangga di mana ia boleh terus diakses dari luar selain daripada keunikan di bahagian ruang tamu utama yang memiliki atrium.

Dengan persetujuan yang telah diberi oleh pelanggan terlebih dahulu, maka ketika ini saya sedang menyiapkan lukisan submission untuk kelulusan Pihak Berkuasa Tempatan sebagai sebuah syarat untuk membina sebuah kediaman di sesebuah tempat. Lukisan ini juga berperanan sebagai rujukan olek pihak kontraktor untuk digunapakai semasa pembinaan rumah impian tersebut kelak. Agak sedikit dukacita, saya tidak dapat mengkongsikan rupa bentuk pelan susunatur rumah ini kepada pembaca kerana ialah hak cipta terpelihara untuk pemilik ini sahaja. Apa yang boleh dikongsikan cuma gambaran luaran rekabentuk kediaman ini yang saya hasilkan menggunakan aplikasi komputer iaitu 3dsmax software. Sekian.


Monday, 7 October 2013

urban sketch : jambatan tan kim seng

Medium : pen & watercolour on paper

Buku sketch kepunyaan saya hampir terjatuh ke dalam sungai ketika saya sedang sibuk melukis di pelantar sungai pada hujung minggu lalu. Ini adalah insiden yang sukar untuk saya lupakan sepanjang menjalankan aktiviti 'beriadah sambil melakar' yang saya telah lakukan sejak kebelakangan ini. Situasi ini berlaku dengan pantas di mana buku ini tiba-tiba tergelincir semasa sibuk menyandarannya untuk mencari ruang dan posisi melukis di susur tangan konkrit (concrete hand railing) terletak di pelantar tersebut. Namun dengan tindakan pantas tangan saya dapat menggapai buku itu semula seterusnya menyelamatkan harta berharga kepunyaan saya dari tenggelam ke dasar Sungai Melaka. Syukur. Kalau tidak sudah pastinya saya akan kehilangan sebilangan koleksi lukisan yang telah saya hasilkan sejak beberapa tahun lalu. Sukar untuk digambarkan.

Oklah. Lukisan di atas terhasil semasa saya melakukan aktiviti berbasikal pada hari ahad yang lalu. Hati ini amat berbelah bagi pada peringkat permulaan kayuhan kerana cuaca agak kurang baik. Awal jam 4 pagi sudah kedengaran hujan mulai turun. Namun, ia tidak mengambil masa yang terlalu lama untuk berhenti. Akibat dari hujan tersebut, terhasillah lopak-lopak air di kaki lima jalan yang secara teorinya akan menyukarkan kayuan untuk kali ini. Ditambah pula, kedengaran pula guruh kecil sekali-sekala memecah ketenangan pagi memberi petanda kemungkinan hujan akan turun lagi. Namun, nampaknya keobsesan dalam diri mengatasi segala-galanya. Naluri ini bertekad untuk meneruskan apa yang telah dirancang. Tiada perkataan untuk berpatah balik. Sambil itu, hati kecil berdoa agar dipermudahkan untuk perjalanan kali ini.

Alhamdulilah. Nampaknya apa yang diinginkan tercapai. Hujan pun tidak turun seperti dijangka. Kali ini route perjalanan juga ditukar. Saya telah mengambil keputusan untuk berkayuh di seberang sungai sana berbeza dari route minggu-minggu lalu. Pertukaran perjalanan dibuat saat-saat akhir juga bermakna perjalanan ini memberi panorama yang lebih berbeza. Dengan memilih untuk berada di pelantar sungai berdekatan Hotel Casa Del Rio, saya mula melukis memfokuskan imej yang saya lihat. Kelihatan sebuah jambatan lama di beri nama rasmi Jambatan Tan Kim Seng menghubungkan Bandar Hilir menuju ke jalan di Jonker Walk. Bertentangan dengan sungai kelihatan bangunan Harper's Restaurant & Lounge berwarna merah dan juga bangunan Melaka Information Centre yang mana kita akan sentiasa lihat sekiranya berada di Bandar Hilir. Impak kedudukan ketiga-tiga objek ini memberikan sebuah refleksi menarik ke atas permukaan sungai. Imej pembalikan yang terhasil memberikan kesan visual amat menarik pada waktu pagi. Itulah sebab utama kenapa saya memilih subjek ini selain pertembungan serta susunan antara bangunan, jalan dan sungai membawa maksud tersendiri di dalam bahasa senibina.

 Gambaran ketika sedang melukis dan insiden ketika hampir kehilangan sketchbook kepunyaan saya. Kedudukan posisi melukis perlu stabil untuk menghasilkan garisan lebih konsisten.


 Inilah basikal saya dan kit melukis diletakkan di atas susur tangan konkrit. Kelihatan permukaan sungai yang begitu hampir dengan tempat saya melukis.

Lukisan yang siap diwarnakan di rumah.

Thursday, 3 October 2013

urban sketch : rumah kedai di sungai melaka 2

medium : pen & watercolour on paper

Bersua kembali. Lakaran di atas ialah sebuah lukisan adaptasi dari sebuah permandangan yang saya lihat semasa berbasikal pada hujung minggu lalu. Nampaknya aktiviti berkayuh waktu pagi di hujung minggu masih dapat saya teruskan secara berturut-turut tanpa halangan yang besar. Laluan yang dipilih masih sama seperti minggu-minggu sebelumnya memandangkan banyak lagi tempat atau spot-spot menarik yang belum sempat saya singgah. Lakaran ini adalah sebahagian lukisan yang sempat saya hasilkan sepanjang berbasikal di sungai Melaka. Secara kebetulan tempat ini dipilih kerana deretan kedai ini mememiliki padangan fasad bangunan yang amat menarik pandangan mata selain saya mempunyai tempat untuk duduk dan sesuai untuk melukis. Itu adalah antara perkara yang menyumbang kepada faktor saya berhenti di situ. Dengan purata masa lebih kurang 20 minit, akhirnya lukisan ini berjaya saya hasilkan dengan menggunakan sebatang pen yang dibawa bersama. 

Lakaran ini sebenarnya saya telah hasilkan pada hujung minggu lalu, namun kekangan masa menyebabkan saya tidak berkesempatan untuk mengemaskininya di blog. Namun malam ini, adalah masa yang sesuai untuk melaksanakannya dan secara tidak langsung adalah sebagai sebuah naskah untuk saya kongsikan bersama pembaca sebelum masuknya waktu tidur. Terima kasih dan selamat malam. =)

Lakaran yang dibuat ditempat kejadian.

Lakaran yang diwarnakan apabila tibanya di rumah.