Friday, 20 March 2015

Merekabentuk banglo 2 tingkat untuk En. Syazwan

Medium : Autocad + 3ds max + Adobe Photoshop

Keinginan memiliki sebuah kediaman sendiri merupakan satu impian begitu terindah malah keperluan terpenting bagi setiap individu masa kini. Lebih menarik lagi sekiranya kediaman yang terbina adalah mengikut idea, acuan dan citarasa sendiri. Memasang angan-angan pada peringkat awal disusuli dengan perancangan yang baik serta usaha gigih menyumbang kepada transaksi impian itu menjadi nyata.

Di pihak saya sendiri sebagai perekabentuk juga tidak lari daripada memasang impian yang sama seperti mereka. Menginginkan sebuah rumah yang cantik, berfungsi, praktikal dan bersesuaian dengan citarasa sendiri. Tipulah sekiranya saya tidak ada hasrat seperti itu walaupun saya punyai sedikit berkelebihan untuk merekabentuk rumah sendiri. Namun, hasrat tersebut dipendamkan di dalam bentuk pelan sahaja sekadar tatapan buat masa ini. Untuk direalisaikan mungkin akan mengambil sedikit masa memandangkan segala keperluan asas terutama kewangan perlulah diambilkira sebelum melakukan langkah seterusnya dibuat. Maka, impian akan kekal impian sehinggalah saya betul-betul telah bersedia dari semua aspek.

Ok, apa yang ingin dikongsikan di sini ialah sebuah rekabentuk banglo yang saya hasilkan untuk salah seorang pembaca blog ini iaitu En. Syazwan dan Pn. Humairah dari Perlis. Beliau menghubungi saya melalui email dan menyatakan hasrat untuk mendapatkan sebuah konsep rekabentuk banglo dua tingkat dan merancang untuk melaksanakan pembinaan dalam masa terdekat. Sungguh bertuah pasangan ini kerana telah betul-betul bersedia untuk membina sebuah kediaman impian. Tahniah saya ucapkan. Sebuah perancangan yang saya anggap berjaya.

Setelah persetujuan awalan diterima, tanpa berlengah saya memulakan proses merekabentuk. Beliau juga ada memberi sedikit maklumat beserta lakaran kasar yang dibuat sendiri untuk saya nilai, olah dan perbaiki yang mana perlu. Sebagai makluman beliau memilih Pakej no.3 daripada senarai perkhidmatan yang saya sediakan di mana ia melibatkan penghasilan sebuah set lukisan pembinaan yang boleh digunapakai untuk kerja-kerja pembinaan.

Di dalam tempoh masa merekabentuk saya sentiasa berhubungan dengan beliau melalui aplikasi WhatsApp yang mana memudahkan saya dari segi proses ulasan dan persetujuan. Mungkin agak sedikit sukar di mana segala maklumat hanya dapat disampaikan secara elektronik. Namun ia saya ambilkira sebagai cabaran untuk sentiasa perlu cekap untuk memproses maklumat. Setelah beberapa siri olahan rekabentuk dibuat dan dimajukan kepada beliau, akhirnya konsep akhir banglo tersebut dipersetujui. Lega dihati kerana proses seterusnya menanti iaitu proses penyediaan Lukisan Pembinaan yang saya beri jaminan akan mengambil sedikit masa untuk disiapkan. 

Ok, secara ringkas banglo kediaman En.Syazwan ialah sebuah konsep kediaman moden 2 tingkat berkeluasan 2200 kp. Dari segi keperluan ruang kedeiaman ini dilengkapi dengan 4 bilik tidur, bilik study, stor, 2 ruang keluarga, ruang tamu, ruang makan, dapur basah dan kering serta 3 bilik air. Keperluan-keperluan tersebut disediakan berdasar permintaan awal beliau yang mana ia juga mengambil kira faktor saiz keluasan keseluruhan bangunan. Apa yang menjadi tarikan di sini ialah terdapat ruang balkoni istrirehat terletak di bahagian atas bumbung kereta yang mana ia boleh dijadikan tempat yang akan lebih private. Kedudukan bumbung juga memainkan peranan dalam menghasilkan sebuah rekabentuk unik.

Berikut adalah serba sedikit gambaran yang boleh dikongsi kepada pembaca yang mana mengambarkan rupa bentuk luaran fasad banglo tersebut. Konsep ini saya hasilkan menggunakan aplikasi 3ds Max. Sebagai penutup, saya anggapkan proses ini bukan sahaja berjaya dilaksanakan diperingkat saya malah ia juga berjaya telah berjaya diterjemahkan di tapak bina. Sungguh mengkagumkan di mana hasil kerja tangan akhirnya terbina di depan mata. 

Ribuan terima kasih juga kepada pasangan En. Syazwan dan isteri kerana sudi mendapatkan perkhidmatan kecil-kecilan daripada saya. Sekiranya diberi peluang saya ingin melihat hasilnya di sana dan juga kalau berkesempatan boleh berjumpa secara bersemuka dengan pemilik. InsyaAllah sekiranya saya berkelapangan ke Perlis saya akan menghubungi beliau. Harapan agar beliau berpuashati dengan rekebentuk kediaman beliau sekiranya siap kelak dan menjemput saya untuk meraikannya. Semoga berjaya. Terima kasih sekali lagi kerana sudi berkongsikan gambar proses pembinaan di sana. Sungguh menarik dan teruja!

Sudut pandangan lebih menarik diambil daripada gambaran 3d.

Berikut adalah rantaian gambar banglo tersebut semasa melalui proses pembinaan yang sudi dikongsikan oleh pemilik.

Proses kerja-kerja asas.

Kerja-kerja tiang dan rasuk konkrit telah sampai ke aras 2.

Gambaran sudut kanan bangunan.

65 % kerja-kerja di tapak bina.

Sudut sebelah belakang bangunan.



Saturday, 28 February 2015

Merekabentuk lanskap di perkarangan Hospital Besar Melaka

Medium : Autocad + 3ds max + Adobe Photoshop

Bersua kembali. Dikongsikan di sini sebuah rekabentuk lanskap di perkarangan sebuah hospital besar di sini. Elemen yang diterapkan ialah elemen gambungan daripada lanskap kejur dan lanskap lembut. 3 unit deretan tempat duduk terbuka 'sitting bench'  yang dihiasi dengan pokok lanskap di tengah-tengah sebagai pelembut. Ruangan bumbung dibina peneduh dari jenis kaca (tempered glass) untuk membenarkan pencahayaan semula jadi secara maksimum juga sebagai pelindung daripada air hujan. Objektif utama membina ruang ini adalah untuk menampung kapasiti pengunjung ke hospital yang semakin bertambah selain mencantikkan serta menceria kawasan dataran tersebut daripada ia sepi dan agak suram.





Gambaran asal keadaan ditapak.

Saturday, 31 January 2015

Pertandingan melukis Citra Terengganu 2014 - Kategori Spontan

Medium : pencil & watercolour on A1 size paper

Assalammualaikum wbt.. Bersua kembali untuk tahun 2015. Belum terlambat rasanya untuk mengucapkan 'Selamat Tahun Baru' kepada semua. Moga-moga azam tahun lepas telah tercapai dengan jaya dan tahun ini kita memulakan langkah baru untuk menjadi lebih baik dari tahun sebelumnya. 

Baiklah. Ini adalah entri sambungan untuk cerita lalu yang belum ada penutupnya. Perkongsian ini menceritakan sebuah pengalaman menyertai pertandingan melukis yang diadakan di Terengganu pada tahun 2014. Anda boleh ikuti kisah sebelum ini di sini.

Seperti yang dirancang diperingkat awal, akhirnya saya tiba di Terengganu sehari sebelum pertandingan. Kali ini saya benar-benar ingin mencuba merasai sebuah pertandingan lebih besar bagi menguji diri. Keterujaan dapat dirasai mengatasi rasa segala penat menempuh perjalanan jauh selama 7 jam untuk sampai ke destinasi pada malam harinya. Kedatangan saya di sini ditemani isteri dan anak-anak. Begitu cekal walaupun tidak begitu mahir memandu ke Pantai Timur dengan hanya dibekalkan panduan GPS. Syabas!

Tanpa berlengah kami mendaftar di salah sebuah hotel di bandar Kuala Terengganu. Hotel yang dimaksudkan ialah Hotel Grand Puteri yang baru sahaja selesai dinaiktaraf. Maka ini adalah rumah saya buat masa ini untuk saya berkampung dan beristirehat bersama keluarga untuk selama 5 hari. Selesa dan berpatutan. Kedudukan hotel ini juga amat strategik terletak di tengah-tengah bandar berdekatan dengan semua fasiliti serta kemudahan utama. Harapan agar keluarga saya akan merasa seronok dengan percutian untuk kali ini. Itu adalah sasarannya. Melakukan perkara diminati disamping bercuti!

Dipendekkan cerita, hari yang dinanti telahpun tiba. Awal pagi saya telah bersiap sedia ke tempat yang dituju ditemani keluarga. Agak sedikit kesulitan untuk membangunkan anak kecil di awal pagi memandangkan kepenatan menempuh perjalanan jauh. Namun, ia dapat diatasi. Tepat jam 8 pagi kami tiba di sana. Kelihatan beberapa gerombolan peserta mula berkumpul di perkarangan Muzium Negeri Terengganu. Agak sedikit gementar memandangkan ada yang datang dengan kelengkapan melukis yang cukup lengkap menggambarkan ada dikalangan mereka adalah golongan begitu professional. Namun ia tidak mematahkan semangat untuk mencuba. Lebih 500 km datang ke sini ingin mencuba dengan apa sahaja yang ada..

Sesi taklimat.

Bersambung....