Friday, 30 October 2015

Merekabentuk banglo 2 tingkat untuk Pn. Jusma

Medium : Autocad + 3ds Max + Adobe Photoshop

Assalammualaikum.. Selamat bertemu kembali. Dikongsikan di atas adalah salah sebuah rekabentuk terbaru banglo 2 tingkat yang saya hasilkan untuk Pn. Jusma berasal dari Melaka. Berkonsepkan moden tropikal dan sedikit elemen resort style berkeluasan sekitar 2800 kp yang mempunyai 4 bilik tidur serta 1 bilik utiliti. Bakal di bina di kawasan Bukit Katil Melaka di atas tanah bersaiz 5' x 100' dan akan mempunyai sedikit laman lanskap di sekeliling tapak.

Elemen arkitektural yang dominan diterapkan di dalam rekabentuk ini ialah kemasan batu hias di kaki tiang utama, penggunaan artificial plank untuk keseluruhan tebar layar serta topang kayu di setiap penjuru bumbung menjadikan ia tampak lebih menonjol dan seimbang. Penggunaan warna selamat menjurus kepada citarasa moden dan tidak keterlaluan. Terdapat binaan balkoni di sebelah sisi bangunan memberi keselesaan kepada pemilik untuk menghayati suasana sekitar dari tingkat atas.

Pandangan dari sudut sisi bangunan.


Pandangan sisi atas.

Pandangan hadapan menonjolkan rekabentuk bumbung yang kemas dan terperinci.



Saturday, 29 August 2015

Merekabentuk banglo 2 tingkat untuk Pn. Elisya - Fasad 2

Medium : Autocad + 3ds Max + Adobe Photoshop

Berikut adalah sekeping gambar rekabentuk fasad terbaru yang direka oleh saya untuk Pn. Elisya. Cadangan rekabentuk fasad ke-2 ini nampak lebih menarik berbanding rekaan sebelumnya. Bumbung dongak diubahsuai ke pelbagai arah untuk menampakkan impak tinggi dan rendah. Warna kehijauan juga dilapiskan ke atas dinding hias menggantikan warna merah. Kemas dan bersih.  

Friday, 31 July 2015

Merekabentuk hiasan dalaman ruangan dapur untuk Tuan Hj. Nen

Medium : Autocad + 3ds Max + Adobe Photoshop 

Masih ingat tidak anda dengan rekabentuk rumah kediaman yang direkabentuk untuk Tuan Haji Nen dari Terengganu? Saya rasa pembaca masih ingat. Melalui makluman yang beliau beri kepada saya tempohari sebelum Hari Raya Aidilfitri, beliau menyatakan bahawa status kemajuan pembinaan banglo rumah beliau di sana telah mencapai 50% di tapak. Agak baik dan begitu lancar. Satu makluman dan berita yang menyenangkan saya terima. Harapan saya agar momentum pembinaan tersebut akan kekal sehingga kediamannya siap 100 % tanpa masalah. 

Apa saya kongsikan di atas sebenarnya adalah sebuah konsep rekabentuk hiasan dalaman yang dipohon oleh beliau untuk saya ilhamkan memandangkan kerja-kerja pendawaian elektrik telah mula dijalankan untuk keseluruhan rumah. Oleh yang demikian beliau berhasrat untuk mendapatkan sentuhan konsep moden kontemporari bagi ruang dapur yang amat diminati melalui carian di laman sesawang, Firasat beliau beranggapan bahawa dengan adanya konsep awalan seperti ini, sedikit-sebanyak membantu memudahkan tugasan beliau serta kontraktor dalam proses pembinaan kabinet dapur seterusnya kepada perletakan kelengkapan dapur serta suis dan juga soket elektrik. 

Pendapat beliau adalah benar bagi saya di mana proses ini juga dapat membantu sedikit sebanyak mempercepatkan pemilihan bahan kemasan untuk kabinet dapur, kemasan jubin serta aksessori malahan skema warna dinding yang dirasakan sesuai untuk dimuatkan di dalam ruangan dapur. Panduan bercetak mudah dan senang untuk dibayangkan apabila siapnya kelak. 

Justeru itu tanpa berlengah saya mula membuat proses rekabentuk berdasarkan imaginasi juga dibataskan kehendak pemilik panduan. Akhirnya siap jua konsep yang diinginkan dan beliau amat berpuas hati dengan hasilnya. Di sini saya kongsikan sedikit idea yang cuba saya sampaikan. 

Ruangan dapur kering sama seperti di atas. Akan tetapi yang membezakan adalah kelengkapan elektrik, skema cat serta kemasan jubin lantai.

Sebuah ruangan dapur basah yang ringkas, bersih dan moden. Mengekalkan tona putih serta kelabu.