Sunday, 1 December 2019

Pertandingan Melukis Sempena Festival Sungai Melaka 2018

Medium : Ink & Wash

#IMBASKEMBALI

Segmen 'painting' kali ini mengimbas kembali sebuah naskah lukisan yang pernah saya hasilkan sempena Festival Sungai Melaka penghujung 2018 tahun lalu di mana ia dipertandingkan di peringkat kebangsaan. Tanggal bulan Disember ini genaplah usia setahun kisah ini. Entri ini sekadar untuk menjadikan ia arkib serta koleksi saya di dalam blog ini. 

Untuk tahun 2019, festival ini telah kembali lagi dengan membawa tajuk lebih global iaitu The Grand Cultural Festival Melaka River 2019 untuk menarik lebih ramai lagi pelancong dari luar negara. Program pertandingan melukis ini masih ada, tetapi dengan format berbeza iaitu 'Doodle Art'. Acara ini akan berlangsung esok hari, tetapi malangnya saya tidak berkesempatan untuk mengambil bahagian di atas tugas hakiki yang perlu disiapkan. Keinginan mencuba genre 'doodle art' ini bagai mencabar diri yang mana saya tidak pernah sekali mencubanya. Namun, di atas sebab-sebab kerja, saya terpaksa lupa dengan berat hati. 

Oklah. Kembali kepada naskah di atas. Alhamdulillah, percubaan pertama di negeri kelahiran sendiri membuahkan hasil yang mana karya ini memenangi antara 6 hadiah saguhati kategori terbuka menewaskan 'otai-otai ada nama' dan pakar dalam lukisan secara profesional. Cukuplah dan syukur. Objektif saya menyertai pertandingan ini bukanlah untuk menang tetapi lebih kepada kepuasan diri sebagai orang yang amat mencintai 'seni lukisan'. Insya Allah sekiranya diberi kesempatan saya akan cuba lagi untuk peluang-peluang mendatang. 

Sekiranya berkesempatan, anda boleh lihat lukisan saya ini ada dipamerkan di salah satu muzium di Melaka iaitu di Bandar Hilir sebagai koleksi Perbadanan Muzium Melaka selaku pihak penganjur. 

Lukisan bersaiz A1 dilakar dengan pensel dan dikemaskan dengan 'ink' bertemakan Keindahan Sungai Melaka.

Proses 'inking' adalah satu proses mencabar memerlukan ketelitian di atas kanvas yang cukup besar.

Proses menggunakan cat air bermula.  

Sesi mengambil hadiah untuk para peserta yang menang. Saya ada di situ. ;)

Saturday, 16 November 2019

Merekabentuk sebuah kiosk 'take away station' di ruang coffee house

Medium : Autocad + 3ds Max + Adobe Photohop

Berikut adalah sebuah konsep hiasan dalaman sebuah kiosk penyerahan atau 'take away station' untuk sebuah kedai minuman 'coffee house' di sini. Sudah agak lama tidak merekabentuk dan menyentuh konsep hiasan dalaman. Sejak kebelakangan ini tugasan saya lebih tertumpu di dalam merekabentuk sesebuah kediaman berbanding genre lain, yang mana saya rasa saya lebih 'laju' dan 'pantas' menghasilkan idea. Aspek hiasan dalaman telah jatuh di kedudukan kedua.

Bukan mudah untuk mendapatkan sesebuah gambaran hiasan dalaman bagi satu-satu tugasan. Ini adalah kerana ia begitu bergantung kepada kehendak pelbagai, citarasa dan selera pemilik malah aspek teknikalnya begitu kompleks untuk diterjemahkan di dalam kertas. Ini belum menyentuh bab CGInya. Penghasilan serta penjanaan konsep 3D melalui komputer juga agak begitu rumit. Memerlukan tahap keupayaan komputer mantap dan berkemampuan barulah hasilnya amat menyenangkan mata yang hasil visualnya umpama nyata. 

Baiklah. Tidak perlu jauh untuk topik itu. Boleh disembangkan kemudian nanti ya. Gambaran yang disisip merupakan hasil idea untuk sebuah kiosk penyerahan berkonsepkan modern classic industrial atau lebih dikenali sebagai 'hipster cafe' yang menjadi trend terkini. Kiosk ini sebagai keperluan tambahan untuk kedai sediada yang mana menyediakan perkhidmatan 'take away' bagi pelanggan yang memesan makan untuk dibungkus. Ruang kiosk ini bersaiz 3m x 5m yang memuatkan pelbagai keperluan dapur seperti display food rack, 4 burner stove', combi oven, on demand drink dispenser, wash basin serta kelengkapan lain berkaitan. Agak kompleks untuk saya memahaminya pada peringkat awal kerana ia berkaitan bidang kulinari yang memang saya tidak mempelajarinya secara langsung. Namun siri perbincangan dan penerangan jelas bersama pemilik serta kontraktor yang membina, akhirnya terrealisasilah konsep itu di tapak. Konsep ini begitu menarik dan ringkas.

Di sini disertakan beberapa imej janaan komputer sebagai panduan untuk pembaca yang sedang bercadang membuka sebuah kiosk kecil-kecillan di luar sana. Sekian. Jumpa lagi.

Gambaran dari sudut tepi

Gambaran dalaman melibatkan susunatur ruang baru

Gambaran secara keseluruhan dalaman

Gambaran di dalam kiosk

Pelan lantai ubahsuai

* Imej 3D ini tidak berapa jelas kerana teknik 'renderring ' menggunakan kaedah yang 'low resolution setup'. 

Saturday, 26 October 2019

Merekabentuk banglo 1 setengah tingkat untuk En. Bahari

banglo 1 setengah tingkat
Medium : Autocad + 3ds Max + Adobe Photoshop

Konsep : Modern Classic & Industrial 

Keluasan : 2,100 kp (30' x 78')


Assalammualaikum wbt..

Dikongsikan lagi sebuah rekabentuk banglo 1 setengah tingkat milik En. Bahari yang sedang di dalam fasa pembinaan di Melaka. Mempunyai gaya moden dan klasik yang amat diminati oleh beliau dan dengan mengambil faktor yang diyakinkan oleh saya sendiri bahawa ini adalah salah satu rekabentuk yang bakal menjadi perhatian serta tarikan di kawasan sekitarnya. Olahan ini sangat berani dan begitu eksperimental sekali dengan mengabungkan konsep moden, klasik dan industrial. Tidak ramai klien saya berani mencuba ke arah itu kerana bimbang berurusan dengan ratusan ribuan ringgit tapi akhirnya ia gagal menepati kehendak dan citarasa.

Baiklah, secara ringkas banglo ini mempunyai keluasan 2,100 kp dengan dilengkapi dengan komponen di tingkat bawah seperti ruang tamu utama, ruang tamu peribadi, ruang makan, 2 bilik tidur, dapur basah dan dapur kering, bilik cucian, yard serta 2 bilik air. Manakala di tingkat atas memiliki 1 bilik tidur utama dilengkapi closet menghubungkan bilik air serta balkoni, ruang tamu famili, ruang studio serta 1 bilik utiliti yang boleh dijadikan bilik solat. 

Keistimewaan yang boleh saya nyatakan untuk rekabentuk ini ialah terdapat 1 binaan courtyard di tengah-tengah kediaman yang menjadikan ia sebagai titik tumpu di dalam bangunan. Menarik bukan? Jarang-jarang elemen ini digunapakai di dalam rekabentuk saya setelah lebih 15 tahun berkecimpung di dalam bidang merekabentuk banglo. Elemen courtyard di tengah-tengah bangunan ini  memisahkan ruang tamu utama, ruang tangga serta ruang makan. Anda akan merasai suasana seperti berada di dalam sebuah taman yang mempunyai pokok menghijau semasa berehat di ruang tamu utama malah ketika sedang menikmati santapan di ruang makan. Menarik dan begitu unik. 

Selain itu, ruang tamu peribadi dibina secara double volume mendatangkan impak yang segar dan luas yang boleh dilihat dari tingkat atas melalui ruang keluarga. Binaan cermin kaca yang tinggi dan besar di ruangan ini juga direka untuk membenarkan pandangan luar secara maksimum dilihat di dalam kediaman. Segar dan damai. 

Menyentuh aspek binaan senibina saya mengspefikasikan binaan batuan brick veneer sebagai elemen feature wall  digabungkan dengan tekstur lepaan simen yang dibiarkan untuk setengah-setengah dinding luar untuk mendapatkan efek klasik. Penggunaan komponen besi yang dilapiskan dengan cat legap (matte finished) untuk komponen susurtangan serta rangka atau struktur bumbung patio menjadikan ia seperti di dalam gudang industri lama. Bilik air juga dibina tingkap-tingkap secara tersorok untuk mendapat efek cahaya secara natural. Lain dari yang lain. 

Itulah sedikit sebanyak komponen serta keistimewaan banglo ini dapat saya kongsikan. Insha Allah jikalau berkesempatan saya akan berkongsi lagi elemen ini apabila ia siap kelak. Saya akan tunjukkan di dalam foto yang sebenar sebagai panduan untuk pembaca diluar sana bercita-cita memiliki rumah kediaman seperti ini. Amin..

Terima kasih kepada pemilik banglo ini juga kerana memberi saya ruang untuk bereksperimentasi dan memberi kepercayaan kepada saya di dalam proses merekabentuk. Tanpa persetujuan anda tidak akan terhasilnya sebuah kediaman yang begitu unik ini. Dikongsikan sedikit gambaran visual untuk banglo ini.

Sekian jumpa lagi.

* Nota : Kepada pembaca budiman yang berminat untuk mendapatkan rekabentuk banglo daripada saya boleh menghubungi saya melalui alamat email tertera. Saya akan membalasnya segera. Insha Allah.


Pandangan dari sudut kiri banglo

Pandangan dari sudut kanan banglo

Pandangan hadapan

Padangan ke arah sudut patio atau ruang teres sebelah kanan

Pandangan ruang courtyard daripada sudut tersembunyi 

Pandangan ke arah courtyard dari dalam di ruang tamu utama


Dan sedikit foto sisipan untuk gambaran pembinaan yang sedang berjalan. Akan dikongsi lagi peringkat pembinaan yang seterusnya.



Gambar banglo yang hampir siap dibina :