medium : pen & watercolour on paper
Kembali lagi berbasikal. Pagi ahad lalu saya berbasikal ke Bandar Hilir, Melaka. Saya tiba begitu awal pada pagi itu tidak seperti minggu-minggu sesebelumnya. Suasana ketika itu agak damai dan tenang. Kelihatan kelibat-kelibat manusia lalu-lalang di sekitar kawasan tersebut. Mungkin ada bertujuan untuk bersenam dan ada juga sekumpulan pengunjung yang bersiar-siar di kawasan sejarah ini sempena cuti persekolahan yang baru bermula sahaja. Pagi-pagi lagi mereka telah keluar bersiar mungkin ingin merasa keseronokan ketika berada di sini. Waktu inilah juga, hotel-hotel atau tempat penginapan di pusat bandar penuh yang mana secara metametiknya akan berlaku sedikit kesesakan terutama jalan yang menuju ke Bandar Hilir. Hampir sebulan isu kesesakan akan berlaku hinggalah tamat cuti persekolahan nanti. Begitulah rutinnya. Tidak lupa juga dengan pengunjung-pengunjung dari luar negara yang banyak boleh kita lihat terutamanya di sekitar Menara Jam di perkarangan bangunan Stadhuys dan di sepanjang pejalan kaki di Jonker Walk. Banyak tarikan yang boleh mereka dapati di sini di mana saya boleh simpulkan bahawa secara tersiratnya industri pelancongan di Melaka benar-benar berjaya. Tahniah.
Oklah. Cukup sampai di situ. Apa yang saya cuba kongsikan di sini ialah perkara sampingan yang saya lakukan sambil menjalankan aktiviti riadah berbasikal selama ini. Gambaran di atas adalah lakaran yang saya hasilkan pada awal pagi ahad lalu sempena kayuhan santai hujung minggu. Agak lama tidak melakar seperti ini. Keadaan cuaca menjadi penghalang utama untuk tidak berbasikal 2 minggu sebelum ini. Dan dikesempatan ini, saya akan membalas dendam dengan harapan kegatalan tangan untuk melukis akan hilang.
Objek di atas adalah sebuah fasad bangunan sejarah peninggalan Belanda sekitar tahun 1850 lalu. Bangunan ini telah dipulihara dan kini ia dijadikan sebuah Muzium Islam oleh kerajaan negeri. Bersebelahan dengannya juga terdapat Muzium Setem dan juga sebuah Muzium Rakyat di mana ia dijadikan pakej untuk para pengunjung datang ketika berada di Bandar Hilir, Melaka.
Senario ketika 60% membuat lakaran sambil duduk di bangku batu yang terdapat di taman permainan berdekatan. Kali ini lakaran mengambil masa lebih kurang 45 minit memandangkan terdapat perincian pada setiap objek yang dilakar.
Lakaran yang telah siap tetapi belum diwarnakan.
Karya yang telah siap dan boleh disimpan sebagai koleksi.
No comments:
Post a Comment