Monday 2 September 2019

Merekabentuk banglo 1 tingkat untuk Puan Asniza

banglo 1 tingkat
Medium : Autocad + 3ds Max + Adobe Photoshop

Konsep : Modern Tropical
Keluasan : 3050 kp (55'x 64')

Assalammualaikum wbt..

Apa khabar anda semua?. Semoga sihat selalu dan dirahmati hendaknya. Dikongsikan lagi sebuah rekabentuk banglo 1 tingkat dimiliki oleh Puan Asniza dan suami yang bertugas di Sarawak. Namun ketika entri ini ditaip saya tidak berkepastian bahawa pemilik mungkin sudah pun pulang bertugas di Melaka atau sebaliknya. Ini adalah kerana usia rekabentuk ini sedikit lama dihasilkan pada tahun 2015 yang lalu. Begitu cepat masa berlalu rasanya. Harapan saya agar beliau telah pun pulang ke kampung halaman dan hasrat untuk membina banglo yang dirancang kira-kira 4 tahun lalu telah pun melalui fasa untuk dibina atau sekurang-kurangnya merancang sesuatu lebih jauh. Begitulah harapannya. Insha Allah dengan izinNya. 

Baiklah. Sedikit info mengenai banglo ini seperti gambaran di atas. Banglo 1 tingkat ini adalah bersaiz 55' x 64' bekeluasan 3050 kakipersegi yang mengambilkira keluasan dalaman dan luaran secara keseluruhan. Pada hemat saya dengan keluasan seperti ini adalah merupakan binaan yang agak besar berbanding lingkungan 2000 - 2500 kakipersegi yang biasa saya hasilkan. Cukup selesa dan mempunyai komponen ruang amat besar. Itulah yang diimpikan oleh pemilik. Tidak mustahillah banglo ini terdiri daripada 6 bilik tidur termasuk 1 bilik tidur utama lengkap ruangan closet, 3 bilik air, ruang makan beserta patio, dapur kering dan dapur basah, laundry dan yang paling penting sekali ialah ruang tamu yang luas bersaiz 5.3 x 6.3 meter. Ruang tamu ini memainkan peranan yang penting untuk rekabentuk ini di mana dia diletakkan ditengah-tengah berpusat menghubungkan antara ruang-ruang kiri dan kanan yang diletakkan secara melintang. Komponen ini begitu dominan dilengkapi aras siling tinggi double volume yang begitu digemari oleh sesetengah pemilik. Ideanya di situ untuk beristirehat di ruang tamu yang cukup luas sambil memandang lampu limpah pendant light yang tergantung ditengah-tengah. Harapan saya agar pemilik dapat membeli lampu gantung yang sesuai untuk dipadankan dengan ruang yang luas dan jangan tersalah pilih. Akibatnya nanti tidak akan ada kesinambungan antara ruang dan rekabentuk hiasan dalaman itu kelak. 

Menyentuh kepada konsep rekabentuk fasad pula. Konsep rekabentuk ini menjurus kepada modern tropical yang menerapkan elemen-elemen moden dan tempatan. Binaan bumbung berbentuk 'A' secara keseluruhan dihiasi tetunjuk langit mengambilkira kehendak suami pemilik yang berasal dari Terengganu. Agak menarik apabila diolah dengan kemasan bumbung tanah liat yang akan kelihatan natural dan original. Dinding tebar layar bumbung anjung kereta dikemaskan dengan teknik plaster melintang sebagai pengganti kepada kemasan papan yang akhirnya akan dicat berwarna coklat tua. Tiang anjung kereta juga disaluti dengan kemasan brick veneer setinggi 2.1 meter bagi menyerlahkan lagi binaan tiang daripada nampak kosong. Dan akhirnya pemilihan tona warna yang sesuai dapat menaikkan seri rekabentuk banglo ini dicampuradukkan perletakan  tingkap yang agak rawak sebagai penambah perisa.

Secara jujur saya amat menyukai rekabentuk ini bukan sekadar fasadnya sahaja yang unik malah susunan ruang secara melintang yang memberi impak begitu menarik serta tersergam. Bentuk keseluruhan fasad juga dapat dilihat dengan sekali pandang sahaja tanpa untuk pergi ke sisi kiri dan kanan. Begitulah ciri serta kelebihannya. Sampai di sini. Sekian dan jumpa lagi.

Pandangan sisi yang lebih dekat.

Sedikit pandangan dari atas

Pandangan hadapan

Sudut padangan anjung kereta

No comments:

Post a Comment