Saturday, 31 January 2015

Pertandingan melukis Citra Terengganu 2014 - Kategori Spontan

Medium : pencil & watercolour on A1 size paper

Assalammualaikum wbt.. Bersua kembali untuk tahun 2015. Belum terlambat rasanya untuk mengucapkan 'Selamat Tahun Baru' kepada semua. Moga-moga azam tahun lepas telah tercapai dengan jaya dan tahun ini kita memulakan langkah baru untuk menjadi lebih baik dari tahun sebelumnya. 

Baiklah. Ini adalah entri sambungan untuk cerita lalu yang belum ada penutupnya. Perkongsian ini menceritakan sebuah pengalaman menyertai pertandingan melukis yang diadakan di Terengganu pada tahun 2014. Anda boleh ikuti kisah sebelum ini di sini.

Seperti yang dirancang diperingkat awal, akhirnya saya tiba di Terengganu sehari sebelum pertandingan. Kali ini saya benar-benar ingin mencuba merasai sebuah pertandingan lebih besar bagi menguji diri. Keterujaan dapat dirasai mengatasi rasa segala penat menempuh perjalanan jauh selama 7 jam untuk sampai ke destinasi pada malam harinya. Kedatangan saya di sini ditemani isteri dan anak-anak. Begitu cekal walaupun tidak begitu mahir memandu ke Pantai Timur dengan hanya dibekalkan panduan GPS. Syabas!

Tanpa berlengah kami mendaftar di salah sebuah hotel di bandar Kuala Terengganu. Hotel yang dimaksudkan ialah Hotel Grand Puteri yang baru sahaja selesai dinaiktaraf. Maka ini adalah rumah saya buat masa ini untuk saya berkampung dan beristirehat bersama keluarga untuk selama 5 hari. Selesa dan berpatutan. Kedudukan hotel ini juga amat strategik terletak di tengah-tengah bandar berdekatan dengan semua fasiliti serta kemudahan utama. Harapan agar keluarga saya akan merasa seronok dengan percutian untuk kali ini. Itu adalah sasarannya. Melakukan perkara diminati disamping bercuti!

Dipendekkan cerita, hari yang dinanti telahpun tiba. Awal pagi saya telah bersiap sedia ke tempat yang dituju ditemani keluarga. Agak sedikit kesulitan untuk membangunkan anak kecil di awal pagi memandangkan kepenatan menempuh perjalanan jauh. Namun, ia dapat diatasi. Tepat jam 8 pagi kami tiba di sana. Kelihatan beberapa gerombolan peserta mula berkumpul di perkarangan Muzium Negeri Terengganu. Agak sedikit gementar memandangkan ada yang datang dengan kelengkapan melukis yang cukup lengkap menggambarkan ada dikalangan mereka adalah golongan begitu professional. Namun ia tidak mematahkan semangat untuk mencuba. Lebih 500 km datang ke sini ingin mencuba dengan apa sahaja yang ada..

Sesi taklimat.

Bersambung....



  


Tuesday, 2 December 2014

Merekabentuk hiasan dalaman untuk kediaman En. Fizzy

Medium : Autocad + 3ds max + Adobe Photoshop

Apa yang dipaparkan di atas adalah salah sebuah rekabentuk hiasan dalaman yang saya hasilkan beberapa bulan yang lalu untuk En. Fizzy dari Melaka. Rekabentuk ini dibuat adalah bertujuan sebagai rujukan konsep hiasan dalaman cuba menepati citarasa beliau yang bakal dibina sedikit masa lagi. Proses ini melibatkan beberapa ruang penting seperti dapur, ruang makan serta laluan tangga ke tingkat atas. Beliau membayangkan konsep moden kontemporari serta elegen selari dengan kehendak semasa yang amat popular masa kini.

Ruangan terpenting yang dicadang untuk direalisasikan berkonsepkan sentuhan moden ialah ruangan dapur. Selepas membuat beberapa sesi lawatan ke tapak bina yang masih di dalam proses pembinaan, saya dapati ruang legar dapur ini sangat luas dan memanjang bersaiz anggaran 28' x 14'.  Oleh yang demikian saya perlu bijak untuk membuat olahan serta susunatur yang sesuai agar tiada ada ruang lebihan yang tidak berfungsi. Dengan itu saya memilih untuk meletakkan ruangan aktif iaitu bahagian memasak ke bahagian belakang dilengkapi dengan 'island counter top', deretan kabinet lekap dan tergantung yang dipisahkan oleh 5' panjang 'bar counter'. Diletakkan juga set mini 'coffee table' agar pemilik boleh menikmati makanan secara personal. 

Akhir sekali kemasan yang saya cadangkan ialah menggunakan sistem 'aluminium frame cabinet' dilengkapkan dengan 'solid top' untuk papak kaunter yang bertonakan konsep hitam & putih secara keseluruhan. 

Gambaran susunatur kabinet dari pandangan sisi.

Mencadangkan konsep minimalis untuk ruangan makan yang bersaiz 12' x 11'.

Konsep yang lebih berat tapi masih mengekalkan tona hitam dan putih bagi ruangan laluan ke tangga.

Sunday, 16 November 2014

Merekabentuk sebuah banglo 2 tingkat untuk Tn. Haji Ruzenan

Medium : Autocad + 3ds max + Adobe photoshop

Merekabentuk sebuah banglo dua tingkat untuk Tuan. Haji Ruzenan. Itu adalah tajuk kepada rekabentuk berkonsepkan moden dipohon oleh salah seorang pembaca yang berasal dari negeri Terengganu. Syukur Alhamdulillah akhirnya siap jua rekabentuk ini dan telah diserahkan lengkap berserta lukisan pembinaan (Pakej B) kepada pemilik beberapa minggu lalu. 

Tuan Haji Nen ini (panggilan ringkas) amat meminati dan memasang impian memiliki sebuah rekabentuk moden yang menjadi daya tarikan masa kini. Tidak dinafikan konsep sebegini menjadi ikutan kerana bentuk senibinanya unik, cantik, plain, clean dan kemas diolah daripada konsep vertical serta horizontal elemen. Begitu dominan walaupun ianya ianya hanya dibina di pinggiran bandar. Satu keputusan yang bertepatan diambil oleh beliau setelah meneliti rekabentuk sebuah banglo yang hampir sama ditemui di dalam blog saya sebelum ini. 

Secara ringkas, banglo dua tingkat ini dilengkapi dengan 5 bilik tidur termasuk bilik tidur utama, bilik solat, bilik utiliti, 5 bilik air, ruang tamu utama, ruang famili, dapur kering dan dapur basah. Kemudahan-kemudahan sedemikian dapat disediakan di atas anggaran binaan bersaiz 57' x 43'  yang menjadikan banglo ini sudah begitu lengkap dengan kesemua keperluan ruang asas. 

Elemen bumbung curam menjadi item terpenting memainkan peranan sebagai sebuah binaan moden dikemaskan dengan kemasan bumbung jenis genting konkrit. Binaan 'concrete hood atau coping' diolah untuk dijadikan sebagai elemen pelembut kepada dinding yang kosong. Ia juga memberi refleksi bayang-bayang yang amat menarik kepada permukaan dinding apabila matahari mula menyodong. Dan akhirnya tona warna putih atau offwhite dan sedikit warna kelabu kehijauan untuk efek kontras menghiasi kulit luaran fasad menjadikan ianya bersih dan kemas.

Begitulah sedikit sebanyak info yang boleh dikongsikan sebagai panduan bersama. Dikesempatan ini saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada beliau kerana sudi mendapatkan pandangan serta perkhidmatan yang tidak sebeberapa daripada saya. Maaf dipinta sekiranya terdapat kekurangan sepanjang berurusan. Semoga maju jaya dan impian yang diidamkan akan terlaksana jua.. =)

Pandangan dari sudut sisi.