Tuesday, 30 June 2015

Merekabentuk banglo 2 tingkat untuk Pn. Elisya

Medium : Autocad + 3ds Max + Adobe Photoshop 

Salam Ramadhan Al-Mubarak..  

Berikut adalah sebuah lagi rekabentuk banglo dua tingkat yang dipohon oleh seorang pembaca blog ini iaitu Puan Elisya berasal dari Kuala Lumpur. Beliau menyatakan hasrat untuk mendapatkan lakaran pelan bagi sebuah rekabentuk banglo moden selepas sahaja menemui blog saya ini. Hasrat beliau akan saya zahirkan melalui pelan rekebentuk itu nnati. 

Selepas beberapa siri perbincangan dibuat. Akhirnya beliau bersetuju ke atas konsep susunatur pelan yang telah saya dimajukan yang mana melibatkan sebuah binaan banglo bersaiz 40' x 57' di atas sebidang tanah milik beliau di Terengganu. Saiz tanah yang agak besar memudahkan saya sebagai perekabentuk untuk mengolahkan posisi ruang serta susunatur yang lebih sesuai dan praktikal. 

Secara ringkas banglo ini memiliki 4 bilik tidur termasuk bilik tetamu, 1 ruang tamu utama dan 1 ruang istirehat keluarga, dapur basah dan dapur kering, ruang famili  dan ruangan gim di tingkat atas berserta 3 bilik tidur yang dilengkapi bilik air di setiap bilik. Balkoni terbuka di jadikan ruang legar selaras dengan keperluan semasa yang cukup diminati. 

Dikemaskan dengan binaan berkonsepkan vertical & horizontal plane yang melengkapkan ciri-ciri minimalis. Bumbung tegak dan mendongak menjadi elemen terpenting dalam menyumbang kepada konsep moden masa kini. Akhirnya di permukaan luar diwarnai dengan warna putih bersih, manakala merah sebagai pembalikan kontras berserta batuan bercorak bagi menaikkan seri fasad bangunan.

Secara kasarnya binaan dalaman banglo ini berkeluasan 4000 kp termasuk anggaran keluasan binaan terbuka yang mana saiz ini adalah praktikal bagi sebuah banglo kediaman 2 tingkat. Puan Elisya begitu teruja serta berpuashati dengan konsep yang telah dipersembahkan dan bercadang untuk membinanya dalam masa terdekat kelak. Semasa entri ini ditaip, saya masih sedang di dalam proses menyiapkan Lukisan Pembinaan yang telah sampai ke fasa akhir. Proses ini agak mengambil sedikit masa memandangkan sekarang ini jadual agak padat di bulan puasa. InsyaAllah saya akan majukan kepada beliau apabila siapnya lukisan itu kelak. 

Apapun saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada beliau kerana sudi mendapatkan perkhidmatan daripada saya. Sokongan anda semua amatlah saya hargai. Di sini saya lampirkan sedikit visual 3D yang telah siap untuk dikongsi. Sekian terima kasih.

Pandangan dari sudut kanan.

Pandangan dari sudut hadapan.

Pandangan dari sudut kiri.

Saturday, 30 May 2015

Merekabentuk banglo 1 tingkat untuk En. Zamri

Medium : Autocad + 3ds Max + Adobe Photoshop

Berikut adalah rekabentuk sebuah banglo 1 tingkat yang telah siap yang dipohon oleh abang kepada seorang rakan yang berminat untuk mendapatkan perkhidmatan saya iaitu dikenali sebagai En. Zamri. Beliau berhajat serta menginginkan sebuah banglo 1 tingkat yang agak kontemporari lengkap dengan segala keperluan asas sebuah banglo yang selesa. Setelah diperkenalkan kepada saya, saya mencadangkan pada peringat awalnya agar beliau melayari blog saya ini bagi mendapatkan sedikit idea yang mana sedikit sebanyak boleh membantu beliau dalam memilih rekabentuk.

Walaubagaimanapun, ada sedikit kelebihan diberi di dalam proses merekabentuk di mana tapak cadangan adalah luas serta memanjang. Kalau tidak salah anggarannya ialah bersaiz 120' lebar x 42' panjang yang mana banyak memberi keselesaan ruang. Tapak cadangan adalah terletak di kawasan Sepang, Selangor yang dijangkakan akan dibina selepas sambutan Aidilfitri tahun ini. 

Satu pertemuan dapat diatur bagi membincangkan konsep awalan seterusnya disambung perbincangan dengan lebih lanjut selepas itu melalui telefon dan aplikasi whatsapp memandangkan beliau menetap di Shah Alam. Proses lanjutan tersebut telah berjaya mendapat satu persetujuan konkrit. Akhirnya beliau bersetuju memilih Pakej 2 di mana set lukisan tersebut lengkap dengan Lukisan Pembinaan yang boleh digunapakai di tapak bina kelak.

Secara ringkas, rumah kediaman ini adalah bersaiz 45' lebar x 85' panjang lengkap dengan 5 bilik tidur termasuk master bedroom, 1 bilik solat, living area, family area, dining area, dry & wet kitchen serta laundry room. Ketinggian aras lantai dinaikkan setinggi 2' bagi mendapatkan impak yang lebih dramatik dilengkapi dengan sebuah atrium tower dibahagian living area bagi menghasilkan volume yang lebih tinggi serta luas. Terdapat juga verandah/terrace memainkan peranan sebagai laluan ke bahagian ruang yang aktif di sebelah luar sebagai akses alternatif tanpa masuk ke dalam rumah. Akhirnya, kediaman ini di saluti dengan kemasan cat bertona semulajadi (earth colour) disisipkan dengan binaan stone veneer menyaluti tiang utama agar lebih kemas dan seragam.

Dengan keluasan yang luas, saya mencadangkan kepada pemilik agar dihiaskan sedikit ruangan ini dengan lanskap lembut dan lanskap kejur bagi menambahkan seri laman sesuai dengan konsep binaan tropikal kontemporari. 


Pandangan dari suduk jalan masuk ke rumah kediaman.

Pandangan dari tampak hadapan mengadap ke anjung kereta.

Akhir kata, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada pemilik kerana sudi mendapatkan perkhidmatan saya. Sedikit sebanyak dengan ada permintaan sebegini, ia dapat membantu agar saya lebih kreatif dalam pengolahan idea serta ilmu di dalam kerja merekabentuk rumah kediaman dapat dipertingkatkan sejajar dengan keperluan serta perkembangan semasa. Kepada pembaca di luar sana boleh juga menghubungi saya sekiranya sudi untuk mendapatkan lukisan konsep rumah kediaman peribadi seperti yang terdapat di dalam blog mahupun idea lain untuk saya ilhamkan. Segala pakej dan perkhidmatan akan saya jelaskan semasa urusan perbincangan nanti. Hantar pesanan ke ruangan masej di atas atau melalui email seperti tertera di sebelah blog tab. InsyaAllah saya akan cuba respon segera yang mungkin. Sekian terima kasih. Semoga berjumpa lagi.

Berikut adalah sebahagian daripada gambar semasa pembinaan yang sempat dikongsikan oleh pemilik kepada saya untuk simpanan. 


Thursday, 9 April 2015

Sketch of the day : lena

Lakaran ke-2 dikongsi untuk hari ini. Anak kecil saya sedang tidur lena di depan tv semasa maghrib malam tadi.