Masjid tertua di Malaysia
Medium : Pencil on paper (A5 size)
Pada jumaat lalu, setelah pulang dari kerja saya bersama famili berkesempatan ke bandar Melaka mencari barang keperluan rumah dan mencuba di salah sebuah kedai yang cukup terkenal di negeri ini suatu masa dahulu di mana ia seusia serta seangkatan dengan zaman kegemilangan Fajar, Madam King, Kg Jawa juga Great Wall Melaka. Kedai yang di maksudkan ialah Tong Hup Supermarket. Orang-orang lama pasti tahu dengan nama ini. Walaupun ia terletak di tengah-tengah bandar lama serta satu tempat yang agak mustahil untuk dikunjungi kerana kurang kemudahan parking tetapi ia tetap tidak pernah lekang dengan pelanggan-pelanggan tetap terutamanya yang berbangsa Melayu termasuk saya..
Sebenarnya lakaran di atas mempunyai kaitan dengan bangunan tersebut di mana di laluan yang samalah terletaknya sebuah masjid bersejarah dengan keunikan senibinanya iaitu Masjid Kg Hulu. Dan dikesempatan inilah saya merakamkan beberapa foto untuk diterjemahkan ke dalam lukisan. Secara faktanya, masjid tertua di Malaysia ini dibina pada tahun 1728 di zaman pemerintahan Belanda oleh masyarakat setempat dan terletak di tengah-tengah deretan kedai milik kaum cina. Senibinanya unik di mana ia gabungan antara elemen senibina dari budaya tempatan, Jawa, Belanda serta pengaruh kuat dari China. Bahan-bahan seperti jubin seramik serta jubin lantai masih kelihatan sehingga sekarang dan adalah berasal dari China di bawah pemerintahan Dinasti Ching. Motif-motif serta ukiran-ukiran menghiasi tepian kubah masjid. Menara batu menunjukkan ciri
senireka Melaka pada masa itu, dan dipengaruhi oleh rekabentuk pagoda
orang Cina. Ukiran dan seni bina masjid menggunakan faktor alam
semulajadi. Pengaruh tumbuh-tumbuhan juga menjadi kriteria utama seni bina
dan ukiran pada bahagian dinding dan bumbung masjid-masjid berkenaan.
Pada hujung bumbung terdapat ukiran berkonsepkan sulur bayu, mahkota dan awan larat melengkapkan ia sebagai sebuah monumen yang sangat menarik. Oleh yang demikian, masjid ini telah menjadi salah satu daripada bangunan sejarah diwartakan sebagai Bangunan Warisan Negeri Melaka di bawah Enakmen Pemuliharaan dan Pemugaran Warisan Budaya 1988 (pindaan 1993).
Maka, saya sarankan datanglah ke Melaka untuk anda melawat tempat-tempat bersejarah serta hayati keindahan sebenar senibina warisan kita. Sekian.
Maka, saya sarankan datanglah ke Melaka untuk anda melawat tempat-tempat bersejarah serta hayati keindahan sebenar senibina warisan kita. Sekian.
No comments:
Post a Comment