Friday 28 September 2012

urban sketch : armenian street, penang - siri akhir

Setiap yang bermula pasti akan ada akhirnya. Pada penghujung malam tadi, saya berjaya menghasilkan sebuah lukisan yang diabadikan sebagai penamat kepada penjelajahan saya ke 'armenian street, penang'. Keputusan untuk bersengkang mata dan tidur lewat amat berbaloi di mana saya dapat mengilhamkan sebuah karya yang lebih fokus, teliti serta amat menyenangkan mata untuk ditatap. Menggunakan medium kertas lebih besar daripada pocket sketch pad tempoh hari sedikit sebanyak membantu pengawalan penggunaan berus warna lebih baik untuk menghasilkan karya lebih terperinci.

Bangunan yang dipilih adalah sebuah bangunan rumah kedai terletak berhadapan dengan bangunan Yap Kongsi Temple dan merupakan monumen terbaik yang saya jumpa sepanjang melalui lebuh armenian street. Senibina, elemen tingkap, fasad, material,  kombinasi warna dan tekstur menjadikan bangunan ini sangat menarik untuk sebuah bangunan lama. Susunan dan deretan tingkap kayu kekisi begitu konsisten diteguhkan dengan kumai batu kapur keliling bukaan dan menjadikan ia begitu terperinci aspek senibinanya dan masih kekal hingga ke hari ini walapun melepasi ratusan tahun. Begitulah kuasa 'konservasi' yang berjaya digunakan oleh pemilik untuk terus kekal memulihara, serta mengekalkan identiti bangunan ini selari dengan penganugerahan bandar Georgetown sebagai Tapak Warisan Dunia.


Material pintu kayu dilengkapi kekisi angin (louvers) menjadi elemen terpenting di bahasa senibina seluruh dunia khususnya negara serantau.

Proses pembikinan : melakar dan mewarna.

Bereksperiman dengan medium watercolour baru berjenama Reeves yang dibeli sehari sebelum.


Gambaran fasad sebenar yang dirakam di bahagian hadapan bangunan.

Oleh yang demikian, saya merumuskan di sini  bahawa perjalanan saya setakat ini banyak menyedarkan saya untuk terus memerhati, mengamati & menilai keadaan sekeliling walau dimana jua kita pergi. Mungkin ada sesuatu yang amat bernilai terdapat disekeliling untuk diketahui yang kadang-kadang kita tidak sedari. Ia adalah seperti warisan budaya yang ada dalam diri yang kita pelajari daripada ibu bapa dan akan diwariskan kepada generasi seterusnya. Walauapapun, ianya terpulanglah kepada kita bagaimana untuk kita mencorak dan meneruskan kesinambungannya terhadap seni & bina di negara kita. Ukuti siri dan karya seterusnya akan datang. Jumpa lagi.

No comments:

Post a Comment