Sunday 25 November 2012

koleksi : rumah tradisional melayu

Cuti hujung minggu lalu saya pulang ke kampung. Mata saya terpandang kepada sebuah bingkai lukisan yang tergantung di ruang tamu lama rumah orang tua saya yang kelihatan sedikit berhabuk. Agak gambira kerana gambar itu masih berada di posisi dan lokasi yang sama seperti 15 tahun yang lalu. Percaya atau tidak lukisan itu telah berusia 15 tahun dan tidak pernah diusik atau dialihkan sejak ia digantung. Seingat saya lukisan ini saya hasilkan ketika berumur 17 tahun iaitu selepas sahaja menduduki peperiksaan SPM. Namun agak malang sedikit kerana tiada tarikh tercatat dalam lukisan tersebut. Lukisan ini hampir seusia lukisan kapal yang pernah postkan dalam entri yang lalu. 

Rumah tradisional Melayu

Ia diilhamkan berdasarkan sebuah gambar dalam naskah surat khabar dan diterjemahkan ke dalam lukisan. Kalau tidak silap, rumah ini merupakan sebuah Rumah Tradisional Melayu Pahang yang agak kelihatan & rekabentuknya hampir seperti Rumah Tradisonal Melayu Melaka. Turut meyakinkan saya rumah ini bukan rumah Melaka kerana tiada elemen tangga batu, kedudukan tangga di sisi bangunan, tiada tingkap labuh, tiang yang agak tinggi sedikit serta rekabentuk serambi yang agak berbeza daripada tipikal Rumah Melaka. Namun yang pasti, bahan binaan dan material kayu yang digunakan masih tetap sama seperti rumah tradisional yang terdapat di Malaysia.

Menyentuh kepada peralatan lukisan pula, medium yang saya gemar digunakan pada ketika itu ialah kertas sketchpad, berus cina (berus buluh) dan bucho colour (medium yang sepatutnya digunakan untuk membuat lukisan berbentuk poster). Barangan ini boleh dibeli di mana-mana kedai stationery kerana dijual untuk pelajar-pelajar sekolah dan masih boleh didapati sehingga ke hari ini. Agak kelakar kerana waktu itu saya hanya mampu membeli barangan lukisan yang murah yang dianggap cukup bemutu memandangkan saya hanyalah seorang graduan SPM yang tidak memiliki wang. Walhal dengan barangan yang mahal dan baik sudah semestinya akan dapat membantu secara teknikal dalam penghasilan karya yang cukup menarik. Namun ia tetap tiada masalah bagi saya kerana yang lebih penting hasilnya cantik serta hati merasa puas apabila melihatnya.

Agak klasik dimana kedudukannya masih tergantung di ruang tamu rumah.

Pada pandangan saya, sangat eloklah lukisan ini dibiarkan tergantung di dinding sana sahaja. Setidak-tidaknya sekali sekala ia boleh dijadikan kenangan bernostalgia saya sewaktu muda remaja dulu yang mana saya sentiasa obses dan sangat teruja terhadap seni lukisan walaupun sebenarnya saya mengambil aliran sains tulen. Keterujaan itu diharap akan ada kesinambungannya dalam diri sendiri sampai bila-bila. Dan harapannya begitulah. Sekian.


3 comments:

  1. Menarik, saya juga peminat tegar lukisan dan seorang pelukis tetapi bekerja dalam aliran sains gunaan dan kejuruteraan. boleh lawat blog lukisan saya http://pikirdanlukis.blogspot.com. Saya dah lama follow blog ni sebagai rakan blog sy...

    ReplyDelete
  2. Terima kasih en. pikir & lukis. Nampaknya kita mempunyai minat yang sama. Kalau kelapangan kita boleh bertukar-tukar pandangan. Anyway, terima kasih kerana mengikuti blog saya ini. Saya berbesar hati & akan mengunjungi blog anda nanti.

    ReplyDelete
  3. Anuar Dan juga melukis ‘ukiran budi’ Melayu dengan bentuk dua dimensi, mengutip segala khazanah budaya, ukiran kerawang, bumbung rumah Kutai, tangga Melaka, buyung, serkap ayam sangkar burung…semua kembali untuk dicintai kerana dia percaya di situlah inti dan semangat budi Melayu yang bersalutkan akal menyatu di jiwa.
    Prof. Siti Zainon Ismail

    ReplyDelete