Monday, 18 March 2013

urban sketch : kuching, sarawak I


Agak rugi rasanya sekiranya saya berjauhan di negeri orang tanpa merakamkan sesuatu sebagai kenangan. Setidak-tidaknya adalah sedikit catatan walaupun sebaris ayat yang mana satu hari nanti akan menjadi sebuah cerita dan pengalaman yang boleh dikongsi bersama. 

Menjejakkan kaki untuk pertama kalinya ke Negeri Sarawak memberikan sebuah pengalaman yang amat menyeronokkan. Selain mengenali pelbagai budaya masyarakat di sana dalam masa yang singkat, saya juga sempat mengamati atmosfera kehidupan masyarakat sekitaran khususnya menjurus kepada aspek kesenibinaan yang terdapat di sana. Secara kilasnya, Bandar Kuching merupakan sebuah bandar besar yang tinggi populasinya di Malaysia Timur yang terdiri daripada etnik Melayu, Iban, Melanau, Bidayuh, Cina & India. Di tengah-tengah bandarayanya terletaknya sebatang sungai yang menjadi pemisah kepada blok-blok bandar seterusnya menjadi nadi perhubungan pengangkutan air selain sebagai sumber ekonomi masyarakat setempat sejak zaman dahulu. 

Pada awal pagi pada hari keduanya saya di sana, saya berkesempatan melakarkan imej salah sebuah jeti pelabuhan terletak berhampiran hotel penginapan saya. Duduk di balkoni hotel memberikan ruangan yang selesa untuk melukis sambil menikmati panorama Sungai Sarawak yang sangat luas. Jeti yang terletak sebelah kanan hotel ini dijadikan sebagai tempat persinggahan bot-bot pukat bagi memunggah hasil tangkapan berdasarkan lambakan bot dilihat pada sebelah malam harinya. Suasana pagi itu kelihatan seperti sebuah pesta di mana ramai peraih-peraih ikan datang berkumpul untuk membeli hasil tangkapan yang akan dijual kepada masyarakat setempat di Bandaraya Kuching.

Kelihatan samar di seberang sungai tersebut, terletaknya perkampungan etnik melayu yang terkenal dengan hasil jualan 'Ikan Terubuk Masin' dan 'Kek Lapis Sarawak' yang memang original.

Lakaran dihasilkan menggunakan medium pensel & watercolour di atas Flip sketchbook.

No comments:

Post a Comment