medium : pen & watercolour on paper
Bersua kembali. Cuti pada hujung minggu lalu, saya berada di Langkawi, Kedah. Program percutian 3 hari 2 malam ini dianjurkan oleh kelab sukan dan kebajikan tempat saya bekerja melibatkan lebih korang 20 orang peserta. Seperti yang dirancang pada 24/10/2013 kami bertolak daripada Melaka ke Negeri Kedah.
Ini adalah kunjungan kali ke-2 saya ke Pulau Langkawi. Jikalau dahulu, isteri dan anak mengiringi saya tetapi kali ini saya pergi berseorangan bersama teman sekerja. Sedikit kurangnya di situ walaupun terasa begitu teruja. Perasaan teruja hadir dalam diri bukan sahaja untuk menikmati suasana sebuah percutian di pulau dan melawat tempat-tempat menarik yang ada di sana, malah lebih teruja untuk merakamkan apa yang saya lihat untuk diterjemahkan kepada lukisan. Itu adalah sasaran utama saya. Kesempatan sebeginilah saya ambil untuk melukis. Saya ke sana dengan berbekalkan peralatan kit lukisan yang dimiliki dengan harapan akan dapat melakarkan sebeberapa banyak panorama yang dilihat untuk dimuatkan ke dalam flip sketchbook sebagai kenangan saya di sana.
Namun apa yang telah dirancang tidaklah seperti digambarkan. Dengan jadual perjalanan agak padat diaturkan sepanjang 3 hari amat sukar untuk mendapat peluang dan ruang untuk melakar. Pendapat saya sekiranya saya pergi bersendirian atau bersama keluarga adalah mungkin memberi kelebihan dari segi masa. Walauapapun saya tetap berasa seronok di sana dengan mengunjungi dan merasai percutian di sebuah pulau. Lapangkan fikiran dan berehat seketika daripada rutin bekerja. Yang pasti anda akan rasa seronok.
Banyak tempat yang boleh dikunjungi seperti Makam Mahsuri, Under Waterworld, Pantai Cenang, Pantai Tanjung Rhu, Tasik Dayang Bunting, kereta kabel (skycab) di Gunung Mat Cincang, Air Terjun Telaga Tujuh, program Island Hoping, Mangroove Tour selain program membeli-belah di zon bebas cukai. Ini adalah sebahagian sahaja antara destinasi dan aktiviti menarik yang dirancang. Semua program boleh diaturkan sendiri dengan hanya menyewa sebuah kenderaan digunakan sepanjang berada di sana. Sungguh menarik dan tidak mengecewakan.
Lakaran di atas adalah satu-satunya lukisan yang dapat saya hasilkan sepanjang percutian. Lokasi diambil semasa berada di Royal Langkawi Yacht Club & Marina. Di sinilah terdapatnya deretan bot-bot layar pelbagai saiz memakirkan di kawasan jeti yang terdapat di sana. Panorama ini sungguh menarik kerana marina ini dibina di kawasan teluk buatan manusia. Air yang kebiruan memberi visual dan refleksi di permukaan air. Kelihatan banjaran gunung-ganang yang dikenali sebagai Gunung Mat Cincang membarisi dan mewarnai latar belakang marina. Damai dan terpesona seketika. Disamping itu juga, seorang rakan sempat berbisik kepada saya menyatakan bahawa tempat inilah merupakan tempat tamatnya sebuah perjalanan dan berlabuhnya seorang anak watan yang pernah belayar mengelilingi dunia suatu ketika dahulu sekiranya kita imbas kembali. Mungkin saya masih ingat kepada cerita tentang itu.
Snapshot yang sempat saya ambil menjelangnya waktu malam di satu sudut yang lain.
Tempat dan lokasi saya berada mengikut panduan Google maps.
Lakaran yang belum sempat diwarnakan.
Lakaran yang telah siap sepenuhnya.
No comments:
Post a Comment