medium : pen & watercolour on paper
Kami menginap di salah sebuah hotel terletak di Pekan Kuah Langkawi. Tempat penginapan tersebut ialah Region Hotel yang berada di lokasi strategik di kawasan membeli-belah. Hotel ini bolehlah saya kategorikan sebagai sebuah tempat penginapan yang sederhana dan berpatutan dari segi harga. Oleh kerana lawatan ini dikira bajet dan telah diuruskan sendiri oleh pihak pengelola, kami ditempatkan seramai 2-3 orang untuk satu bilik diberi nama Quad Room. Bilik ini boleh menampung seramai 4 orang pengunjung untuk satu bilik pada satu-satu masa.
Pada pandangan pertama apabila menjejaki hotel ini, hati saya berkata bahawa hotel agak kurang menarik dari segi rupa luaran mahupun dalaman. Bukan untuk memberikan pandangan negatif tetapi sekadar memberi ulasan membina yang mana ia sedikit sebanyak boleh diperbaiki oleh pihak pengurusan hotel. Dengan lokasi sesuai, kemudahan tempat letak kereta yang banyak, mahupun skala bangunan yang agak besar beserta kemudahan bilik yang banyak telah memberi kredit tambahan kepada hotel ini namun, agak malang ia kurang dari segi penampilan berbanding hotel-hotel yang lebih kecil berdekatan. Kemudahan asas sediada yang juga haruslah ditambahbaik.
Sekiranya ada peluang, perlu ada sedikit sentuhan baikpulih atau refurbish terhadap bangunan ini. Dengan menggunakan bajet minima sentuhlah bahagian dalaman bangunan dengan konsep yang lebih segar. Konsep moden juga antara pilihan sekarang ini. Penggunaan skema warna bangunan juga memainkan peranan. Pemilihan warna yang lebih outstanding dan berani adalah memadai berbanding menggunakan kemasan wallpaper yang agak mahal. Wujudkan satu sudut features wall sebagai elemen tarikan di bahagian lobi utama. Kemudahan untuk bilik juga dinaiktaraf. Nescaya ia pasti menarik.
Walaubagaimanapun ia masih terserah kepada pengunjung. Sekiranya berada dalam situasi bajet dan mahukan lokasi berdekatan dengan bandar serta pusat membeli-belah, maka di sini adalah antara pilihan yang tepat. Tetapi sekiranya mahukan suasana percutian yang indah serta kemudahan tempat penginapan menarik, carilah hotel mahupun lodge berdekatan dengan pantai seperti yang terdapat di Pantai Cenang. Sudah pastinya ia akan memberikan kepuasan dan nikmat sebuah percutian. Tepuk dada, tanyalah selera. Sekian.
Lakaran pelan awalan lengkap dengan dimensi dilukis menggunakan aplikasi Snote, Samsung
Note 2.
Note 2.
Lukisan isometrik menggunakan peralatan lengkap.
Isometrik yang belum diwarnakan.
No comments:
Post a Comment