Medium : autocad + 3ds max + adobe photoshop
Bersua kembali.
Sudah agak lama rasanya saya menyepikan diri daripada mengutuskan sebarang entri. Maaf kerana tidak berpeluang dan diberi peluang untuk singgah sebentar di ruangan ini. Alasan dan sebabnya adalah kerana saya tiada kesempatan untuk berbuat demikian seperti selalunya. Beban tugas kali ini agak tinggi dan mencabar membuatkan saya perlu berkira-kira dengan masa yang ada. Dan syukur hari ini saya berjaya kembali. Tidak sabar rasanya untuk berutusan semula seperti biasa.
Baiklah. Kali ini saya ingin kongsikan sebuah rekabentuk kediaman banglo 1 tingkat yang telah siap direkabentuk untuk En. Hadi dari Melaka. Hasrat pemilik ini hadir dan dinyatakan kepada saya melalui email selepas terjumpa blog saya ini di maya ketika membelek-belek imej rekabentuk kediaman yang sesuai seperti yang diinginkan. Beliau bercadang untuk mendapatkan khidmat yang berkebetulan saya juga berasal dari negeri yang sama di mana proses serta rekabentuk konsep boleh dijanakan sehingga kelulusan diperoleh daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Begitulah hasrat yang dinyatakan beliau kepada saya diperingkat awalannya. Akhirnya selepas persetujuan diperoleh berserta rentetan siri perbincangan dibuat, maka proses rekabentuk pun bermula. Syukur Alhamdulillah, baru beberapa hari yang lalu En. Hadi telah pun berjaya menandatangani pelan permohonan kelulusan untuk dihantar ke PBT iaitu pada ketika dan waktu entri ini dikongsikan di sini. Kalau tiada halangan teknikal di peringkat PBT InsyaAllah kurang 1 bulan atau lebih pelan kelulusan boleh diperoleh.
Secara ringkasnya banglo tersebut berkeluasan anggaran 2100kps dibina di atas lot bersaiz 60' x 100'. Keperluan ruang dan bilik adalah hampir sama seperti mana-mana rekabentuk standard yang ada di pasaran melainkan sedikit keselesaan dari segi saiz serta susunatur ruang /bilik terutamanya ruang tamu. En, Hadi berkehendakkan sebuah konsep ruang tamu yang luas, selesa, nyaman menghadap ke arah laman terbuka. Untuk mencapai hasrat itu saya mengolah saiz ruangan tersebut bersaiz 20' x 18' yang mempunyai double volumn dilengkapi dengan ruang teres beserta patio untuk ruang rehat. Ruang tamu ini boleh diakses ke laman dengan melalui pintu besar (aluminium sliding & folding door) pelbagai fungsi. Elemen tersebut dijadikan aset terpenting tarikan untuk banglo yang berkonsepkan tropikal & resort style ini. Selain daripada itu, elemen batuan facing brick serta dikemaskan dengan skema cat tona earth colour diadaptasikan sebagai kemasan akhir untuk banglo ini selain konsep exposed rafter. Bumbung tempat letak kereta (porch) ditinggikan dari aras lantai untuk menghasilkan impak gah sekiranya dilihat dari bahagian hadapan bangunan. Kemasan artificial plank dipasang di bahagian tebar layar menggantikan efek kayuan. Bumbung genting tanah liat juga dijadikan elemen pelengkap yang begitu kemas dan cantik seiring dengan konsep tropikal yang diterapkan.
En. Hadi begitu berminat dan bersetuju dengan konsep banglo yang telah diusulkan hasil perbincangan serta percambahan idea setiap kali dibincangkan secara berperingkat sebelum ini. Mengikut perkiraan kediaman ini dirancang untuk dibina pada awal tahun hadapan di mana selepas sahaja kelulusan diperoleh. Harapan dan doa agar tiada halangan serta segalanya berjalan dengan lancar sehinggalah apa yang diidamkan terbina di depan mata. Di pihak saya, saya ingin merakamkan ucapan jutaan terima kasih yang tidak terhingga kerana beliau sudi mendapatkan bantuan saya walaupun cuma saya anggap ia sebuah perkhidmatan kecil-kecilan daripada saya. Semoga beliau berpuas hati dengan apa jua yang diberi serta diperoleh sepanjang menjalankan urusan ini. Dan mohon kemaafan sekiranya ada kekurangan yang mungkin tidak dapat dielakkan. Terima kasih sekali lagi.
Untuk para pembaca, pelan lantai banglo ini tidak saya sertakan di dalam blog kerana ia adalah sebuah hak cipta terpelihara dihasilkan esklusif hanya untuk pemilik banglo ini sahaja. Yang dikongsikan serba sedikit hanyalah gambaran fasad luaran banglo yang boleh dijadikan panduan dan gambaran idea. Sekian.
Konsep patio sebagai ruang rehat yang begitu santai.
pelan rumah ni ada nak jual ker ?
ReplyDeleteTerima kasih kerana tuan sudi melayari blog saya. Tuan boleh maklumkan keperluan tuan di dalam email saya seperti tertera di dalam blog ini dan tinggalkan no telefon untuk dihubungi. Saya akn respon segera.
ReplyDelete