Tuesday 9 October 2018

Merekabentuk banglo 1 tingkat untuk En. Rajab

banglo 1 tingkat
Medium : Autocad + 3ds max + Adobe Photoshop

Konsep : Tradisional Malay House
Keluasan : 3,200 kp (50' x 56')

Assalammualaikum wbt..

Salam sejahtera dan bersua kembali. Dikongsikan di sini sebuah rekabentuk banglo yang agak berbeza rekabentuk senibinanya berbanding banglo-banglo yang terdapat di dalam blog saya setakat hari ini. Rekabentuk ini telah dipohon oleh salah seorang pembaca blog ini iaitu En. Rajab dari Selangor. Beliau begitu meminati hasil kerja saya yang menjurus untuk beliau menghubungi segera untuk dapatkan respon. 

Selepas persetujuan dibuat, akhirnya proses merekabentuk telahpun bermula. Dengan mengambilkira konsep awalan susunatur pelan lantai yang telah dilakar sendiri oleh pemilik, saya telah berusaha merealisasikan hasrat beliau selari dengan konsep yang dikehendaki dengan sedikit mengubahsuaian. Hasrat beliau ingin memiliki sebuah rumah berkonsepkan Rumah Tradisional Melayu senibina Negeri Terengganu. Keunikan itu bakal ditonjolkan di kawasan perumahan beliau di Sungai Buloh membezakan antara kediaman-kediaman yang terdapat di situ. Disebabkan beliau adalah datang dari latar belakang 'lapangan pembinaan' beliau memiliki kenalan yang boleh membantu untuk mendapatkan bahan binaan dalam proses membina kelak terutamanya bahan binaan berasaskan kayu. Selari dengan konsep tradisional beliau menginginkan 75% kemasan kayu terutamanya untuk elemen pintu, tingkap serta kekisi. Sesungguhnya dengan adanya elemen serta konsep seperti ini menjadikan  ia sesuatu perkara yang unik untuk dieksplorasi.

Secara ringkas, banglo ini memiliki 5 bilik tidur termasuk bilik tidur utama dan bilik tidur tetamu, ruang tamu, ruang makan, dapur, bilik basuh serta setor. Terdapat 5 unit bilik air yang mana hampir kesemua bilik mempunyai akses ke bilik air tanpa melalui ke ruang luar. Sebuah gazebo serta patio dijadikan ruangan santai sebagai beranda di hadapan dan tepi rumah. Terdapat sebuah ruangan attic di tengah-tengah ruang makan dijadikan sebagai ruang membaca untuk pemilik dimana ia diakses menggunakan tangga kayu. Unik serta menarik. 

Menyentuh aspek teknikal terdapat beberapa perkara yang telah saya ambilkira semasa proses merekabentuk selaras dengan kehendak pemilik iaitu aras lantai dibina setinggi 2' dari aras tanah serta ketinggian aras siling dibina setinggi 15' dari aras lantai. Kedua-dua aspek ini sebenarnya banyak menyumbang kepada rupabentuk bangunan yang lebih gah serta tinggi namun ada sedikit risiko rupabentuk. Walaupun yang demikian, rupabentuk ini tidaklah dikatakan cacat kerana begitu bernasib baik ia dapat diimbangi dengan binaan bumbung Negeri Terengganu yang berkecerunan 45 darjah menjadikan ia begitu 'porpotion'  dan sempurna dari segi pandangan fasad luaran. Kecantikan banglo ini juga disumbang daripada binaan bumbung yang unik serta kapisiti bumbung yang amat besar. Sekiranya ada bajet yang besar, saya sarankan untuk menggunakan kepingan genting bumbung dari jenis tanah liat sebagai kemasan akhir untuk menampakkan kecantikan bangunan secara total. 

Walauapapun jua, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada En. Rajab kerana kesudian beliau mendapatkan perkhidmatan yang tidak seberapa daripada saya. Sesungguhnya kepuasan beliau adalah kepuasan juga untuk diri saya sebagai pereka bentuk dan dijadikan sebagai motivasi untuk menghasilkan karya yang lebih baik. Sejuta kemaafan dipinta sekiranya ada kekhilafan sepanjang berurusan walaupun pada zahirnya tidak pernah bersua. Sekiranya ada kelapangan saya ingin menjejaki ke kediaman beliau untuk melihat hasilnya. InsyaAllah.

Di sini saya akan kongsikan link blog yang telah dibangunkan oleh beliau menceritakan perjalanan membina sebuah banglo impian. Pembaca boleh mengikuti perkembangan serta proses membina banglo di dalam blog ini sehingga banglo ini siap sepenuhnya. Kredit kepada En. Rajab di atas perkongsian ini. Sekian terima kasih. 

LINK>>

Pandangan sisi banglo.

Pandangan sisi secara keseluruhan.

Pandangan susut belakang.

Sisipan kemaskini foto pembinaan :



No comments:

Post a Comment