Friday 26 February 2021

Merekabentuk banglo 1 tingkat untuk En. Amran

 

Medium : Autocad + 3ds Max + Adobe Photoshop 

Konsep : Modern Tropical
Keluasan : 2,748 kp (47' x 67')

Salam dunia. Dikongsikan sebuah rekabentuk banglo berkonsepkan Modern Tropical milik En. Amran dan isteri di mana ketika ini berada di dalam status pembinaan di tapak. 

Mengimbas kembali pertemuan dua mata antara saya berserta pemilik pada tahun 2019 mengungkapkan sebuah rekabentuk yang unik menepati citarasa beliau dan isteri. Perbincangan tidaklah mengambil masa terlalu lama namun ianya padat dengan intipati dan tidak melencong ke luar topik dan subjek dibincangkan. Perwatakan serta personaliti pasangan ini dikagumi dan bersedia meletakan kepercayaan kepada saya sebagai perekabentuk memudahkan matlamat untuk saya menghasilkan sebuah konsep yang baik tanpa ragu-ragu. 

Secara ringkas kediaman ini berkeluasan 2,748 kakipersegi mempunyai 4 bilik tidur beserta 1 bilik utama, 4 bilik air, 1 bilik studi, 1 ruang tamu dibina (secara double volume),1 ruang keluarga, ruang makan, ruang dapur dan 2 ruangan patio. Anjung kereta pula dibina secara berasingan daripada bangunan utama berdasarkan 2 faktor. Pertama, beliau memilik keluasan tanah yang luas dan membolehkan ia dibina secara berasingan kemudian hari. Faktor kedua ialah dengan mengurangkan komponen anjung kereta di dalam bangunan membolehkan ruangan terbina dalaman dapat diolah secara maksimum dan total dengan erti kata lainnya mendapat 'bonus' tambahan untuk ruang yang besar. Diberikan contoh sebuah dialog : "Encik, kenapa anda mengeluarkan kos untuk membina anjung kereta sedangkan komponen itu hanyalah untuk memakirkan sebuah kenderaan berbanding dengan keluasan serta kos yang sama boleh digunapakai untuk ruang lain seperti bilik atau ruang tamu?". Pemilik menggaru kepala dan menjawab : " Jikalau rumah saya tiada anjung kereta dan mempunyai binaan dalaman lebih besar tetapi dari segi rekabentuknya tidak akan menarik tanpa anjung kereta kerana di situlah tempat pengunjung masuk melalui anjung kereta ke pintu masuk utama". Saya mencelah : " Rumah banglo yang cantik tidak semestinya perlu ada anjung kereta untuk menampakkan ianya lengkap dan gah. Tetapi rekabentuk dan elemen arkitektur lain masih boleh diolah untuk menaikkan seri rumah itu sendiri tanpa melibatkan komponen biasa dan standard untuk syarat sebuah banglo. Maka penerangan diberi pemilik bersetuju dengan idea saya yang mana beliau telah membuat pilihan bijak untuk mendapatkan ruang tambahan lebih luas serta elemen arkitektur olahan yang cantik. Dengan itu terbinalah sebuah anjung kecil diadaptasikan sebagai 'syarat' tempat tarikan selamat datang kepada pengunjung mengantikan anjung kereta sebenar.

Petua untuk mendapatkan rupa fasad sebuah banglo yang cantik bukanlah hanya bergantung kepada rekabentuk susunatur pelan ruang dalaman sahaja tetapi elemen seperti kaedah binaan, kemasan dinding, jenis bumbung, rekabentuk pintu serta tingkap, saiz bangunan, olahan aras lantai serta aras  bumbung, kecerunan bumbung, elemen kayu, elemen arkitektur dan skema cat adalah antara ramuan yang cukup lengkap perlu ada menjadikan ia sebuah binaan unik dan tidak luput daripada mata memandang. Dan seperkara lagi elemen terpenting selain daripada item-item disebutkan tadi ialah 'workmanship ' iaitu hasil kerja kontraktor di tapak bina yang perlu dititikberatkan.

Pandangan ke arah anjung pintu masuk

Pandangan dari sudut kiri

Pandangan hadapan

Pandangan sudut kanan

Disertakan gambar semasa pembinaan yang ada di tangan melangkaui 65% pembinaan.







No comments:

Post a Comment