Monday 25 December 2023

Merekabentuk banglo 1 tingkat untuk En. Iqbal


Banglo 1 tingkat
Medium : Autocad + 3ds Max + Adobe Photoshop 

Konsep : Modern Contemporary
Keluasan : 2,194.7 kp (50' x 50')

Salam akhir tahun. 

Sebuah lagi rekabentuk banglo kediaman ingin saya kongsikan kepada anda semua. Mungkin ini adalah antara sebuah rekabentuk yang agak menarik perhatian saya berbanding yang lain setakat ini. Mungkin kerana ia adalah sebuah kombinasi rekabentuk unik menggabungkan beberapa konsep tropikal dan moden yang akhirnya ia agak nampak kepelbagaian dari segi elemen arkitektur yang berubah-ubah jika dilihat dari pelbagai sudut. Itu pandangan saya. Pandangan orang lain saya tidak pasti. 

Baiklah mungkin ketika posting ini saya taip, banglo ini telah pun siap diduduki oleh pemilik. Pemilik bertuah ini adalah Encik Iqbal dan isterinya Puan Mardiyah dari Melaka. Berbalik kepada sejarah rekabentuk  banglo ini, ianya bermula pada penghujung tahun 2020. Pertemuan pertama kali bersama pasangan ini bakal menghasilkan rekabentuk yang diimpinkan. 

Pengorbanan waktu tidur pada malam hari adalah sebuah perkara terbesar yang perlu saya sentiasa titikberatkan. Almaklumlah dengan usia semakin meningkat ini, keupayaan untuk berjaga malam kadang-kadang tidaklah segagah seperti dahulu. Jam 10 malam badan sudah mula menunjukkan signal untuk berehat dan tidur. Waktu siang harinya bekerja sepenuh masa. Malam hari sahaja ruang yang ada untuk saya lakukan perkara yang saya 'minat' sejak dahulu. Kalau dikira dengan jari sudah lebih angka 10 tahun bagi saya bergelar sebagai seorang part timer. Alhamdulillah syukur nikmat.  Sudah lali, terbiasa dan tidak patah semangat untuk saya sentiasa mencabar diri. Melihat anak kecil yang lena tidur kekadang rasa nak ikut sama membuai mimpi indah. Lena tanpa berfikir apa-apa. Tapi ialah..ini jalan yang saya pilih. Pilihan saya untuk memajukan diri, memberi khidmat dan menyumbang idea kepada yang memerlukan disamping menambah sedikit pendapatan sampingan. Sekurang-kurangnya saya optimis dengan apa yang saya lakukan ini disamping menganggap ia sesuatu perkara positif juga sebagai sebuah pergorbanan berbaloi. Mungkin bukan hari ini tapi mungkin masa mendatang. Terima kasih isteri dan keluarga yang sentiasa menyokong saya. Semoga Allah sentiasa mempermudahkan urusan saya sekeluarga.

Berbalik kepada cerita awal tadi. Konsep banglo tersebut diserahkan dengan harapan yang tinggi untuk mereka menerimanya dengan hati terbuka. Korbankan sesuatu untuk mendapatkan sesuatu. Namun sebaliknya berlaku yang mana rekabentuk kali pertama itu tidak berjaya seperti dijangkakan malah gagal menambat hati pemilik. Kerana rupabentuk yang "terlalu biasa" dan common mudah dilihat di mana-mana. Aiseh... Apa yang tidak kena?. Adakah saya sudah berada di tahap tepu sehingga kekeringan idea?. Adakah saya tidak mencukupi masa? Perlukah saya sambung bekerja untuk malam keduanya? Begitulah cabaran-cabarannya sebagai seorang pereka. Di mata kita sudah cukup sempurna tetapi dihati mereka belum tentu lagi. Ini adalah 'perjalanan' untuk sebuah 'pengorbanan'. Saya akur.

Langkah kedua saya ambil. Kali ini saya perlu bergerak dan keluar daripada kotak kebiasaaan. Fikir dan rancang rupa bentuk yang lebih menarik dan lebih terperinci. Akhirnya dengan mengambil sedikit research rekabentuk-rekabentuk terdahulu serta olahan-olahan terbaik selari dengan susunatur pelan lantai yang telah dipersetujui diperingkat awal, rekabentuk ini siap seperti yang saya bayangkan di benak kepala. Rekabentuk ini siap pada bulan Februari 2021 dan pemilik amat berpuas hati dengan hasilnya. Lain daripada yang lain katanya. Alhamdulillah. Kepuasan yang sukar digambarkan. Terima kasih kepada Encik Iqbal dan pasangan kerana mempercayai perkhidmatan kecil-kecilan daripada saya.

Sinopsis banglo :
          • Konsep :Modern Contemporary
          • Keluasan Tanah : Nil
          • Keluasan Binaan Banglo : 2,194.7 kakippersegi (50' x 50')
          • Ruang Tamu : 1 bil
          • Ruang Keluarga : 1 bil
          • Ruang Makan : 1 bil
          • Dapur : 1 bil dapur
          • Bilik Tidur : 4 bil
          • Bilik Air : 2 bil
          • Bilik Sokongan : 1 Stor
          • Anjung Kereta : 2 bil. kereta
          • Lain-lain Elemen : Patio dan Yard
banglo 1 tingkat
banglo 1 tingkat

banglo 1 tingkat
banglo 1 tingkat
Gambaran di tapak :


No comments:

Post a Comment