Sunday, 16 March 2014

Studio Premier - Best Western Prima Inland Sea Resort, Port Dickson

Medium : Pencil, Pen & Watercolour on paper

Berikut di atas adalah lukisan Isometric seperti yang pernah saya utarakan di dalam blog sesebelum ini. Ini merupakan catatan percutian kali-3 saya terjemahkan ke dalam bentuk lukisan sebagai sebuah koleksi untuk saya kongsikan. Sila scroll label di sebelah papan muka untuk mengetahui lebih lanjut di bawah tajuk Isometric.

Baiklah. Catatan di atas adalah sebuah percutian saya bersama famili pada beberapa minggu yang lalu yang baru sempat untuk saya siapkan. Keputusan untuk bercuti diambil memandangkan ia dijadikan aktiviti kemuncak ketika isteri hampir habis tempoh penghujung cuti bersalin. Perancangan ini bukanlah sesuatu yang dirancang rapi, tetapi satu aktiviti yang terlintas dikepala yang datang secara tiba-tiba. 

Vanue dan lokasi percutian menjadi topik yang utama saya bincangkan bersama isteri memandangkan umur bayi kami masih terlalu kecil serta keadaan kesihatan isteri yang masih belum fit sepenuhnya. Oleh yang demikian keputusan diambil iaitu bercuti di lokasi berdekatan sahaja dengan rumah kami sekurang-kurangnya memendekkan tempoh perjalanan ke sana nanti. Kami bersetuju. Lokasi yang dipilih cuma 1 1/2 jam sahaja daripada rumah iaitu ke Pantai Port Dickson. Ringkas bukan? Walaupun dekat tetapi nikmat sebuah percutian itu tetap dirasai. Cukuplah sekadar itu yang termampu.

Kami bermalam di sebuah hotel di sana iaitu hotel Best Western Prima Inland Sea Resort, Port Dickson. Dengan hanya mencari-cari sedikit maklumat di internet, kami terus mengambil keputusan untuk bermalam di situ kerana dipengaruhi oleh beberapa alasan yang kami rasa boleh diterimapakai. Pertama, kami memang tidak pernah menjejaki ke tempat penginapan tersebut dan tidak pernah mendengar nama hotel ini walaupun beberapa kali pergi ke Pantai Port Dickson. Kami perlu mencuba. Kedua, bilik penginapan agak selesa, luas dan cantik walaupun cuma menghayati gambar di laman sesawang. Ketiga dan yang paling menarik ialah..... Taman Tema Air yang turut disediakan di dalam pakej. Wahh!!.. Itu adalah subjek utama. Alasan yang begitu kuat di mana anak sulung saya amat suka bermain dengan air. Malah ibunya juga mahu mengotakan janji yang telah dibuat sesebelum ini dan inilah masa dan kesempatannya yang paling ideal. Saya pun turut menumpang sama!. =)

Akhirnya, keputusan yang kami buat amat tepat dan kami amat gembira di sana bersama-sama walaupun agak terkilan sedikit kerana isteri hanya cuma mampu melihat dari jauh sambil mendukung bayi kami yang comel itu. Fasiliti bilik yang mereka sediakan amat selesa yang mana memungkinkan untuk kami ke sana lagi. Dan pastinya kami akan kembali nanti. 

'Lain kali kita pergi semula ok'.. Kata-kata saya kepada isteri.

Pelan lakaran yang saya buat pada hari ke 2 menggunakan telefon bimbit. Ukuran dibuat berdasarkan teori skala jubin lantai.

Lakaran perspektif dibuat sebelum tidur pada malam hari.


Lakaran Isometric yang hampir siap menggunakan peralatan yang sesuai.

Dan berikut sebahagian daripada foto yang sempat diambil sebagai koleksi saya. Skala kolam mandi agak besar yang boleh memuatkan pengunjung-pengujung pada hujung minggu.







Saturday, 1 March 2014

Merekabentuk banglo 2 tingkat untuk En. Faris

medium : autocad + 3dsmax + adobe photoshop

Salam dan bersua kembali. Agak lama tidak mengemaskini blog. Nampaknya kesibukan dan kesuntukan masa yang saya alami sejak akhir-akhir ini berpanjangan sehingga ke hari ini. Namun, masuk ke bulan Mac ini saya cuba untuk kembali seperti biasa. Cuma perkara terbaik yang saya perlukan buat masa ini ialah bagaimana cara ideal untuk menguruskan masa. Saya akan pastikan setiap perkara saya susun dengan betul dan cuba mengaturkan sebarang aktiviti mengikut jadual yang telah ditetapkan. Cara yang paling ringkas ialah mencatatkan sebanyak mungkin task atau aktiviti menggunakan aplikasi S planner yang terdapat di telefon bimbit. Mudah dan senang untuk diingat. Itu adalah perkara pertama yang saya akan buat apabila bangkit sahaja dari tidur dan segera membelek-belek jadual yang perlu dilaksanakan sepanjang minggu. Mudah-mudahan ada perkara yang tidak akan tertinggal.

Baiklah. Apa yang ingin dikongsi di sini ialah sebuah rekabentuk banglo 2 tingkat berkonsepkan modern contemporary. Secara ringkas rekabentuk banglo ini adalah sebahagian daripada 4 pakej rumah mampu millik yang bakal dilaksanakan oleh En. Faris di tempat kelahiran beliau Rawang, Selangor. Beliau mencadangkan untuk mengusahakan tanah milik keluarga untuk dimajukan sebagai sebuah pakej perumahan dan dijual dengan harga berpatutan. Agak menarik idea ini. Namun, untuk melaksanakan idea tersebut, perancangan teliti perlu dibuat terlebih dahulu bagi memastikan apa yang diinginkan tercapai. Oleh yang demikian, antara perkara pertama yang perlu dibuat ialah dengan mengutarakan terlebih dahulu jenis dan konsep rumah yang sesuai dengan kehendak serta pasaran setempat.


Saya telah memajukan 4 rekabentuk atau pakej rumah yang telah dipohon kepada En. Faris beberapa minggu lalu. Namun, berlaku kesilapan teknikal di mana 2 pakej yang saya kemukakan kepada beliau tidak mengikut pakej yang telah ditetapkan. Beliau memerlukan rekabentuk rumah banglo 1 1/2 tingkat untuk kedua-dua pakej tersebut tetapi rekabentuk dikemukakan ialah rumah banglo jenis 2 tingkat. Maaf, itu memang kesilapan daripada saya kerana tidak dapat mentafsirkan permohonan melalui email dengan betul. Kelemahan interaksi secara virtual. 

Akhirnya, dengan beberapa siri perbincangan dibuat, beliau bersetuju menggunakan hanya sebahagian daripadanya bagi meneruskan apa yang telah dirancang. Yang lain diletakkan sebagai status KIV buat sementara waktu. Rekabentuk baru akan saya susulkan sekiranya beliau bersedia menekan lampu hijau. Syukur alhamdulillah. Terima kasih kepada beliau.

Oklah. Memandangkan rekabentuk tersebut tidak digunapakai, saya mengambil keputusan untuk berkongsikannya di dalam blog sebagai panduan dan rujukan. Banglo ini berkeluasan 1800 kakipersegi memiliki 6 bilik tidur dan 3 bilik air sesuai kepada pemilik yang inginkan sebuah banglo moden dengan harga mampu milik. Dengan ruang famili yang besar, ia juga memiliki sebuah balkoni yang luas dijadikan sebagai tempat istirehat yang lebih selesa. Sekian.

Wednesday, 5 February 2014

merekabentuk banglo 2 tingkat untuk Pn. Kamaliah

medium : autocad + 3dsmax + adobe photoshop

Bersua kembali.

Projek di atas adalah sebuah tugasan yang saya hasilkan ketika hari-hari terakhir menjengah penghujung tahun 2013 lalu. Di atas sebab alasan kesibukan yang saya alami beberapa minggu lalu menghadkan saya untuk menghantar sebarang posting di blog ini. Syukur alhamdulillah kini saya rasa bernafas semula dan mula mencari-cari rentak untuk menulis kembali.

Oklah. Kediaman di atas adalah sebuah ilham yang saya hasilkan untuk seorang pembaca blog ini iaitu Puan Kamaliah yang berasal daripada Rawang, Selangor. Beliau menghajatkan sebuah kediaman berkonsepkan Modern Contemporary yang berkeluasan sekitar 2000 kps. Beberapa jenis dan contoh gambar dihantar kepada saya sebagai panduan merekabentuk kediaman tersebut itu nanti. Beliau juga ada mengemukakan lakaran pelan yang mana telah lengkap dengan keperluan ruang yang beliau hajati. Dengan panduan-panduan yang diberi agak memudahkan saya mengolah idea dan konsep sesuai dengan apa yang diidamkan. 

Menariknya di sini ialah, rekabentuk pelan ini agak unik kerana kalau dilihat dari pandangan atas susunatur bangunan ini berbentuk 'U shape' . Jarang ditemui pelanggan yang memerlukan konsep jenis ini di mana dari sudut teknikalnya bentuk ini banyak memanipulasi ruang sehinggakan boleh terjadi dengan tidak sengajanya negative space yang tiada fungsi. Walaubagaimanapun ini adalah cabaran yang perlu dihadapi selain dengan rekabentuk tapak terhad dan bersegi-segi. 

Alhamdullilah, dengan beberapa siri perbincangan melalui email, telefon dan kemudahan whatsup banyak input dan pengolahan rekabentuk dipersetujui. Berikut adalah sedikit gambaran perspektif yang boleh saya kongsikan bersama sebagai sedikit panduan bersama. Set lukisan lengkap yang siap telah saya kemukakan dan dijadikan hakcipta terpelihara hanya untuk Puan Kamaliah. Set lukisan ini bertujuan sebagai panduan dalam proses kelulusan pelan bangunan serta rujukan bagi membina rumah idaman ini kelak. Terima kasih diucapkan kepada beliau.

Konsep patio menjadi elemen utama yang menjadi tarikan kepada rekabentuk ini. Ia adalah sebuah ruangrehat direkabentuk berhadapan ruang tamu yang boleh diakses ke halaman rumah melalui bukaan cermin pintu yang besar. Sedikit sentuhan lanskap dicadangkan di halaman ini bagi menghidupkan suasana istirehat yang begitu indah. 

Gambaran pandangan hadapan rumah yang membolehkan 2 kereta di parkir di ruangan porch.