Friday, 1 January 2016

'Refleksi Persisir Sungai Melaka'

Tajuk : Refleksi Persisir Sungai Melaka
Medium : Cat air 
(Goldie 140lb/300gsm watercolour paper)
Saiz : 42cm x 30cm

Salam sejahtera dan selamat menyambut tahun baru 2016. Selangkah lagi kaki kita telah menjejaki ke lembaran baru. Tahun 2015 telah melabuhkan tirai seiring dengan tinggalnya kenangan suka atau duka yang dilalui boleh dijadikan ingatan serta panduan. Semoga masa mendatang ini dapat diharungi dengan jayanya serta sentiasa diberkati Ilahi. 

Kepada pembaca budiman sekalian, dikesempatan ini saya ingin memohon kemaafan sekiranya terdapat kesalahan serta kekhilafan saya sepanjang perjalanan dan kehadiran saya di dalam blog yang tidak sebeberapa ini. Saya cuma insan kerdil yang tidak lari daripada melakukan kesilapan. Dalam tidak disangka telah genap 5 tahun usia blog ini dihasilkan. Satu durasi masa yang agak lama dan panjang. Pelbagai perkara boleh berlaku di dalam tempoh sebegini. Kewujudan blog ini adalah sekadar sebuah perkongsian dan sebagai satu platform untuk saya hamparkan hasil yang berkaitan dengan kerja-kerja 'SENI'. Sebuah obsesi serta minat. 

Walauapapun jua saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada pembaca di luar sana kerana sudi membaca, memberi komen, pendapat dan ada yang tidak putus-putus memohon untuk mendapatkan sentuhan pelan rekabentuk konsep kediaman yang saya hasilkan. Terima kasih yang tidak terhingga diucapkan. Mohon kemaafan juga kepada yang tidak sempat dan agak lewat untuk saya membalas email. Saya akan cuba perbaiki kelemahan itu. Juga tidak lupa kepada isteri serta keluarga yang sentiasa memberi galakkan untuk saya terus berada di sini. Tanpa sokongan anda semua takkan bertahanlah blog ini sehingga ke hari ini. Sesungguhnya ia sesuatu yang amat bermakna di dalam diri saya. Mudah-mudahan agar saya akan terus berusaha tanpa jemu untuk menjadi lebih maju dalam lapangan ini. InsyaAllah.

Baiklah, di sini saya ingin berkongsi sebuah karya lukisan cat air yang sempat saya dihasilkan beberapa hari lalu berdasarkan sebuah foto yang saya ambil di sepanjang sesi berbasikal sebelum ini. Ia juga boleh dikatakan sebagai sebuah eksperimentasi saya terhadap teknik pengwarnaan cat air ke atas kertas lukisan lebih tebal serta kualiti yang lebih baik. Teknik perincian terhadap warna serta objek saya cuba tekankan. Hasilnya juga agak tidak mengecewakan. Walaubagaimanapun saya masih di dalam proses belajar. Mungkin ada lebih banyak lagi perkara yang perlu saya perbaiki untuk karya mendatang. 

Proses melakar mengunakan mata lebih halus untuk mengurangkan kesan pensel.

Lakaran asas telah siap.

Sapuan warna asas untuk keseluruhan objek.

Memperincikan butiran objek menggunakan berus yang lebih sesuai.

Lukisan yang hampir siap.

Alatan lukisan yang masih kelihatan baru walaupun telah lama saya miliki. Agak jarang menghasilkan lukisan lebih besar.

Thursday, 24 December 2015

Urban sketch : bot kecil di bawah jambatan

Medium : pen & watercolour on paper

Lakaran dibuat ketika sesi kayuhan berbasikal minggu lalu. Alhamdulillah aktiviti ini dapat saya lakukan secara kerap sejak akhir-akhir ini. Walaupun kadangkala rasa agak berseorangan melakukan aktiviti ini namun saya cuba selang-selikan dengan aktiviti melukis yang mana sekurang-kurangnya memberi sedikit ceria dan dapat mengurangkan rasa kebosanan.

Lakaran di atas adalah menunjukkan sebuah panorama yang agak unik ketika melalui jambatan besar menuju ke kawasan Melaka Raya. Bot-bot tunda serta bot penumpang kelihatan dipakirkan di kaki-kaki jambatan berhampiran dengan jeti Syahbandar terletak di muara sungai Melaka. Kelihatan menarik, tersusun serta disulami warna badan bot yang agak kontra. Pancaran matahari baru sahaja muncul di seberang sana. Dengan suhu yang masih agak dingin diwaktu pagi membenarkan saya melukis dengan lebih tenang serta relaks.

Lakaran telah dimulakan.

Lakaran telah hampir siap.

Berselfie seketika dengan gaya potongan rambut baru.

Lakaran telah diwarnakan menggunakan warna air.

Panorama indah.

Friday, 13 November 2015

Urban sketch : persisir sungai Melaka & kompleks Menara Taming Sari

Sungai Melaka - medium : pen & watercolour on paper

Menara Taming Sari - medium : pen & watercolour on paper

Bertemu kembali. 

Entri ini sepatutnya dicadang untuk dipost pada beberapa hari yang lalu. Namun hasrat ini tidak kesampaian kerana saya tidak berkesempatan untuk berbuat demikian dek kesibukan yang sentiasa tiada penghujung. Sudah agak lama saya tidak melakar serta melukis seperti ini. Kalau pembaca masih ingat lagi rasanya hampir setahun saya bercuti daripada melakukan aktiviti 'beriadah sambil melakar' yang lazimnya saya lakukan hampir setiap hujung minggu. Entah kenapa saya berhenti seketika adalah tidak pasti. Namun dihati kecil saya sentiasa rindu untuk melakukan aktiviti melukis yang telah lama menjadi keobsesan sejak dulu lagi.

Disebabkan keobsesan tersebut lahirlah kembali dua karya secara berturutan yang dapat saya hasilkan. Ia seolah-olah melepaskan dendam kesumat yang lama tersimpan dan akhirnya bejaya dilepaskan. Baiklah, lakaran berikut dapat diilhamkan pada hari sabtu minggu lalu yang mana saya berbasikal dari rumah ke persisiran Sungai Melaka iaitu destinasi wajib saya kunjungi. Arah laluan saya bermula dari rumah ke Bandar Hilir melalui jalan utama Kota Syahbandar bermula jam 7.00 pagi dengan jarak yang hampir 30km pergi dan balik. Penat juga rasanya kerana telah lama tidak berbasikal seperti sebelum ini. Namun dapat diatasi dengan kayuhan santai dan tidak tergesa-gesa.

Disamping itu, tujuan lain saya ke Bandar Hilir adalah sebenarnya sedang meninjau-ninjau sekiranya satu aktiviti plein air disekitar Bangunan Stadhuys oleh rakan-rakan Gangsta Watakala dari Kuala Lumpur melakukan demo cat air dikhabarkan kepada saya beberapa hari yang lalu. Agak teruja untuk melihat mereka beraksi dan kalau berpeluang untuk turut serta. Namun, setibanya di sana agak sedikit hampa kerana maklumat terbaru menyatakan mereka akan hadir di sini adalah pada minggu hadapan. Tidak mengapalah. Harapan tinggi minggu seterusnya untuk saya berkesempatan berjumpa mereka. Anda boleh mengetahui maklumat lanjut apa itu aktiviti plein air yang saya maksudkan melalui link saudara AzmanNor di sini. Beliau adalah salah seorang rakan blog saya yang aktif dan pernah berjumpa seketika dahulu.

Oklah. Walaubagaimanapun saya tidak pulang dengan hampa pada hari itu di mana selain saya berbasikal dan beriadah saya juga sempat juga melakar dua karya yang saya akan simpan dijadikan sebagai salah satu koleksi peribadi. Dengan berjayanya menghasilkan dua lukisan ini harapan saya agar akan sentiasa kerap untuk melakukan aktiviti ini lagi kerana selain daripada mendapatkan badan yang sihat saya juga dapat merealisasikan hasrat serta minat untuk melukis yang tidak akan pernah padam dalam diri ini. Amin.

Lakaran siap yang belum diwarnakan.

Karya yang telah diwarnakan dengan cat air.

Sedikit gambaran snapshot diambil sambil duduk di atas basikal sebelum melakar iaitu sekitar jam 9.00 pagi.

Lukisan yang telah disiapkan.

Sedang melakar di hadapan Kompleks Menara Taming Sari sekitar jam 7.30 pagi.

Sketchbook dan basikal kesayangan.

Lakaran siap dihasilkan.