Thursday, 31 October 2013

quad room - region hotel, langkawi


medium : pen & watercolour on paper

Kami menginap di salah sebuah hotel terletak di Pekan Kuah Langkawi. Tempat penginapan tersebut ialah Region Hotel yang berada di lokasi strategik di kawasan membeli-belah. Hotel ini bolehlah saya kategorikan sebagai sebuah tempat penginapan yang sederhana dan berpatutan dari segi harga. Oleh kerana lawatan ini dikira bajet dan telah diuruskan sendiri oleh pihak pengelola, kami ditempatkan seramai 2-3 orang untuk satu bilik diberi nama Quad Room. Bilik ini boleh menampung seramai 4 orang pengunjung untuk satu bilik pada satu-satu masa.

Pada pandangan pertama apabila menjejaki hotel ini, hati saya berkata bahawa hotel agak kurang menarik dari segi rupa luaran mahupun dalaman. Bukan untuk memberikan pandangan negatif tetapi sekadar memberi ulasan membina yang mana ia sedikit sebanyak boleh diperbaiki oleh pihak pengurusan hotel. Dengan lokasi sesuai, kemudahan tempat letak kereta yang banyak, mahupun skala bangunan yang agak besar beserta kemudahan bilik yang banyak telah memberi kredit tambahan kepada hotel ini namun, agak malang ia kurang dari segi penampilan berbanding hotel-hotel yang lebih kecil berdekatan. Kemudahan asas sediada yang juga haruslah ditambahbaik. 

Sekiranya ada peluang, perlu ada sedikit sentuhan baikpulih atau refurbish terhadap bangunan ini. Dengan menggunakan bajet minima sentuhlah bahagian dalaman bangunan dengan konsep yang lebih segar. Konsep moden juga antara pilihan sekarang ini. Penggunaan skema warna bangunan juga memainkan peranan. Pemilihan warna yang lebih outstanding dan berani adalah memadai berbanding menggunakan kemasan wallpaper yang agak mahal. Wujudkan satu sudut  features wall sebagai elemen tarikan di bahagian lobi utama. Kemudahan untuk bilik juga dinaiktaraf. Nescaya ia pasti menarik. 

Walaubagaimanapun ia masih terserah kepada pengunjung. Sekiranya berada dalam situasi bajet dan mahukan lokasi berdekatan dengan bandar serta pusat membeli-belah, maka di sini adalah antara pilihan yang tepat. Tetapi sekiranya mahukan suasana percutian yang indah serta kemudahan tempat penginapan menarik, carilah hotel mahupun lodge berdekatan dengan pantai seperti yang terdapat di Pantai Cenang. Sudah pastinya ia akan memberikan kepuasan dan nikmat sebuah percutian. Tepuk dada, tanyalah selera. Sekian.

Lakaran pelan awalan lengkap dengan dimensi dilukis menggunakan aplikasi Snote, Samsung 
Note 2.

Lukisan isometrik menggunakan peralatan lengkap.
Isometrik yang belum diwarnakan.

Tuesday, 29 October 2013

urban sketch : royal langkawi yacht club & marina

medium : pen & watercolour on paper

Bersua kembali. Cuti pada hujung minggu lalu, saya berada di Langkawi, Kedah. Program percutian 3 hari 2 malam ini dianjurkan oleh kelab sukan dan kebajikan tempat saya bekerja melibatkan lebih korang 20 orang peserta. Seperti yang dirancang pada 24/10/2013 kami bertolak daripada Melaka ke Negeri Kedah. 

Ini adalah kunjungan kali ke-2 saya ke Pulau Langkawi. Jikalau dahulu, isteri dan anak mengiringi saya tetapi kali ini saya pergi berseorangan bersama teman sekerja. Sedikit kurangnya di situ walaupun terasa begitu teruja. Perasaan teruja hadir dalam diri bukan sahaja untuk menikmati suasana sebuah percutian di pulau dan melawat tempat-tempat menarik yang ada di sana, malah lebih teruja untuk merakamkan apa yang saya lihat untuk diterjemahkan kepada lukisan. Itu adalah sasaran utama saya. Kesempatan sebeginilah saya ambil untuk melukis. Saya ke sana dengan berbekalkan peralatan kit lukisan yang dimiliki dengan harapan akan dapat melakarkan sebeberapa banyak panorama yang dilihat untuk dimuatkan ke dalam flip sketchbook sebagai kenangan saya di sana.

Namun apa yang telah dirancang tidaklah seperti digambarkan. Dengan jadual perjalanan agak padat diaturkan sepanjang 3 hari amat sukar untuk mendapat peluang dan ruang untuk melakar. Pendapat saya sekiranya saya pergi bersendirian atau bersama keluarga adalah mungkin memberi kelebihan dari segi masa. Walauapapun saya tetap berasa seronok di sana dengan mengunjungi dan merasai percutian di sebuah pulau. Lapangkan fikiran dan berehat seketika daripada rutin bekerja. Yang pasti anda akan rasa seronok.

Banyak tempat yang boleh dikunjungi seperti Makam Mahsuri, Under Waterworld, Pantai Cenang, Pantai Tanjung Rhu, Tasik Dayang Bunting, kereta kabel (skycab) di Gunung Mat Cincang, Air Terjun Telaga Tujuh, program Island Hoping, Mangroove Tour selain program membeli-belah di zon bebas cukai. Ini adalah sebahagian sahaja antara destinasi dan aktiviti menarik yang dirancang. Semua program boleh diaturkan sendiri dengan hanya menyewa sebuah kenderaan digunakan sepanjang berada di sana. Sungguh menarik dan tidak mengecewakan.

Lakaran di atas adalah satu-satunya lukisan yang dapat saya hasilkan sepanjang percutian. Lokasi diambil semasa berada di Royal Langkawi Yacht Club & Marina. Di sinilah terdapatnya deretan bot-bot layar pelbagai saiz memakirkan di kawasan jeti yang terdapat di sana. Panorama ini sungguh menarik kerana marina ini dibina di kawasan teluk buatan manusia. Air yang kebiruan memberi visual dan refleksi di permukaan air. Kelihatan banjaran gunung-ganang yang dikenali sebagai Gunung Mat Cincang membarisi dan mewarnai latar belakang marina. Damai dan terpesona seketika. Disamping itu juga, seorang rakan sempat berbisik kepada saya menyatakan bahawa tempat inilah merupakan tempat tamatnya sebuah perjalanan dan berlabuhnya seorang anak watan yang pernah belayar mengelilingi dunia suatu ketika dahulu sekiranya kita imbas kembali. Mungkin saya masih ingat kepada cerita tentang itu.


Snapshot yang sempat saya ambil menjelangnya waktu malam di satu sudut yang lain.

Tempat dan lokasi saya berada mengikut panduan Google maps.

Lakaran yang belum sempat diwarnakan.

Lakaran yang telah siap sepenuhnya.

Tuesday, 22 October 2013

merekabentuk banglo 2 tingkat untuk En. Shaari



Medium : Autocad, 3dsmax & Adobe Photoshop

Dalam tempoh dua minggu tanpa sebarang posting, saya sempat menyiapkan sebuah rekabentuk banglo 2 tingkat untuk seorang pelanggan iaitu En. Shaari yang saya kenali melalui seorang rakan. Rekabentuk tersebut telah melepasi beberapa peringkat dan fasa pengubahsuaian yang mana ia mengambil kira keperluan serta kehendak pelanggan. Konsep yang diterapkan di sini ialah lebih menjurus kepada kediaman jenis tropikal yang berkeluasan 462.9 meterpersegi (4982.5 kakipersegi) dari segi keluasan binaannya.

Secara teknikal, kediaman ini dilengkapi dengan beberapa ruang dan bilik utama iaitu 7 bilik tidur, 6 bilik air, ruang tamu, 2 ruang famili, 1 ruang makan, dapur basah, dapur kering, foyer dan ruangan yard. Dengan keluasan sebegini, biasanya kediaman jenis ini bolehlah dikategorikan sebagai rumah agak mewah di mana bilangan ruangan asasnya melebihi daripada bilangan tipikal rumah kediaman yang biasa terdapat di pasaran ketika ini. Apa yang menarik untuk kediaman ini ialah ia memiliki binaan balkoni yang agak besar dijadikan sebagai ruangan istirehat keluarga tanpa untuk turun ke laman. Terdapat juga ruangan untuk lanskap di bahagian ruang keluarga sebelah tangga di mana ia boleh terus diakses dari luar selain daripada keunikan di bahagian ruang tamu utama yang memiliki atrium.

Dengan persetujuan yang telah diberi oleh pelanggan terlebih dahulu, maka ketika ini saya sedang menyiapkan lukisan submission untuk kelulusan Pihak Berkuasa Tempatan sebagai sebuah syarat untuk membina sebuah kediaman di sesebuah tempat. Lukisan ini juga berperanan sebagai rujukan olek pihak kontraktor untuk digunapakai semasa pembinaan rumah impian tersebut kelak. Agak sedikit dukacita, saya tidak dapat mengkongsikan rupa bentuk pelan susunatur rumah ini kepada pembaca kerana ialah hak cipta terpelihara untuk pemilik ini sahaja. Apa yang boleh dikongsikan cuma gambaran luaran rekabentuk kediaman ini yang saya hasilkan menggunakan aplikasi komputer iaitu 3dsmax software. Sekian.