Friday, 26 February 2016

Merekabentuk banglo 2 tingkat untuk Pn. Suri

Medium : Autocad + 3ds Max + Adobe Photoshop

Bersua kita kembali.
Berikut adalah sebuah konsep rekabentuk banglo yang telah saya jelmakan di atas kertas sebelum ini dan kini telahpun di dalam proses pembinaan yang mencecah hampir 65% di tapak bina. Secara jujurnya, rumah banglo 2 tingkat bersaiz 43'x 47' ini bukanlah hasil rekaan saya sepenuhnya. Ia adalah sebuah rekaan dan cetusan idea asal oleh Arkitek yang dilantik oleh pemilik sebelum ini. Segala susunatur, konsep serta keperluan ruang telahpun dipersetujui diperingkat awalan antara pemilik serta Arkitek yang mana ia telahpun mendapat kelulusan Pihak Berkuasa Tempatan untuk pembinaan. Tamat cerita itu di sini. 

Dua tugasan diberi kepada saya melalui kenalan pemilik ini ialah pertama, merekabentuk atau redefine semula rupabentuk fasad asal untuk diolah serta diterjemahkan ke dalam visual 3D. Apa yang difahamkan oleh kenalan tersebut ialah rupabentuk yang akan terhasil ini akan dijadikan panduan serta rujukan semasa pembinaan kelak termasuk kemasan skema cat bangunan malah pemilihan bahan untuk mencantikkan fasad. Dan tugasan yang kedua adalah merekabentuk konsep hiasan dalaman ruang-ruang utama terdapat di dalam banglo ini. Dua objektif telahpun diberi dan dengan sebab demikianlah kenapa saya dilantik.  

2 tugasan ini agak sedikit sukar kerana idea asal bukanlah datang daripada diri sendiri serta cabarannya juga adalah untuk mengolah rupa bentuk asal agar selari dengan kehendak pemilik dan cuba meminimumkan perubahan bentuk untuk mengelakkan pertambahan kos pembinaan. Sedikit sukar dan mencabar.

Namun, akhirnya saya berjaya melaksanakan tugasan tersebut yang saya rasa telah mencuba sedaya upaya untuk mencapai objektif yang telah diberikan. 

Gambaran luaran ini adalah hasilnya dimana hanya beberapa komponen kemasan ditambah untuk menampakkan bangunan ini selari dengan konsep moden. Di bawah ini juga adalah rangkaian konsep hiasan dalaman yang saya hasilkan sekadar untuk rujukan dan panduan untuk kegunaan pemilik itu kelak.

Konsep ruang tamu.

Konsep ruang makan keluarga.

Konsep ruangan dapur.

Friday, 1 January 2016

'Refleksi Persisir Sungai Melaka'

Tajuk : Refleksi Persisir Sungai Melaka
Medium : Cat air 
(Goldie 140lb/300gsm watercolour paper)
Saiz : 42cm x 30cm

Salam sejahtera dan selamat menyambut tahun baru 2016. Selangkah lagi kaki kita telah menjejaki ke lembaran baru. Tahun 2015 telah melabuhkan tirai seiring dengan tinggalnya kenangan suka atau duka yang dilalui boleh dijadikan ingatan serta panduan. Semoga masa mendatang ini dapat diharungi dengan jayanya serta sentiasa diberkati Ilahi. 

Kepada pembaca budiman sekalian, dikesempatan ini saya ingin memohon kemaafan sekiranya terdapat kesalahan serta kekhilafan saya sepanjang perjalanan dan kehadiran saya di dalam blog yang tidak sebeberapa ini. Saya cuma insan kerdil yang tidak lari daripada melakukan kesilapan. Dalam tidak disangka telah genap 5 tahun usia blog ini dihasilkan. Satu durasi masa yang agak lama dan panjang. Pelbagai perkara boleh berlaku di dalam tempoh sebegini. Kewujudan blog ini adalah sekadar sebuah perkongsian dan sebagai satu platform untuk saya hamparkan hasil yang berkaitan dengan kerja-kerja 'SENI'. Sebuah obsesi serta minat. 

Walauapapun jua saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada pembaca di luar sana kerana sudi membaca, memberi komen, pendapat dan ada yang tidak putus-putus memohon untuk mendapatkan sentuhan pelan rekabentuk konsep kediaman yang saya hasilkan. Terima kasih yang tidak terhingga diucapkan. Mohon kemaafan juga kepada yang tidak sempat dan agak lewat untuk saya membalas email. Saya akan cuba perbaiki kelemahan itu. Juga tidak lupa kepada isteri serta keluarga yang sentiasa memberi galakkan untuk saya terus berada di sini. Tanpa sokongan anda semua takkan bertahanlah blog ini sehingga ke hari ini. Sesungguhnya ia sesuatu yang amat bermakna di dalam diri saya. Mudah-mudahan agar saya akan terus berusaha tanpa jemu untuk menjadi lebih maju dalam lapangan ini. InsyaAllah.

Baiklah, di sini saya ingin berkongsi sebuah karya lukisan cat air yang sempat saya dihasilkan beberapa hari lalu berdasarkan sebuah foto yang saya ambil di sepanjang sesi berbasikal sebelum ini. Ia juga boleh dikatakan sebagai sebuah eksperimentasi saya terhadap teknik pengwarnaan cat air ke atas kertas lukisan lebih tebal serta kualiti yang lebih baik. Teknik perincian terhadap warna serta objek saya cuba tekankan. Hasilnya juga agak tidak mengecewakan. Walaubagaimanapun saya masih di dalam proses belajar. Mungkin ada lebih banyak lagi perkara yang perlu saya perbaiki untuk karya mendatang. 

Proses melakar mengunakan mata lebih halus untuk mengurangkan kesan pensel.

Lakaran asas telah siap.

Sapuan warna asas untuk keseluruhan objek.

Memperincikan butiran objek menggunakan berus yang lebih sesuai.

Lukisan yang hampir siap.

Alatan lukisan yang masih kelihatan baru walaupun telah lama saya miliki. Agak jarang menghasilkan lukisan lebih besar.

Thursday, 24 December 2015

Urban sketch : bot kecil di bawah jambatan

Medium : pen & watercolour on paper

Lakaran dibuat ketika sesi kayuhan berbasikal minggu lalu. Alhamdulillah aktiviti ini dapat saya lakukan secara kerap sejak akhir-akhir ini. Walaupun kadangkala rasa agak berseorangan melakukan aktiviti ini namun saya cuba selang-selikan dengan aktiviti melukis yang mana sekurang-kurangnya memberi sedikit ceria dan dapat mengurangkan rasa kebosanan.

Lakaran di atas adalah menunjukkan sebuah panorama yang agak unik ketika melalui jambatan besar menuju ke kawasan Melaka Raya. Bot-bot tunda serta bot penumpang kelihatan dipakirkan di kaki-kaki jambatan berhampiran dengan jeti Syahbandar terletak di muara sungai Melaka. Kelihatan menarik, tersusun serta disulami warna badan bot yang agak kontra. Pancaran matahari baru sahaja muncul di seberang sana. Dengan suhu yang masih agak dingin diwaktu pagi membenarkan saya melukis dengan lebih tenang serta relaks.

Lakaran telah dimulakan.

Lakaran telah hampir siap.

Berselfie seketika dengan gaya potongan rambut baru.

Lakaran telah diwarnakan menggunakan warna air.

Panorama indah.