Sunday, 28 August 2016

Merekabentuk banglo 1 tingkat untuk En. Hasbi

Medium : Autocad + 3ds Max + Adobe photoshop

Assalammualaikum dan bersua kembali.

Sedar atau tidak, sudah agak lama saya tidak menghantar sebarang posting ke dalam blog ini. Bukan merajuk, tetapi masih mencuba untuk kembali seperti selalu dengan mencuri-curi masa seketika dan cuba lari daripada kesibukan seharian. Lebih 4 bulan rasanya tiada sebarang posting. Kali ini saya ingin berkongsi sebuah lagi hasil rekabentuk banglo 1 tingkat yang dimiliki oleh En. Hasbi berasal daripada Melaka kerana sentuhan rupabentuk banglo ini agak unik dan menarik untuk dimiliki.

Secara amnya, banglo 1 tingkat ini dirancang dan bakal dibina di Alor Gajah, Melaka hasil daripada cantuman 2 lot tanah yang dimiliki oleh pemilik. Keluasan tapak agak luas sesuai untuk memuatkan sebuah kediaman bersaiz 60' x 48' secara anggarannya yang mana binaan banglo ini ditempatkan dengan hanya 2/3 kawasan sahaja. Selebihnya ia dijadikan halaman dan ruang riadah. Kediaman ini mempunyai 4 bilik tidur, 4 bilik air, ruang tamu, ruang keluarga, ruang makan, dapur kering, dapur basah, bilik basuhan serta patio. Antara kelebihan lain yang dimiliki banglo ini ialah terdapat ruang tambahan seperti kolam mandi, courtyard, ruang rehat, stor serta garaj kereta berbumbung yang bakal dibina untuk perancangan akan datang. Ini menjadikan kediaman ini bagai sebuah kompleks kediaman yang serba lengkap sekiranya ia berjaya dibina kelak. Tidak lupa juga, bahagian ruang tamu utama ketinggian siling adalah secara maksimum untuk mendatang perasaan luas dan tinggi di dalam bangunan. Elemen aluminium louvers digunakan di sebahagian bangunan dibina agar peredaran udara segar beredar secara semulajadi.

Untuk menghasilkan impak lebih menarik dan mendamaikan, saya menggunakan sentuhan konsep kediaman resort style yang mana hampir keseluruhan elemen senibina menjurus ke arah itu. Pemilik akan merasai seperti sebuah percutian apabila berada di dalam rumah yang dikelilingi dengan pokok lanskap lembut juga disulami dengan elemen lanskap yang lebih kejur. Batuan stone veneer  menjadi elemen pelengkap kediaman ini. Pemilihan kemasan bumbung berwarna perang lebih gelap ataupun dari jenis clay roof tiles adalah digalakkan untuk menyerlahkan lagi seri bangunan secara keseluruhannya.

Akhir kata, saya ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada beliau dan berterima kasih kenana kesudian mendapatkan perkhidmatan daripada saya. Saya telah anggap beliau sebagai 'kawan' lebih daripada pelanggan kerana tempoh masa menyiapkan tugasan ini membuatkan saya banyak berhubungan dengan beliau. Harapan agar apa yang beliau idamkan terhadap rekabentuk ini akan tercapai hendaknya tanpa sebarang halangan. Insya Allah. Sekian

Pandangan daripada sudut hadapan.

Padangan dari seberang jalan.

Pandangan dari udara.

Pandangan dari halaman rumah.

Saturday, 30 April 2016

Merekabentuk banglo 1 tingkat untuk En. Saiful

Medium : Autocad + 3dsMax + Adobe Photoshop

Assalammualaikum.. Bersua kembali.

Rekabentuk di atas adalah sebuah banglo 1 tingkat dihasilkan untuk En. Saiful dari Melaka. Bersaiz 70' x 40' berkonsepkan rekabentuk moden dan kontemporari menjadi pilihan beliau. Terletak di kawasan Alai dan di atas tanah seluas 180' x 175' menjadikan ia sebuah banglo yang begitu menonjol daripada binaan persekitaran.

Banglo ini dilengkapi dengan 4 bilik tidur, 3 bilik air, ruang tamu, dapur kering dan dapur basah serta sedikit ruang basuhan. Ruang-ruang ini disusun secara sistematik agar ia selesa serta memenuhi konsep zooning. Bagi bahagian fasad, saya memilih untuk bermain dengan cucur bumbung tinggi secara mendongak yang mana ruang tersebut memiliki siling yang lebih tinggi daripada yang lain. Bumbung binaan rata digunakan boleh memuatkan 2 buah kereta pad astu-satu masa. Akhirnya bangunan dicat dengan tona putih dan kelabu sedikit kehijauan melengkapkan imej lebih bersih dan kemas.

Pandangan hadapan banglo.

Pandangan dari sisi.


Friday, 26 February 2016

Merekabentuk banglo 2 tingkat untuk Pn. Suri

Medium : Autocad + 3ds Max + Adobe Photoshop

Bersua kita kembali.
Berikut adalah sebuah konsep rekabentuk banglo yang telah saya jelmakan di atas kertas sebelum ini dan kini telahpun di dalam proses pembinaan yang mencecah hampir 65% di tapak bina. Secara jujurnya, rumah banglo 2 tingkat bersaiz 43'x 47' ini bukanlah hasil rekaan saya sepenuhnya. Ia adalah sebuah rekaan dan cetusan idea asal oleh Arkitek yang dilantik oleh pemilik sebelum ini. Segala susunatur, konsep serta keperluan ruang telahpun dipersetujui diperingkat awalan antara pemilik serta Arkitek yang mana ia telahpun mendapat kelulusan Pihak Berkuasa Tempatan untuk pembinaan. Tamat cerita itu di sini. 

Dua tugasan diberi kepada saya melalui kenalan pemilik ini ialah pertama, merekabentuk atau redefine semula rupabentuk fasad asal untuk diolah serta diterjemahkan ke dalam visual 3D. Apa yang difahamkan oleh kenalan tersebut ialah rupabentuk yang akan terhasil ini akan dijadikan panduan serta rujukan semasa pembinaan kelak termasuk kemasan skema cat bangunan malah pemilihan bahan untuk mencantikkan fasad. Dan tugasan yang kedua adalah merekabentuk konsep hiasan dalaman ruang-ruang utama terdapat di dalam banglo ini. Dua objektif telahpun diberi dan dengan sebab demikianlah kenapa saya dilantik.  

2 tugasan ini agak sedikit sukar kerana idea asal bukanlah datang daripada diri sendiri serta cabarannya juga adalah untuk mengolah rupa bentuk asal agar selari dengan kehendak pemilik dan cuba meminimumkan perubahan bentuk untuk mengelakkan pertambahan kos pembinaan. Sedikit sukar dan mencabar.

Namun, akhirnya saya berjaya melaksanakan tugasan tersebut yang saya rasa telah mencuba sedaya upaya untuk mencapai objektif yang telah diberikan. 

Gambaran luaran ini adalah hasilnya dimana hanya beberapa komponen kemasan ditambah untuk menampakkan bangunan ini selari dengan konsep moden. Di bawah ini juga adalah rangkaian konsep hiasan dalaman yang saya hasilkan sekadar untuk rujukan dan panduan untuk kegunaan pemilik itu kelak.

Konsep ruang tamu.

Konsep ruang makan keluarga.

Konsep ruangan dapur.