Tuesday 19 June 2012

urban sketch : beriadah sambil melakar siri 2

Entri ini adalah sambungan daripada siri sebelumnya. Sila klik di sini.
Perjalanan aktiviti berbasikal solo hujung minggu saya seperti biasa bergerak dari Jambatan Syed Abdul Aziz melintasi Sungai Melaka seterusnya akan masuk ke laluan sebelah kiri melalui deretan bangunan kedai menggunakan jalan pintas berhampiran pusat membeli-belah Mahkota Parade. Agak penat sedikit ketika melalui jambatan ini kerana jaraknya yang sedikit panjang serta laluan seperti bukit ini sekali-sekala menguji tahap ketahanan otot kaki. Akan tetapi pendakian itu cuma sementara waktu kerana kepenatan ini dibalas dengan kelajuan maksima menuruni bukit. Bergerak di dalam keadaan agak laju hanya menggunakan tarikan graviti dan daya momentum tanpa membuat sebarang kayuhan. Tiba sedikit di kawasan landai saya berhenti dan kemudian saya terpaksa melintasi laluan sebelah dengan mengangkat basikal kerana terhalang dengan divider dan longkang konkrit. Kebiasaannya aktiviti keadaan pagi yang agak tenang, cuaca yang cantik serta dituipi angin dingin disulami dengan semangat yang berkobar-kobar untuk mendapatkan sebuah seni visual kesan cahaya matahari terbit pada fasad bangunan secara tidak sedar membuatkan rasa penat sebentar tadi akan beransur-ansur hilang.

Arah laluan dari bandar ke muara sungai

Arah laluan saya seterusnya menyusuri deretan bangunan kedai sehingga melintasi Jeti Syahbandar. Sedikit info dimana jeti ini digunakan sebagai tempat penghubungan laut antara Malaysia dan Indonesia sejak lebih sedekat yang lalu dan masih aktif sehingga kini dan pada tahun lepas saya sendiri pernah sekali menaiki teksi air ini menuju ke Bengkalis, Indonesia di atas lawatan kerja. Akhinya dengan kayuan santai dan perlahan melawan arah laluan kenderaan, saya tiba di tempat tuju dan singgah sebentar di sebuah monumen iaitu Muzium Samudera. Di sini ia lebih dikenali oleh penduduk setempat dengan panggilan Muzium Kapal. Di situlah mata saya mula membuat pengamatan sambil memerhati seolah-olah seperti melihat sebuah barangan pelik yang jarang saya lihat. ;P

 Fasad Muzium Samudera adalah dirakam dari tempat saya berdiri.

Secara ringkasnya, Muzium Samudera merupakan sebuah replika kapal Flor De La Mar yang dibina pada awal tahun 1990. Muzium Samudera terletak di Jalan Quayside berhampiran muara Sungai Melaka. Dibina berdasarkan replika Kapal Portugis berukuran 34 meter tinggi, 36 meter panjang dan 8 meter lebar. Sumber maklumat yang saya ketahui, fokus utama muzium ini dibina ialah untuk memperingati sejarah kelautan Melaka dan zaman kegemilangan Melaka sebagai Emporium Timur. Ia juga menyingkap pergolakan politik maritim di Kerajaan Melaka suatu masa dahulu sehingga sejarah hilangnya kuasa politik semasa kemahsyuran sebuah pelabuhan yang sangat terkenal di seluruh dunia ketika itu. 
Pameran di muzium ini memaparkan perkembangan perdagangan dari zaman kesultanan Melayu Melaka hingga ke zaman Kolonial Portugis, Belanda, Inggeris dan era penaklukan Jepun di Tanah Melayu. Turut dipamerkan ialah lukisan, peta lama, model kapal dan artifak berkaitan maritim dan perdagangan di Melaka.

 Tekstur bayang-bayang (shadows) daripada cahaya matahari pagi menimbulkan hira struktur badan yang sangat menarik.

Saya duduk agak lama di situ sehingga saya cuba membayangkan bagaimanakah rupa bentuk struktur asal kapal ini yang sebenarnya iaitu kapal telah yang tenggelam di Selat Melaka suatu masa dahulu seperti yang telah direkod. Monumen ini hanyalah sebuah replika tetapi pastinya fasad asal kapal ini lebih besar dan lebih tinggi ukur lilitnya sehingga beratnya mencapai 400 tan dimana pembinaannya telah dicatat sebagai sebuah kapal terbaik yang pernah dihasilkan pada zaman itu di sana. Untuk mengikuti sejarah dan maklumat pelayaran kapal Flor De La Mar ini sehingga ia tenggelam di dasar laut Selat Melaka, klik di sini. Apa pun apa jua sejarah yang telah kapal ini lalui bagi saya, seni dan binanya amat menarik perhatian saya untuk kita amati di mana elemen hira kayu melintang pada badan kapal begitu menonjol membelah diameter cembung membalikkan cahaya kuning matahari .


Pemandangan fasad yang membelakangkan cahaya.

 Belakang badan kapal.

Setelah merakamkan beberapa gambar saya mula meneruskan kayuhan melalui jalan bersebelahan seterusnya menyusuri sepanjang sungai untuk menikmati pandangan dan panorama menarik seterusnya. Sila ikuti ekspedisi saya ini pada siri akan datang...  


Lakaran pensil 3B di atas 160gsm jurnal lukisan.

No comments:

Post a Comment