Objektif saya kali ini ke Penang adalah lebih jelas iaitu lawatan teknikal ke atas bangunan lama yang telah melalui proses 'konservasi' yang mana ia juga telah diwartakan sebagai bangunan warisan kebangsaan. Antara bangunan yang dilawati ialah Bangunan Masjid Kapitan Keling dan juga Masjid Lebuh Acheh. Sebagai ringkasan, Masjid Kapitan Keling asal terletak di Lebuh Pitt (sekarang dikenali Lebuh Kapitan Keling) telah dibina di dalam lingkungan tahun 1800 oleh Syarikat Hindia Timur yang telah tiba ke sana pada kurun ke-18. Tokoh yang terlibat dalam usaha membina masjid ini ialah Caudeer Mohudeen berasal dari keturunan peranakkan india muslim yang bertujuan memberi kemudahan beribadat untuk perniaga-perniaga dari India juga penduduk setempat. Selepas kematian beliau masjid asal ini telah diroboh dan dibina semula pada tahun 1916 di atas isu pemilikan tanah. Apa yang menariknya, rekabentuk serta senibinanya diadaptasi daripada kerajaan Moghul yang mengutamakan elemen kubah serta gerbang (arch) dan memberi penekanan dari segi butiran kerawang dan motif bungaan yang terdapat di luar dan di dalam bangunan. Berada di ruangan saf sembahyang membuatkan saya kagum terhadap ketelitian binaan serta kemasan-kemasan akhir bangunan. Ia seolah-olah berada di dalam sebuah masjid terletak di luar dari negara sendiri. Dengan kemudahan yang ada dan disediakan di dalam masjid banyak memberi keselesaan kepada jemaah yang datang. Masjid ini juga dibayai sendiri penyelenggaraannya juga tidak putus dari sumbangan-sumbangan dari pihak luar yang ikhlas. Oleh sebab itulah, keadaannya masih baik terpelihara dari segi aspek senibinanya dan kekal teguh hingga ke hari ini.
Pandangan dari pintu masuk utama perkarangan masjid.
Senibinanya unik yang mana memberi butiran lebih jelas ke atas elemen gerbang.
Satu-satunya menara asal yang masih kekal hingga ke hari ini.
Kesimpulannya di sini, sekiranya anda sempat berada di Bandar Georgetown singgahlah sebentar ke masjid ini untuk beribadat sambil menikmati keindahan senibina masjid yang dianggap begitu unik dan menjadi mercu tanda penting sebagai Masjid tertua di Pulau Pinang. Keunikan ini juga sebenarnya saya anggap sebagai salah satu lambang sejarah Islam berkembang ke Tanah Melayu suatu ketika dahulu.
Berikut di atas adalah salah satu bangunan kolonial yang terdapat berhampiran hotel penginapan saya. Saya sempat membuat lakaran semasa berehat sebentar di bucu tingkap sambil menikmati panorama Bandar Georgetown. Bangunan ini begitu cantik dipulihara dan kini dijadikan sebagai restoran makan segera berdasarkan lambang yang tertera di dinding bangunan. Sejarah pembinaan serta kegunaan asal bangunan ini tidaklah saya dapat ketahuinya.
Lakaran yang dibuat ke atas kertas bersaiz A5 tetapi belum diwarnakan.
Menara Kastam yang saya dapat lakarkan semasa meninggalkan negeri Pulau Pinang menggunakan perkhidmatan feri. Menara ini kelihatan menarik di bawah panahan matahari.
Ikon yang begitu simbolik terdapat di Pulau Pinang. Apa yang menariknya saya rakamkan feri berwarna biru yang saya rasa jarang lihat berbanding feri berwarna kuning.
Ikuti saya pada sambungan berikutnya. Jumpa lagi....
awesome..^^
ReplyDeletesaya ska tgk lukisan kmu..sdikit sbyk mmberi inspirasi kpd saya untuk lebih mendalami bidang ini...